DALAM persaingan dunia penyiaran yang semakin mencabar terutama stesen-stesen swasta, saluran TV1 yang terletak di bawah naungan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilihat masih terus utuh bersiaran sehingga ke hari ini.
Tahun ini, TV1 yang merupakan saluran televisyen pertama negara dan ia akan meraikan ulang tahun yang ke-50, selain membuktikan ia berdaya saing sekali gus telah banyak menyumbang ke arah perkembangan dunia hiburan tanah air.
Sehubungan itu, RTM akan mengadakan sebuah konsert khas yang diberi nama Jubli Emas TV Malaysia yang akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 pada 28 Disember ini dari pukul 9 malam sehingga 11 malam.
Menurut penerbit rancangan tersebut, Sarena Mohd. Salleh, konsert yang pertama kalinya diadakan bagi meraikan ulang tahun TV1 itu sarat dengan pelbagai segmen yang mampu mengimbau nostalgia para penonton.
"Selain persembahan artis-artis lama dan baru, rancangan ini juga akan menampilkan para pekerja di belakang tabir yang pernah bekerja di TV1 seperti pengarah dan penerbit yang telah pencen tetapi masih ada lagi.
"Ia sebagai mengimbas nostalgia sekali gus memperkenalkan orang di belakang tabir yang jarang diketahui ramai sebelum ini. Untuk itu kita akan menjemput orang lama RTM seperti Helan Abu, Asiah Idris dan Dilly Wong.
"Malah, konsert ini juga akan diacarakan oleh pengacara veteran RTM iaitu Taufik Latif yang kini sudahpun berusia lebih 70 tahun tetapi masih mampu mengacarakan majlis," katanya kepada Hits sewaktu dihubungi baru-baru ini.
Jelas Sarena, Taufik akan bergandingan sebagai pengacara Konsert Jubli Emas TV Malaysia bersama-sama Daphne Iking dalam persembahan yang turut menjemput ramai bekas kakitangan RTM yang pernah bekerja di TV1 dulu.
Malah, jelasnya golongan terbabit bukan setakat dijemput sebagai tetamu tetapi mereka turut diberi penghargaan berupa plak daripada RTM atas sumbangan mereka ke atas stesen TV pertama negara tersebut.
Antara yang disediakan ialah penghargaan untuk enam kategori iaitu Personaliti TV Pertama, Pembaca Berita TV Pertama, Pembantu Skrip Pertama, Pereka Set Pertama, Jurukamera Pertama dan Penerbit TV Pertama.
Turut dipaparkan dalam konsert itu nanti ialah sedutan rancangan-rancangan yang pernah disiarkan di TV1 seperti pertandingan Bintang RTM dan Bakat TV dengan menjemput para pemenang pertandingan terbabit.
"Kita akan jemput juara Bakat TV tahun 1974 iaitu Datuk Jamali Shadat bagi memeriahkan lagi konsert ini. Selain itu, ramai lagi pelawak mewakili generasi lama dan baru akan dijemput bagi mengadakan persembahan.
"Antaranya A.R. Badul, Hamid Gurkha, Ruminah Sidek, Saiful Apek, Bell Ngasri dan ramai lagi. Di samping lawak jenaka, persembahan nyanyian juga akan menjemput ramai penyanyi lama yang pernah memeriahkan TV1 suatu masa dulu.
"Tan Sri S.M. Salim, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Yusni Hamid, Noraniza Idris dan J. Sham mewakili penyanyi lama dan Awie Wings, Alya dan Jimmy Palikat pula membarisi kalangan penyanyi era zaman sekarang," ujarnya.
Paling menarik tambah Sarena, Konsert Jubli Emas TV Malaysia juga akan memaparkan sejarah penubuhan dan operasi TV1 yang bermula pada tahun 1963 secara hitam putih dan dalam gambar warna mulai 1978 sehingga kini.
Daripada paparan itu, para penonton katanya dapat melihat evolusi TV1 secara khususnya dan dalam dunia penyiaran tanah air secara amnya sebagai bahan rujukan serta maklumat berguna buat para penonton TV di negara ini.
"Kami mengambil masa hampir dua bulan bagi mencari bahan-bahan lama untuk dipaparkan dalam konsert ini yang bukan setakat menjadi bahan hiburan tetapi penuh dengan maklumat serta sejarah," jelasnya.