|
Mustaffa Ahmad |
SELAIN asyik menikmati lagu-lagu dalam sesebuah album, ramai juga para peminat yang pada masa sama begitu ralit membelek-belek kulit piring hitam, cakera padat (CD) ataupun kaset penyanyi-penyanyi pujaan mereka.
Bagi para peminat, mereka memang mengenali penerbit, penyanyi, komposer, penulis lirik mahu pun pemuzik yang menjayakan penerbitan dalam sesebuah album itu yang boleh dikatakan dalam kategori orang popular.
Namun, ramai yang tidak tahu selain itu terdapat seorang lagi tenaga kerja penting iaitu selaku pereka bentuk kulit album yang bukan sahaja jarang diketahui ramai, malah mereka juga seolah-olah diketepikan begitu sahaja.
Tapa atau nama sebenarnya Mustaffa Ahmad merupakan antara pereka bentuk yang paling banyak menghasilkan kulit album artis tempatan sejak dia memulakan kerjaya tersebut pada Jun 1978 sehinggalah kini.
Menurut bapa kepada tiga anak ini, minatnya dalam reka bentuk kulit album mula berputik sewaktu dia melanjutkan pengajian di Institut Teknologi Mara atau ITM (sekarang Universiti Teknologi MARA) pada tahun 1975.
"Di ITM saya ambil jurusan grafik peringkat diploma. Saya mula tertarik untuk menjadi pereka bentuk kulit album selepas saya melihat kulit piring hitam album kumpulan Pink Floyd yang bertajuk Wish You Were Here.
"Ketika itu, saya masih belajar di ITM, Shah Alam. Saya kemudiannya memohon kerja sebagai artis grafik di syarikat rakaman EMI sebagai pekerja separuh masa. Ketika itu, pejabat EMI terletak di Lorong Haji Taib 1, Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur
"Saya mula bekerja di EMI pada Jun 1978 dengan gaji sekitar RM200 sebulan. Pada masa itu, EMI belum ada unit grafiknya sendiri. Saya adalah yang pertama bekerja sepenuh masa mereka bentuk kulit-kulit album artis-artis EMI.
"Sebelum saya bekerja di EMI, kerja-kerja mereka bentuk kulit-kulit album artis-artis mereka diserahkan kepada orang luar yang bekerja sebagai perekabentuk bebas," katanya kepada Hits sewaktu ditemui baru-baru ini.
Pereka bentuk yang dilahirkan di Ipoh, Perak ini memang tidak asing lagi kerana dia telah mereka bentuk lebih 500 kulit album penyanyi tempatan sejak tahun 1978 yang mana dia masih berkarya sehingga ke hari ini.
Pada pertemuan di kediamannya di Petaling Jaya baru-baru ini, Tapa yang berusia 58 tahun berkata, dia cukup terhutang budi dengan Pengurus Artis dan Repertoire EMI ketika itu, Waharp Yusof yang memberinya peluang tersebut.
Katanya, tugasan pertama yang diberikan kepadanya ialah mereka bentuk kulit album kumpulan Carefree berjudul Kebebasan pada tahun 1979 telah membuka lembaran dalam kerjayanya dalam bidang tersebut.
"Selain Carefree, saya juga telah mereka bentuk kulit album ramai penyanyi popular yang lain seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk D.J. Dave, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Noor Kumalasari dan Gaya Zakri," ujarnya.
Kaedah potong dan tampal
Sebagai pereka bentuk grafik penghasilan kulit album, Tapa berdepan dengan banyak cabaran sewaktu di peringkat awal pembabitannya dalam bidang yang memerlukan daya kreativiti serta penghayatan yang tinggi.
Dia antaranya melakukan tugasan itu dalam keadaan serba kekurangan seperti ketiadaan teknologi dalam bidang pengkomputeran yang canggih seperti pada hari ini yang memudahkan dalam proses pembikinan kulit album.
"Ketika itu penggunaan komputer belum meluas seperti hari ini. Saya banyak menggunakan kaedah cut and paste atau potong dan tampal dalam menghasilkan kulit album. Kerjaya itu dilakukan secara manual dan mengambil masa.
"Saya mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan sebuah kulit album yang berkualiti. Proses itu termasuklah menentukan konsep kulit album, gambar muka depan, lampiran dalam seperti lirik dan juga gambar artis terbabit.
"Pada mulanya saya mengikut arahan pihak syarikat rakaman atau penyanyi terbabit tetapi lama-kelamaan saya diberi kepercayaan untuk menentukan konsep serta gambar yang akan dipaparkan dalam kulit album itu," katanya.
Jelasnya yang telah menduda sejak 20 tahun lepas, tugasnya bukan setakat mereka bentuk kulit-kulit album, tetapi dia juga sering mengikuti seseorang penyanyi itu sehingga ke studio rakaman bagi mendapatkan penghayatan.
Katanya, penghayatan itu amat penting kerana daripada lagu-lagu dan konsep muzik yang dirakamkan oleh seseorang penyanyi itu membantunya mendapat idea bagi mereka bentuk sesebuah album tersebut.
"Biasanya saya dengar dulu lagu-lagu penyanyi itu sebelum saya disuruh mereka bentuk kulit album yang mereka akan hasilkan. Daripada situlah saya dapat idea bagi mereka bentuk konsep kulit album itu dengan cara berada di studio rakaman.
"Saya juga banyak bergaul dengan penyanyi-penyanyi yang telah saya rekabentuk kulit album-album mereka. Secara tidak langsung saya juga telah menjadi seperti PRO (Pegawai Perhubungan Artis) kepada artis terbabit.
"Kini selepas 35 tahun terbabit dalam bidang ini saya masih belum pencen dan menerima banyak lagi tawaran mereka bentuk kulit album tetapi sekarang ia lebih mudah dengan banyak penggunaan komputer," jelasnya.
Ekoran pengalamannya selama lebih tiga dekad, Tapa juga sedang dalam proses untuk merakamkan pengalamannya dalam bidang reka bentuk kulit album dengan penerbitan sebuah buku bertajuk 12 X 12 tidak lama lagi.
Katanya, buku itu yang lebih memfokuskan kepada pengalamannya dalam bidang itu serta kulit-kulit album artis-artis tempatan yang pernah dihasilkannya yang mana ia menelan kos penerbitan mencecah RM200,000.
"Saya telah memulakan projek untuk menghasilkan buku ini sejak lima tahun lepas. Saya sedang mencari penaja kerana kos penerbitan buku ini agak tinggi. Saya akan muatkan hampir 200 kulit album yang saya buat dalam buku ini.
"Fokus saya adalah kulit album dalam bentuk piring hitam atau vinil yang amat popular pada tahun 1970-an dan 1980-an. Buku itu juga akan menyelitkan elemen ilmiah dan ia dijangka siap pada tahun depan," katanya.