KUANTAN 18 Nov. – Sebanyak 10 orang pengikut ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ sudah tampil memberi keterangan kepada polis sehingga semalam bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik minggu lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad berkata, kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai proses rakaman percakapan.
“Setakat ini tiada tangkapan dibuat. Mereka hanya datang ke balai untuk direkodkan keterangan. Sembilan daripadanya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan manakala seorang lagi memberikan keterangan di IPD Kajang, Selangor dalam tempoh seminggu ini.
“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini kita masih mengumpul semua maklumat yang diperoleh hasil rakaman percakapan pengikut ‘Tuhan Harun’ itu,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Raffli maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini 10 November lalu.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.55 petang itu menyebabkan mangsa yang berumur 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena tembakan.
Polis baru-baru ini mengedarkan 27 keping gambar ketua dan pengikut ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.
Dalam pada itu, sumber polis memberitahu, skop penyiasatan kes itu kini diperluaskan termasuk mengambil keterangan pengikut kumpulan ajaran sesat yang diharamkan pada 1990-an dan pengikut Syiah.
Menurutnya, perkembangan terbaharu itu adalah antara usaha polis dalam memperluaskan skop siasatan dan berharap dapat mempercepatkan penyelesaian kes berprofil tinggi itu.
“Polis meminta orang ramai tidak membuat spekulasi kerana apabila kita panggil mereka ini ke balai, tidak bermakna mereka ialah suspek. Kita percaya mereka yang dipanggil ini boleh membantu kami,” katanya.
Bagaimanapun katanya polis masih memburu ketua dan pengikut kumpulan ‘Tuhan Harun’ kerana kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai maklumat terpenting dalam kes tersebut.