KUALA LUMPUR 18 Nov. – Tuntutan bertentangan agama yang diperjuangkan segelintir pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini disebabkan kekeliruan mereka terhadap konsep hak asasi.
|
Gambar Fail: r Mohd Yusof Noor (tiga dari kiri) bersama Rosyam (dua dari kiri) dan Chef Ammar (kiri) ketika majlis berbuka puasa dan memperkenalkan program TV AlHijrah sempena Aidilfitri, baru-baru ini. |
Pengerusi Majlis Universiti Islam Malaysia (MUIM), Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berkata, perkara itu jelas sehingga terdapat NGO yang menganggap agama sebagai sesuatu yang tidak penting.
Menurutnya, sebahagian daripada semangat bertentangan ajaran agama seperti yang dibawa Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) diambil daripada Deklarasi Hak-Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, sebahagian daripada deklarasi itu menyatakan agama tidak boleh menghalang semua yang berkaitan dengan tuntutan hak asasi manusia.
“Sepatutnya hak itu merangkumi segenap perkara bukan sahaja hak asasi manusia semata-mata. Perlu dirangkumkan sekali hak alam sekitar, hak pemerintah dan yang paling penting adalah hak Allah SWT.
“Definisi hak asasi perlu diperluaskan, perlu ada kesaksamaan kepada semua pihak sama ada penerima atau pemberi hak. Jika kita hanya cakap mengenai hak kita tanpa fikir hak orang lain, jadi tidak adillah,” katanya dalam sidang akhbar berhubung Forum Hak Asasi Sejagat di sini hari ini.
Antara tuntutan Comango sebelum ini adalah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan beragama di negara ini.
Sehubungan itu, jelas Mohd. Yusof, MUIM akan menjemput pihak-pihak berkaitan Comango menghadiri Forum Hak Asasi Sejagat anjuran majlis tersebut dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Khamis ini di Putrajaya.
Katanya, langkah itu penting dalam memastikan semua pihak memahami secara jelas berhubung kepentingan hak asasi sejagat dan perbezaannya dengan hak asasi manusia.
Beliau berkata, antara panel dalam forum bertemakan Kebijaksanaan Global Wadah Hak Asasi Sejagat itu ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Mufti Brunei, Dr. Awang Abdul Aziz Juned.
“Forum ini juga diadakan bagi membuka jalan supaya semua pihak dapat mengkaji hak asasi manusia dalam konteks yang lebih luas,” katanya.