KUALA LUMPUR 22 Dis. - Usahawan tempatan khususnya golongan muda disaran merebut peluang menerusi dana pembangunan usahawan berjumlah RM1.82 bilion.
 |
Datuk Ahmad Maslan memberikan ucapan perasmian Bengkel Usahawan Melayu Inovatif di Keramat Mall, Kuala Lumpur. |
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, peruntukan besar di bawah Bajet 2014 itu adalah usaha berterusan kerajaan untuk membuka peluang kepada usahawan tempatan merintis kejayaan sekali gus membangunkan ekonomi negara.
Menurutnya, dana RM1.82 bilion itu merangkumi Tabung Usahawan Siswazah berjumlah RM50 juta; Skim Perusahaan Kecil dan Sederhana (RM120 juta); Skim Usahawan Pasar Malam (RM100 juta) dan cabaran perniagaan luar bandar (RM20 juta).
Kerajaan juga katanya, menyediakan dana pembelian ekuiti Bumiputera sebanyak RM300 juta; pembangunan rizab Melayu untuk perusahaan (RM200 juta); skim usahawan permulaan Bumiputera (RM30 juta) selain dua tambahan dana masing-masing sebanyak RM300 juta kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan RM700 juta kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN).
Anggaplah tahun depan adalah tahun yang baik untuk usahawan kerana terdapat dana terbesar yang pernah dikeluarkan kerajaan bagi memperkasakan usahawan tempatan.
Saranan saya, rebutlah peluang ini dan jangan biarkannya berlalu tanpa dimanfaatkan sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Usahawan Melayu Inovatif (BUMI) anjuran bersama Koperasi Anak Generasi Usahawan Melayu Selangor Berhad (Kagum) dan Kelab Merdeka Muda Malaysia (Kemuda) di sini hari ini.