Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Hormati ulama demi kesejahteraan Islam

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Selasa, 14 Januari 2014

Seluruh umat Islam akan memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbia ayat 107 bermaksud: “Tidak Kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan membawa rahmat ke seluruh alam."

Sememangnya terlalu banyak yang harus kita teladani dan contohi daripada Rasullullah SAW termasuklah mematuhi segala pesanan baginda.

Salah satu perkara yang boleh kita kaji dan hayati ialah sabda baginda yang bermaksud: ‘‘ Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak." (Diriwayatkan Al-Imam At-Tirmidzi)

Berdasarkan kepada hadis ini, amat wajar sekali umat Islam menghormati golongan ulama termasuklah mufti-mufti.

Dalam memperkatakan hal ini, penulis ingin merujuk kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad, kelmarin yang melahirkan rasa kecewa apabila institusi ulama serta umarak (pemerintah) kini sudah tidak lagi dihormati dan menyifatkan situasi tersebut adalah fenomena terbaru melanda negara.

Beliau berkata, sekiranya kedua-dua institusi berkenaan dihormati dan dipatuhi, situasi seperti penggunaan kalimah Allah dalam kalangan bukan Islam dan penghinaan terhadap Islam yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini ti dak akan berlaku.

Inilah situasi yang berlaku di negara kita sekarang, suara ulama semakin tenggelam, kalau ada ulama yang bersuara biar pun ia bertaraf mufti bagi menegur sesuatu perkara ia akan dikecam dan paling malang dimaki hamun. Keadaan itu terjadi kerana ada dalam kalangan umat Islam lebih menyerapkan semangat kepartian dalam hati mereka sehingga mana-mana ulama yang dilihat membuat kenyataan tidak bersesuaian dengan kehendak mereka akan ditolak mentah-mentah.

Keadaan itu bertambah parah, apabila golongan ulama sendiri kadang kala ‘dipecahkan’ kerana menganggotai kelompok tertentu dan ia sudah tentulah menjadi lebih rumit apabila mereka berada dalam sesebuah parti politik.

Bagaimanapun ada juga dalam kalangan ulama ini tetap berpegang teguh kepada pendirian Islam dalam sesuatu isu seperti mana yang dibuktikan oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang menyokong penuh tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam isu rampasan kitab Bible versi bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah.

Namun begitu ulama tetap ulama dan mereka harus dihormati serta perlu melakukan tindakan supaya mereka dihormati. Ini memandangkan di dalam Islam golongan ulama diletakkan pada kedudukan yang cukup tinggi.

Al-Imam Asy-Syaukani ra dalam kitab Fathul Qadir berkata: ‘‘Sesungguhnya Allah SWT menjadikan mereka sebagai umat di tengah-tengah agar mereka menjadi saksi atas sekalian manusia, mereka mendapat kemuliaan demikian kerana mereka umat nabi yang terbaik dan sayyid bani Adam.’’

Justeru dalam keadaan umat Islam di negara ini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran dan tindakan-tindakan yang dilihat semakin mencabar kesabaran mereka, golongan ulama harus memainkan peranan penting bagi menyatukan mereka, dan dalam masa sama pula, umat Islam perlu mendengar dan mematuhi nasihat golongan ulama bagi memastikan agama Islam tidak diperlekehkan dengan sewenang-wenangnya.

Cuba fikirkan, ketika ada antara kita begitu seronok memaki hamun sesetengah ulama atas dasar politik, apakah tindakan yang sama dilakukan oleh bukan Islam terhadap pemimpin-pemimpin agama mereka? Sudah pasti tidak, sebaliknya ada antara umat Islam sanggup berbuat demikian hanya kerana mereka merasakan hanya ulama dalam kalangan mereka sahaja yang harus dipatuhi.

Asy-Syaikh Shalih Fauzan mengatakan: “Kita wajib memuliakan ulama muslimin kerana mereka adalah pewaris para nabi, maka meremehkan mereka termasuk meremehkan kedudukan dan warisan yang mereka ambil daripada Rasulullah SAW serta meremehkan ilmu yang mereka bawa. Barang siapa terjatuh dalam perbuatan ini tentu mereka akan lebih meremehkan kaum muslimin.

‘‘Ulama adalah orang yang wajib kita hormati kerana kedudukan mereka di tengah-tengah umat dan tugas yang mereka pikul untuk kemaslahatan Islam dan muslimin. Kalau mereka tidak mempercayai ulama, lalu kepada siapa mereka percaya. Kalau kepercayaan telah menghilang daripada ulama, lalu kepada siapa kaum muslimin mengembalikan semua masalah hidup mereka dan untuk menjelaskan hukum-hukum syariat, maka di saat itulah akan terjadi kebimbangan dan terjadinya huru-hara." (Al-Ajwibah Al-Mufidah, halaman 140).

Sama ada hendak akui atau tidak, situasi umat Islam di negara ini semakin tergugat kerana rapuhnya perpaduan sesama mereka. Sikap tidak mahu mendengar dan mematuhi pesanan serta nasihat ulama memburukkan lagi keadaan.

Apabila keadaan ini berterusan ia dianggap peluang terbaik oleh pihak-pihak tertentu untuk mengambil kesempatan melemahkan lagi umat Islam dan membangkitkan agenda demi kepentingan agama mereka.

Sebab itulah Mohamad Shukri mengingatkan, apabila institusi agama dan umarak ini diperkecilkan maka kehebatan, kewibawaan ulama dan pemerintah juga akan hilang sekali gus menyebabkan agama Islam mudah diperlekehkan.

Justeru sempena Maulid Rasul ini, umat Islam perlu bermuhasabah untuk melihat cabaran yang sedang mereka hadapi sekarang dan bagaimana memastikan kedudukan ulama benar-benar dimartabatkan. Umat Islam tidak harus leka dan terus berada dalam zon selesa dengan menganggap isu-isu berkaitan Islam sekarang bukan urusan mereka tetapi urusan pemerintah.

Sememangnya dari segi keselamatan ia urusan pemerintah atau umarah, tetapi sebagai umat Islam kita bertanggungjawab untuk bersama-sama mempertahankan kesucian agama Islam.

Sebab itulah atas apa alasan sekali pun, kita sama sekali tidak boleh memperkecilkan atau memperlekeh ulama apatah lagi jika ia bertaraf mufti. Ini memandangkan seorang mufti atau ulama sebenar tidak akan bercakap berdasarkan logik akal tetapi berdasarkan ilmu Allah yang mereka kuasainya.

Tindakan memperlekeh dan meminggir golongan ulama termasuklah mufti hanya akan mengundang petaka kepada seorang umat Islam. Atas hujah ini seorang ulama terkemuka pernah berkata,:

‘‘Mereka adalah orang-orang yang menjadi penyambung umat dengan Rabbnya, agama dan Rasulullah SAW. Mereka adalah orang yang akan memimpin umat kepada cinta dan reda Allah, menuju jalan yang dirahmati iaitu jalan yang lurus. Oleh kerana itu ketika seseorang melepaskan diri daripada mereka bererti dia telah melepaskan dan memutuskan tali yang kukuh dengan Rabbnya, agama dan rasul-Nya. Ini semua merupakan malapetaka yang dahsyat yang akan menimpa individu ataupun orang Islam. Bererti siapapun atau kelompok manapun yang meminggirkan ulama pasti akan tersesat jalannya dan akan binasa."

Dalam masa sama, kita juga ingin melihat golongan ulama untuk bersatu dalam satu saf tanpa mengira apa jua latar belakang mereka. Ini penting bagi menunjukkan penyatuan golongan itu bagi memandu umat Islam dalam berhadapan dengan tindakan biadab sesetengah pihak atau individu bukan Islam.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas