KUALA LUMPUR 13 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kerajaan akan terus komited mempertahankan kesucian agama Islam daripada dicemari dan diganggu gugat oleh pihak-pihak tertentu.
|
Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1435H/2014M berlangsung dengan penuh penghayatan di Masjid Putra, Putrajaya pagi tadi. DYMM Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah telah berkenan merasmikan sambutan tahun ini yang bertemakan "Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah". Dato' Sri Najib berharap agar umat Islam di Malaysia menghayati titah Baginda yang menyeru kita semua agar sentiasa memperkukuh persaudaraan sesama kita. |
Perdana Menteri berkata, sebagai sebuah negara Islam yang meletakkan Maqasid Syariah sebagai paksi pentadbiran negara, kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dengan menobatkan syiar dan syariat Islam sebagai acuan pemerintahan sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan.
Menurut beliau, kejayaan Malaysia dalam usaha mengembangkan Islam dan mengamalkan demokrasi mendapat pengiktirafan pemimpin-pemimpin dunia, termasuk daripada pemimpin Turki yang melawat Malaysia baru-baru ini.
"Saya menyeru kepada rakyat, keharmonian dan kesefahaman antara agama yang telah lama kita bina bersama harus dikekalkan. Yakinlah bahawa sikap persefahaman dan toleransi adalah tunjang kepada kesatuan rakyat berbilang bangsa dan agama di negara kita," katanya dalam perutusan sempena Maulidur Rasul 1435H di sini hari ini.
Memetik firman Allah S.W.T dalam surah al-Kahfi ayat 6, Najib berkata, al-Quran telah merakamkan betapa kerisauan, kesungguhan dan gelora kasih sayang baginda Rasulullah SAW untuk melihat setiap umat manusia dapat bernaung di bawah rahmat keimanan dan agama Islam yang suci.
"Makanya, rahmat iman dan Islam yang diperjuangkan oleh Rasulullah SAW ini, perlulah diteruskan dan disebarkan," kata beliau.
Najib juga mengajak seluruh rakyat supaya mengamalkan pendekatan sederhana bagi memastikan keharmonian dan perpaduan yang terbina selama ini terus kekal sesuai dengan tema sambutan Maulidur Rasul kali ini iaitu Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.
"Hakikatnya, wasatiyyah berpaksikan keadilan sosial, keunggulan atau kecemerlangan dan keseimbangan serta kesederhanaan. Wasatiyyah bukanlah bererti mundur, ambil mudah dan pendekatan ekstrem yang boleh menggugat kestabilan politik, sosial dan ekonomi kepada sesebuah negara.
"Justeru, wasatiyyah adalah tonggak kepada segalanya, yang merupakan penentu kemakmuran, keharmonian dan kesatuan sesebuah bangsa atau ummah," katanya.