KUALA LUMPUR 13 Jan. - Cabaran yang dihadapi umat Islam untuk mengekalkan kemuliaan agama suci itu yang kini diancam pelbagai dugaan daripada pihak tidak bertanggungjawab hanya dapat diatasi dengan perpaduan, keimanan serta ketakwaan kepada Allah.
|
Yang Dipertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah, Perdana Menteri Dato' Sri Najib Abdul Razak bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama-sama dengan sembilan penerima anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 2014. |
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, banyak kekeliruan mengenai Islam termasuk dalam hal-hal berkaitan akidah yang tercetus sehingga menyebabkan perpecahan dalam kalangan umat Islam kini perlu menjadi iktibar semua pihak.
Beliau berkata, jika mahu berjaya dan dihormati, umat Islam khususnya di Malaysia mesti memiliki kekuatan iman, takwa, ekonomi, teknologi, sosial dan politik selain perlu mencontohi semua sikap terpuji Rasulullah SAW ketika baginda berhadapan dengan cabaran.
Usaha ini tentunya bukan sesuatu yang mustahil kerana Rasulullah sendiri pernah berjaya membimbing masyarakat jahiliah sehingga menjadi umat yang terbaik," katanya dalam kenyataan sempena perutusan sambutan Maulidur Rasul di sini hari ini.
Menurut Muhyiddin, beliau berkeyakinan usaha mengekalkan kemuliaan agama dan mengangkat martabat umat Islam itu akan berjaya kerana resipinya sudah diturunkan oleh Allah menerusi wahyunya kepada Nabi Muhammad yang sentiasa menepati kehendak zaman.
Dalam pada itu, sempena Maulidur Rasul, Timbalan Perdana Menteri mengajak semua umat Islam di negara ini menjadikan Nabi Muhammad sebagai panduan hidup terutamanya dalam memelihara perpaduan dan memastikan Islam menjadi agama yang dihormati.
Jika kita sedar tanggungjawab sebagai umat Nabi Muhammad, maka tentu sekali sambutan Maulidur Rasul akan menjadi lebih bermakna dan untuk itu, marilah kita melipatgandakan usaha menjadi umat yang terbaik dan adil dalam apa jua urusan kita laksanakan," katanya.