KUALA LUMPUR 23 Dis. - Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) menyasarkan kutipan derma RM10 juta untuk tabung yayasan itu bagi diagih-agihkan kepada artis-artis berusia 60 tahun ke atas dan kurang bernasib baik di negara ini.
|
D.J. Dave (belakang, tengah) bersama ahli-ahli jawatankuasa dan pemegang amanah YA1M bergambar bersama para penerima sumbangan yayasan berkenaan di Kuala Lumpur, semalam. |
Presidennya, Datuk D.J. Dave berkata, bagi mencapai matlamat itu, pihaknya sedang memohon pengecualian cukai daripada kerajaan bagi pihak yang akan menghulurkan sumbangan ke dalam tabung yayasan tersebut.
Kami sedang berbincang dengan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan supaya sesiapa yang menderma kepada tabung YA1M dikecualikan daripada cukai berdasarkan jumlah derma yang akan mereka sumbangkan kelak.
Kaedah ini akan menggalakkan lebih ramai pihak menderma ke dalam tabung YA1M. Matlamat kami agar tabung yayasan ini mampu mengutip sehingga RM10 juta. Duit itu kami akan simpan dalam bank bagi mendapatkan bonus dan dividennya.
Duit daripada bonus dan dividen itu dianggarkan melebihi RM1.5 juta setahun. Daripada situlah ia akan disalurkan kepada artis-artis yang memerlukannya. Pada masa yang sama duit RM10 juta itu juga tidak akan terusik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan sumbangan RM2,000 setiap seorang kepada 31 artis berusia 60 tahun ke atas dan yang kurang bernasib baik di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, para pemegang amanah YA1M yang kesemuanya seramai tujuh orang antaranya Datuk Yusof Haslam, Datuk A. Rahman Hassan dan Nash (penyanyi Lefthanded).
Sumbangan YA1M itu, jelasnya, sempena sambutan perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu Cina yang mana antara penerimanya terdiri daripada para karyawan muzik dan lakonan tempatan yang berbilang bangsa.
Tambah Dave, para penerima sumbangan itu terdiri daripada 10 karyawan seni berbangsa Melayu, 4 (India), 15 (Cina) dan 2 daripada lain-lain bangsa yang mana program ini mendapat bantuan dana serta sokongan daripada kerajaan.