Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Memaparkan catatan dengan label Teknologi. Papar semua catatan

Fotografi sebagai seni

FOTO berunsur potret juga dihasilkan ketika aliran pictorialism.
PADA awal kemunculannya, perkembangan fotografi lebih tertumpu kepada proses penciptaan dan penambahbaikan terhadap sistem kamera itu sendiri.

Kamera dianggap salah satu penemuan penting kepada manusia kerana mampu merakam dan mengabadikan pelbagai bentuk gambar, tidak kira sel manusia sehingga galaksi di luar angkasa.

Prinsip-prinsip dasar pembuatan kamera telah dicetuskan oleh seorang saintis legenda Muslim bernama Ibnu al-Haitham sekitar 1,000 tahun lalu.

Pada akhir abad ke-10 Masihi (M), al-Haitham bersama Kamaluddin al-Farisi berjaya menemui sebuah kamera kotak (obscura) dan meneliti serta merakam fenomenanya.

Istilah kamera obscura yang ditemukan al-Haitham kemudiannya diperkenalkan di Barat sekitar abad ke-16M, iaitu sekitar lima abad selepas penemuan tersebut apabila Cardano Geronimo (1501-1576) yang terpengaruh dengan pemikiran al-Haitham mula menggantikan lubang bidik dengan kamera berlensa.

Ada pula menyebutkan bahawa istilah kamera obscura yang ditemukan al-Haitham pertama kali diperkenalkan di Barat oleh Joseph Kepler (1571-1630).

Kepler meningkatkan fungsi kamera itu dengan menggunakan lensa negatif di belakang lensa positif sehingga dapat memperbesar gambar seperti prinsip digunakan dalam dunia lensa foto jarak jauh moden.

Setelah itu Robert Boyle (1627-1691) mulai menyusun kamera yang berbentuk kecil tanpa kabel yang fungsinya seolah-olah kamera obscura pada 1665.

Pada era itu juga, fungsi gambar foto lebih kepada untuk merekod sesuatu. Pada waktu itu fotografi tidak dianggap sebagai satu karya seni visual seperti seni lukisan atau seni arca.

Selepas 900 tahun daripada penemuan al-Haitham pelat-pelat foto pertama kali digunakan secara kekal untuk menangkap gambar yang dihasilkan oleh kamera obscura. Foto kekal pertama diambil oleh Joseph Nicephore Niepce di Perancis pada 1827.

Artis visual pada ketika itu berpendapat karya foto dihasilkan oleh kamera bukan dengan kemahiran tangan jurufoto. Oleh itu mereka tidak menerima karya fotografi sebagai satu karya seni.

Pada sekitar abad ke 20, satu aliran yang dinamakan pictorialism dipraktikkan bagi membolehkan fotografi diterima sebagai satu karya seni pada zaman itu.

Jurufoto pictorialism memanipulasikan foto yang dirakam bagi menghasilkan foto dengan gaya seakan-akan lukisan. Alfred Stieglitz adalah salah seorang tokoh penting dalam memperjuangkan fotografi untuk diterima sebagai karya seni ketika era ini.

Gambar foto dengan aliran pictorialism menggunakan beberapa teknik antaranya - sengaja mengkaburkan fokus, menggunakan filter untuk kesan tertentu, membuat cetakan nada warna sepia dan membuat manipulasi foto di dalam bilik gelap agar foto yang dihasilkan menyamai karya lukisan.

Ada pihak menganggap aliran fotografi dengan gaya pictorialism tidak menampakkan identiti sebenar fotografi dan tidak menggunakan sepenuhnya kekuatan yang ada pada media fotografi.

Oleh itu sekumpulan jurufoto yang tidak bersetuju dengan gaya pictorialism telah menubuhkan satu kumpulan yang diberi nama Group f/64 dengan jurufoto terkenal, Ansel Adams adalah salah seorang ahlinya.

Kumpulan ini telah mengadakan pameran fotografi pertama pada tahun 1932. Mereka memperjuangkan idea fotografi terus (straight photography) dengan karya foto yang dihasilkan tidak lagi cuba meniru gaya sebuah karya lukisan.

Aliran fotografi terus ini menjadi asas kepada seni fotografi yang dipraktikkan secara meluas sehingga ke hari ini.

Sehingga kini bidang fotografi begitu diminati oleh semua golongan sehingga di Malaysia sendiri sekolah seni yang berkaitan dengan fotografi banyak ditubuhkan.

Bidang fotografi juga kini dianggap sebagai bidang yang mampu untuk menjana ekonomi selain daripada dijadikan minat semata-mata.
Jumaat, 17 Januari 2014
Entri oleh: Unknown
Tag :
Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Senarai gajet popular 2014

Jika tahun lalu, kita dihidangkan dengan beberapa gajet termasuk telefon pintar seperti iPhone dan Samsung.

Untuk tahun ini gajet apakah yang dijangka akan mendapat tempat di kalangan peminat selain bakal mewarnai tahun ini.

Terdapat banyak senarai fajet yang menjadi rebutan daripada televisyen, telefon pintar, permainan komputer, kereta elektrik, teknologi selain Google Glass.

Televisyen 4K

Jika tahun lalu, pengguna sibuk dengan televisyen Full HD yang memberikan pengalaman menonton yang menakjubkan.

Tahun ini syarikat pembuat barangan elektrik beralih pula kepada televisyen Ultra HD atau dikenali sebagai 4K.

Televisyen 4K Ultra HD TVs (juga dikenali sebagai UHD TV) memberikan empat kali ganda gambar resolusi Full HD 1080 p menjadikannya lapan juta piksel berbanding dengan dua juta piksel Full HD.

Tahun ini televisyen 4K dijual dengan harga yang mampu dimiliki oleh pengguna yang berminat untuk merasai pengalaman menonton yang lebih ekstrem.

Permainan komputer

Apabila Xbox One dan PlayStation 4 mula mengambil tempat di ruang tamu rumah, peminat permainan komputer mula mengalami pengalaman bermain lebih baik yang direka khusus untuk mereka.

Dengan lebih kuasa dan grafik yang menarik, dijangka terdapat peningkatan mendadak dalam permainan komputer selain kemahuan bermain permainan komputer yang lebih ekstrem.

Dalam masa 12 bulan ini peminat permainan komputer pasti akan meletakkannya kembali di ruang tamu rumah mereka.

Kereta elektrik

Bermula dengan Nissan LEAF sehingga BMW i3, tahun 2013 menyaksikan kereta elektrik semakin banyak dijalan raya.

Diharap dengan adanya kawasan khas mengecas kenderaan pada tahun ini, tarikan kepada kenderaan berkenaan akan bertambah.

Penggunaan kereta ini dapat membantu meningkatkan kualiti alam sekitar, menjimatkan kos tanpa menggunakan petrol atau diesel.

Apa yang perlu dilakukan hanya mengecas bateri semalaman dan kereta boleh digunakan pada keesokannya.

Walaupun jarak pemanduannya terhad tetapi ia masih selesa untuk dipandu di dalam bandar.

Perkongsian ekonomi dan teknologi

Terdapat berpuluh-puluh syarikat perkongsian kereta wujud di United Kingdom (UK) dan beroperasi menggunakan teknologi terkini demi kebaikan masyarakat.

Misalnya perkongsian kereta seperti goCarShare sehingga kepada RentMyItems yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat tanpa terlalu memikirkan keuntungan.

Tema ini mungkin akan berterusan dan bagus untuk bekerjasama dengan kawan dan jiran dalam menjadikan dunia lebih baik.

iPhone 6

Tahun ini pasti Apple akan mengeluarkan iPhone terbarunya yang lebih canggih.

Dengan iPhone 5S yang merapatkan jurang teknologi menggunakan cap jari, rekaan dan teknologi iPhone 6 pasti menjanjikan sesuatu yang lebih menarik dan memuaskan hati pelabur.

Apple seperti biasa mempunyai beberapa kejutan bagi pesaingnya dalam kategori telefon pintar yang menjadikan iPhone berbeza dengan yang lain.

Semuanya ada Internet

Bagaimana jika semua peralatan rumah boleh dikawal dari jauh tanpa kehadiran kita? Ini mungkin menjadi kenyataan tahun ini di mana mesin basuh, peti sejuk, cerek dan ketuhar boleh disambungkan kepada Internet dan boleh dikawal melalui telefon pintar, tablet atau komputer.

Televisyen Apple

Benarkah Apple akan melancarkan set televisyennya tahun ini?

Sebenarnya perkara ini mula diperkata sejak tahun 2012 tetapi tiada apa yang berlaku. Tapi ini mungkin berlaku dan bakal menjadi saingan antara Samsung dan Apple.

Skrin sesentuh berkait rapat dengan iOS dan semua apps Apple dan permainan mungkin akan menjadikan ruangan televisyen begitu berserabut.

Teknologi boleh pakai

Pada tahun ini terdapat banyak teknologi yang boleh dipakai di seluruh badan dan bukan hanya terhad di tangan atau hidung.

Teknologi ini dijangka meningkat di dalam kehidupan di sebalik trend teknologi yang dipakai semasa bersenam untuk menilai peningkatan semasa bersenam dan mendapatkan kehidupan yang sihat.

Mungkin terdapat banyak lagi produk yang boleh dipakai di dalam pakaian sebagai kelainan.

Jam tangan pintar

KETIKA ini Samsung popular dengan jam tangan Samsung Galaxy Gear dan tidak lama lagi tentu saja banyak syarikat lain akan mengikut jejaknya pada tahun ini.

Dan bukan aneh lagi apabila ramai yang memakai jam tangan pintar.

Google Glass

Adakah Google Glass akan dilancarkan secara besar-besaran tahun ini?

Bagaimanapun beberapa spesifikasi canggih telah mula disiarkan dalam beberapa laman web bagi pengguna cermin mata Google Glass.

Ia membolehkan pengguna berhubung dengan dunia luar menggunakan cara berlainan. Google Glass membenarkan pengguna mendapat maklumat daripada laman web dan merakamkan gambar menggunakan arahan suara.

Mungkin anda kelihatan aneh memakainya sekarang tetapi ia akan menjadi pemandangan biasa dalam masa 12 bulan akan datang.
Entri oleh: Unknown
Tag :

Asus pertaruh kombinasi peranti serba guna

Asus pertaruh kombinasi peranti serba gunaAsustek Computer Malaysia Sdn.Bhd (ASUS) terus unggul dalam memacu pembangunan teknologi perhubungan mereka apabila memperkenalkan dua jenis telefon bimbit pintar dalam golongan phablet.

Kehadiran model yang dilengkapi spesifikasi serta piawaian reka bentuk elegan itu sudah tentu akan menarik perhatian pengguna masa kini.

Tampil memperkenalkan dua peranti bagi memberi pilihan kepada penguna memilih gajet yang menepati cita rasa mereka, Asus mempertaruhkan Fonepad Note 6 dan Fonepad 7.

Menariknya, kedua-dua peranti ini membolehkan pengguna membuat panggilan terus melalui phablet terbabit.

Dengan pemproses Intel Inside 1.6 Giga herz Atom Z2560 Dual Core, Fonepad Note 6 menyediakan paparan definisi penuh (HD) Super IPS+ dengan kamera belakang beroperasi pada lapan mega piksel.

Disempurnakan bersama ciri multimedia menyeluruh merangkumi fungsi audio profesional SonicMaster, sudah tentu memberikan pengalaman audio yang sempurna.

Beberapa fungsi khas turut dibina termasuk ruang storan yang mampu menyimpan data sehingga lima giga bait menerusi Asus WebStorage, memo suara, panggilan suara serta sokongan Smart Peek dengan penggunaan stylus.

Sementara itu bagi Fonepad 7 yang berukuran tujuh inci serta ketebalan 10.5 milimeter, peranti ini dikuasakan oleh sistem operasi Android 4.2 Jelly Bean dengan pemproses Intel Atom 1 giga herz Dual Core.

Melalui sudut paparan panel terbaiknya pula, ia bakal memberi kepuasan tontonan maksimum kepada pengguna.

Dibina dengan paparan WXGA (1280 x 800), ia turut lengkapi dengan kamera belakang lima mega piksel serta kamera hadapan 1.2 mega piksel.

Selain itu, telefon bimbit ini turut dibina dengan dua pembesar suara di bahagian hadapan dengan teknologi SonicMaster bagi memberikan pengalaman hiburan dan bunyi yang menakjubkan.

Disokong dengan fungsi data 3G selular, Fonepad 7 pasti menghubungkan pengguna dengan dunia luar tanpa batasan.

Jangka hayat bateri menyokong penggunaan sehingga 720P video, kecerahan 100 nits, sambungan WLAN atau 3G serta log masuk Gmail untuk email dan kemas kini.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh layari laman web www.asuswebstorage.com
Khamis, 2 Januari 2014
Entri oleh: Unknown
Tag :

Tablet Windows pertama Nokia

Dikenali sebagai Lumia 2520, Nokia buat julung kalinya memperkenalkan gajet pintar tablet menggunakan platform Windows.

Direka khas untuk tugasan di mana-mana sahaja, Lumia 2520 dilengkapi bersama skrin paparan HD 10.1 inci yang boleh digunakan di luar mahupun dalam bilik setanding dengan mana-mana tablet di pasaran.

Lumia 2520 menggunakan kelebihan 4G LTE dan juga Wi-Fi untuk sambungan Internet dan buat pertama kalinya kamera 6.7 megapiksel dengan optikal dari jenama Zeiss digunakan pada tablet bagi memudahkan proses merakam gambar biarpun kekurangan cahaya.

Bagi mencapai prestasi maksimum, Lumia 2520 dijana Windows RT 8.1 yang amat mudah untuk dioperasi, memiliki pilihan warna yang menarik serta kebolehan mengecas dengan pantas – mengecas sehingga 80 peratus dalam masa satu jam.

Gajet pintar Nokia itu juga turut didatangkan bersama perisian khas dan unik yang mana eksklusif buat keluarga Nokia, contohnya permainan video Dragons Adventure yang mendapat sentuhan DreamWorks Animation.

Sebagai tambahan, Lumia 2520 disertakan bersama aplikasi Nokia Storyteller, salah satu cara baharu untuk memudahkan proses menyunting imej dan video yang dirakam menerusi gajet tersebut dengan lebih baik.

Malah, bersama integrasi aplikasi Here Maps, Lumia 2520 merupakan satu-satunya tablet yang boleh menggunakan aplikasi peta biarpun dalam keadaan rangkaian ditutup (offline).

Lumia 2520 itu juga dijual bersama aksesori tambahan yang unik dan bergaya iaitu Nokia Power Keyboard yang mana boleh memberikan kuasa tambahan kepada bateri selama lima jam.

Aksesori itu tersebut juga menawarkan kelebihan fungsi papan kekunci sepenuhnya bersama gesture trackpad ibarat sebuah komputer riba.

Lumia 2520 tersedia dalam warna merah dan putih dalam kemasan berkilat dan warna biru cyan dan hitam dalam kemasan kusam.

Selain Lumia 2520 yang diperkenalkan di Abu Dhabi baru-baru ini, Nokia turut memperkenalkan lima lagi barisan telefon pintar antaranya Lumia 1520 dan Lumia 1320, seterusnya Asha 500, Asha 502 dan Asha 503.

Lumia 1520 merupakan antara telefon pintar yang menawarkan inovasi dalam dunia pengimejan bersama kamera 20 megapiksel PureView serta kelebihan penstabil imej optikal (OIS) membolehkan pengguna merakam imej dengan lebih jelas dan tajam.

Gajet itu juga menawarkan paparan skrin 1080p HD penuh seluas enam inci sama seperti Lumia 1020.

Dalam pada itu, Lumia 1320 menawarkan paparan skrin 720p seluas enam inci bersama pelbagai pilihan aplikasi imej dan aplikasi music (Nokia Music).

Bagi tiga siri telefon pintar Nokia Asha iaitu Asha 500, Asha 502 dan Asha 503 merupakan antara barisan telefon pintar mampu milik keluaran Nokia.

Menyasarkan golongan pertengahan, siri Lumia Asha tersebut dibina dengan rekaan sarung pandangan telus (cristal clear look) bersama sarung di bahagian dalamnya yang berwarna terang dan menarik.

Rekaan tersebut melihatkan seolah-olah gajet Lumia Asha berada di dalam ais yang sedang membeku.

Menyokong jaringan 3G dan kamera lima megapiksel serta kelebihan dua slot kad sim menjadikan siri Lumia Asha telefon pintar mampu milik paling sesuai untuk golongan pertengahan.

Sementara itu Naib Presiden Eksekutif Perkhidmatan dan Peralatan Nokia, Stephen Elop berkata, pihaknya menawarkan kepada masyarakat supaya belaih kepada Nokia

“Dengan rangkaian produk terbaharu Lumia dan Asha , kami menyumbang kepada inovasi reka bentuk pada harga munasabah dengan kualiti dan nilai produk Nokia .

“Kami juga memperkenalkan pengalaman aplikasi untuk kepada Lumia dan telefon berasaskan Windows dan bersama telefon pintar Lumia and Asha,” katanya pada pameran diAbu Dhabi baru-baru ini.
Khamis, 28 November 2013
Entri oleh: Unknown
Tag :

Kamera android pertama di dunia

Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung) baru-baru ini mengumumkan secara rasmi kamera baharu mereka, Galaxy NX menerusi platform Android.

Galaxy nx mempunyai keupayaan menukar lensa seperti DSLR biasa dan mempunyai 13 jenis lensa kamera.


Ketua Pemasaran Unit Perniagaan Imej Digital Samsung, Julian Thean berkata Samsung, Galaxy NX tersebut mengikut permintaan yang tinggi untuk kualiti fotografi serta kemudahan untuk memuat naik imej yang dilihat semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia.

“Samsung begitu peka dengan kehendak pengguna terutama mereka yang inginkan kelainan dalam dunia imej digital ini,” katanya.

Peranti baharu yang menggunakan platform Android 4.2 merupakan kamera digital lensa tunggal (DSLR) pertama mereka yang mempunyai sentuhan dari Android sekali gus menjadikan kamera DSLR pintar Android pertama dunia.

Mempunyai keupayaan menukar lensa seperti kamera DSLR biasa, Samsung NX mempunyai 13 jenis lensa kamera.

Antaranya lensa ultra kompak serta pemfokusan versatil kepada lensa potret yang premium serta lensa makro dan dibantu oleh skrin besar bersaiz 4.8 inci.

Rakaman imej kamera tersebut dijana oleh pemproses empat teras dengan kelajuan 1.6GHz bersama 2GB RAM.

Model berkenaan turut menggunakan pemproses imej baharu, DRIMe IV, turut dilengkapi keupayaan menukar kadar ‘ISO’ dari 100 sehingga 25,600.

Maksimum resolusi pula adalah sehingga 20.3 mega piksel menerusi penderia imej APS-C CMOS.

Untuk ruang storan pula, anda tidak perlu risau mengenainya kerana selain mempunyai ruang storan 16GB, Galaxy NX turut menyokong kad memori microSD.

Selain itu, Galaxy NX juga turut dilengkapi bersama kemudahan sambungan WiFi bagi memudahkan tugas memuat naik gambar serta berkongsi maklumat di alam maya.

Manakala kapasiti bateri merupakan antara yang paling tinggi di dalam siri kamera DSLR apabila Samsung menggunakan bateri dengan kapasiti 4360mAh.

Seperti siri kamera NX sebelum ini, Galaxy NX turut mempunyai 14 jenis mod dan mod ‘SMART’ antaranya bagi memudahkan pengguna merakamkan gambar dengan pelbagai kreativiti.

Antaranya, pemilik Galaxy NX boleh merakam objek yang bergerak pantas seperti kanak-kanak sedang berlari dengan mod ‘Action Freeze’.

Selain itu pengguna juga boleh merakam saat terbaik seseorang menerusi mod ‘Best Face’ yang mana rakaman dilakukan sebanyak lima kali dan pengguna boleh memilih gambar yang terbaik di antaranya untuk dikongsi bersama rakan-rakan.
Selasa, 22 Oktober 2013
Entri oleh: Unknown
Tag :

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas