WASHINGTON 13 Jan. - Perjanjian nuklear antara Iran dan enam negara kuasa dunia akan berkuatkuasa pada Isnin ini, apabila Teheran mula mengawal sebahagian daripada program nuklearnya.
 |
Presiden Iran Hassan Rouhani bercakap pada sidang akhbar di New York September 27, 2013. |
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry berkata, sebagai balasan, Iran akan menerima pendapatan daripada jualan minyak berjumlah AS$4.2 bilion (RM13.7 bilion) yang disekat sebelum ini secara berperingkat-peringkat dengan pembayaran pertama berjumlah AS$550 juta (RM1.76 bilion) diterima pada bulan depan.
Seorang pegawai kanan pentadbiran Presiden Barack Obama pula berkata, pendapatan jualan minyak Iran yang disekat sebelum ini mencecah AS$7 bilion (RM22.4 bilion).
Perjanjian sementara dalam tempoh enam bulan itu juga memungkinkan lebih banyak persetujuan dicapai dalam tempoh tersebut.
Timbalan Menteri Luar Iran, Abbas Aragchi berkata, perbincangan itu akan dimulakan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi dengan lokasi pertemuan masih belum diputuskan.
Obama dalam pada itu menyambut baik perjanjian tersebut, namun memberi amaran bahawa lebih banyak usaha diperlukan bagi mencapai perjanjian jangka panjang.
Beliau pada masa yang sama turut mengancam tentang kemungkinan sekatan baharu ke atas Iran, sekiranya negara itu mengingkari perjanjian yang dicapai.
"Bermula pada 20 Januari ini, Iran buat pertama kali mula menghapuskan simpanan pengayaan uraniumnya pada tahap tinggi dan memusnahkan beberapa infrastruktur yang memungkinkan proses pengayaan dilakukan,'' kata Obama.
Teheran juga akan menghentikan proses pengayaan uranium melebihi paras lima peratus, tahap yang diperlukan bagi menyediakan bahan bakar untuk penghasilan tenaga, namun tidak cukup untuk membina senjata.
Iran juga akan mula mencairkan simpanan pengayaan uraniumnya sebanyak 20 peratus atau mula menukarnya kepada bentuk kimia lain yang tidak boleh digunakan bagi membuat senjata.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) akan memantau kerjasama Iran dalam tempoh beberapa bulan akan datang.