PARIS bukan sebuah bandar seperti yang digambarkan sebagai kota cinta yang indah dan bersih tapi sebaliknya, sebuah bandar yang agak kotor. Boleh dikatakan sepanjang perjalanan, di sekitar bangunan mesti ada bau tidak menyenangkan dan hancing.
Cuma di sekitar bangunan monumen sahaja yang terjaga kebersihannya. Betul kata teman di laman Internet yang Paris bukan seperti dulu.
Dari Lapangan Terbang Charles de Gaulle ke Stesen Gare du Nord kami melewati sembilan buah stesen untuk sampai ke destinasi.
Tiketnya 9.50 euro atau RM41.80 sehala untuk seorang tetapi siapa membeli tiket di lapangan terbang cajnya agak mahal berbanding di stesen biasa, mungkin kerana ramai pelancong.
Masyarakat di Paris, mereka kurang melayan pelancong yang bertanya dalam bahasa Inggeris. Mereka lebih hormat jika kita bercakap dalam bahasa ibunda (Melayu) sambil tunjuk peta untuk mencari arah.
TUNJUK ARAH
Apabila kami bercakap dalam bahasa ibunda, baru mereka tunjuk arah jalan. Masa inilah baru saya faham bahasa ayam dan itik!
Jangan sesekali sebut perkataan Negro kalau kita bercakap tentang kaum kulit hitam kerana bilangan mereka ramai sehingga tertanya ini Paris atau Afrika?
Masa di lapangan terbang Paris, kami beli tiket untuk bas dan tren untuk kegunaan sehari. Harga tiket sehari, seorang 6.90 euro atau RM30.35.
Kalau anda tak pasti tempat yang dituju dan tiada sesiapa boleh ditanya, cari kaunter Paris Tourism dan mereka akan melayan anda dalam bahasa Inggeris.
Alhamdulillah jam 11 pagi, kami sampai ke tempat penginapan tetapi belum boleh masuk ke bilik. Dalam jam 2 petang baru kami dibenarkan masuk.
Hotel dua bilik ini adik lelaki saya Khairul, tempah secara atas talian pada harga RM560 semalam.
Yang seronoknya hotel ini sangat dekat dengan stesen tren, lebih kurang lima minit jalan kaki. Khairul memang cari hotel penginapan berdekatan dengan stesen metro, senang katanya.
Untuk pelancong macam kami, hotel ini sudah mencukupi sekadar untuk tidur. Sebab itu balik ke hotel waktu sudah malam jadi kami tidak memerlukan hotel mahal.
Sebelum keluar bersiar-siar, ibu memasak nasi dalam periuk nasi elektrik yang kami bawa dari Kuala Lumpur. Bila balik hotel boleh terus makan.
Kami berada di tingkat empat. Buka tingkap terus angin sejuk masuk. Nak mandi terfikir banyak kali, nasib ada air panas!
Sebelum keluar berjalan-jalan kami mandi dan solat jamak. Kami sentiasa menyimpan botol air kosong dalam beg untuk kegunaan di tandas.
HALAL
Kami singgah di kedai Kebab Arab MK Halal untuk mengisi perut yang kelaparan. Kedai ini betul-betul bersebelahan stesen metro.
Banyak kedai makanan halal di Paris jadi agak mudah untuk cari makanan. Khairul sempat memberitahu, kedai makan yang pertama dimasuki semasa melancong ke negara orang biasanya agak mahal sikit.
Memang betul katanya, selepas kami bersiar-siar di sekitar tempat penginapan kami jumpa kedai Arab yang harga makanan jauh lebih murah daripada yang pertama.
Makan untuk lima orang dan sebotol Coke harganya 33.80 euro atau RM148.70. Hidangannya dalam saiz besar.
Di Paris, laluan untuk basikal telah dikhaskan. Kalau dengar loceng berbunyi sila pandang kiri dan kanan kerana orang di sini bawa basikal agak laju.
Anda perlu betul-betul patuh pada lampu isyarat walaupun pejalan kaki. Kalau tidak kena saman.
KELIRU
Jam 2.30 petang kami keluar dari hotel berjalan-jalan dan membeli-belah. Misi utama ke Arc de Triomphe, sebab sekitarnya terdapat banyak butik baju, beg tangan dan barangan lain.
Sepanjang di Paris, tren atau MRT adalah kenderaan rasmi kami. Untuk ke sini perlu melalui stesen Chatelete - lesHalles Auber - Charles de Gaulle - dan Stesen Efoile, di mana kami turun.
Kami bertanya seorang wanita Perancis dan dia membantu menunjuk arah. Kami keliru selepas turun tren sebab ada dua terowong laluan jalan kaki dan tiada bahasa Inggeris.
Kami terpaksa bertanyakan kepada pengunjung di situ untuk ke Arc de Triomphe. Bila keluar saja dari MRT, kami terkejut melihat menara Arc de Triomphe terpacak depan mata.
Jika mahu masuk ke butik pula anda kena beratur. Pertama kami beratur untuk masuk butik Louis Vutton, malangnya dompet yang dihajati sudah habis dijual. Kata jurujual, musim bunga ramai pelancong dari China memborong di sini.
Dalam banyak-banyak beg tangan di butik Gucci ada satu rekaan yang tidak pernah dilihat di Gucci KLCC atau Pavillion. Begnya cantik tetapi saiznya besar dan sesuai untuk wanita bergelar ibu. Harganya lingkungan RM8,000 tapi kalau di Malaysia harganya pasti berbelas ribu.
Selepas puas keluar masuk butik, kami terus ke Menara Eiffel tetapi malangnya menara masih dalam proses ubahsuai. Dari jauh nampak Menara Eiffel dan saya terpaksa menepuk pipi untuk pastikan sama ada saya bermimpi atau tidak. Masa itu saya bagaikan bermimpi dapat ke Menara Eiffel.
Kalau hendak beli cenderahati jangan beli di kedai bawah Menara Eiffel sebab harganya mahal. Sedang kami merakam gambar kenangan di Menara Eiffel, hujan turun dengan lebat. Kami berlari ke stesen MRT berdekatan.
Terdapat dua jenis MRT di sini iaitu jenis dua tingkat dan satu tingkat. Kebetulan masa balik ke tempat penginapan, MRT yang kami gunakan adalah dua tingkat jadi kami berpeluang menaikinya.
Bila berada dalam tren kena selalu berjaga-jaga dengan pencopet. Biasanya budak kecil akan memainkan peranan bila ibu bapa mereka leka bersembang untuk melindungi anak mereka yang sedang mencuri. Setiap kali naik tren saya akan ingatkan keluarga, suruh pegang zip beg untuk mengelakkan perkara buruk.
TERTIDUR
Sampai hotel jam 5 petang kami terus makan nasi dengan lauk kari ayam dalam tin. Nikmat nasi panas dan lauk dalam tin begitu dirasakan di sini, ditambah angin sejuk yang bertiup lembut.
Air mineral di kawasan bandar sebotol 2 euro atau RM8.80, tapi lain kedai lain harga, jadi kena rajin berpusing cari yang murah. Kalau dekat hotel penginapan ada kedai lebih kurang pasar mini yang mana air mineral dijual hanya 0.20 euro atau RM0.88.
Balik ke hotel ingat hendak rehat sebentar untuk betulkan otot-otot badan kerana selepas ini kami bercadang pergi makan malam dan mencari cenderahati. Tapi sedihnya semua tertidur sampai esok hari.
Jam 4.30 pagi terjaga, terus tengok jam sebab rasanya terlelap seketika. Rupanya semua tertidur! Kami terjaga esoknya.
Perjalanan memang meletihkan berikutan penerbangan dari Malaysia - Doha - Paris memakan masa hampir 15 jam dan transit di Doha hampir 3 jam.
Sampai Paris terus merayau dalam keletihan tetapi semua itu hilang apabila ternampak deretan butik sepanjang jalan di kota Paris.
Jam 10.45 pagi, kami daftar keluar hotel untuk destinasi seterusnya London. Selamat tinggal Paris! Pengajarannya selepas ini kalau datang Paris harus tinggal sekurang-kurangnya tiga hari dua malam.
Sementara menunggu kaunter daftar masuk dibuka, sempat saya membeli cenderahati untuk diri sendiri iaitu bingkai gambar, replika Menara Eiffel dan rantai kunci.
Jam 8.30 pagi baru keluar jalan-jalan cari cenderahati dan ambil gambar sekitar hotel. Kami belum sempat bersiar sekitar hotel sebab tertidur malam tadi.
Lepas jalan-jalan dan beli cenderahati, kami lepak minum kopi. Aku pesan coklat panas. Lazat! Coklatnya sangat sedap.