KUALA LUMPUR 15 Nov. – Proton Holdings Bhd. (Proton), kini telah membawa masuk model kenderaan terbaharunya, Proton Suprima S di Australia.
 |
| HISHAM OTHMAN (dari kiri) bersama Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran PCA, Billy Falconer, Kaye Amies, dan Ketua Bahagian Eksport Proton, Dr. Badrulhisham Mohd. Ghazali bersama model Suprima S semasa pelancarannya di Australia, baru-baru ini. |
Pasaran Australia merupakan pasaran kedua selepas seminggu model kenderaan terbaik buatan Malaysia itu dilancarkan di Jakarta, Indonesia.
Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini menyatakan, Proton Suprima S diperkenalkan di Sydney oleh Ketua Pegawai Operasi (Komersial) Proton, Hisham Othman dan Ketua Pegawai Operasi Proton Cars Australia (PCA), Kaye Aimes.
Jelas Proton, model kenderaan baharu yang dibawa masuk ke Australia itu adalah terdiri daripada dua varian iaitu GX dan GXR.
“Proton Suprima S merupakan model kenderaan yang diperbuat dan dipasang secara komprehensif untuk diperkenalkan ke pasaran Australia dengan paras prestasi baharu, gaya, keselamatan, dinamika pemanduan dan sofistikated,” menurut Proton.
Nama Suprima S berasal daripada kata akar bahasa Inggeris, Supreme iaitu agung dan memberi refleks keunggulan dalam kejuruteraan, keselamatan dan prestasi yang digabungkan di dalam model tersebut.
Suprima S dikuasakan oleh 1.6 liter, DOHC, 16 valve, Campro, enjin cekap minyak bercas (CFE) dengan rpm 103 kilowatt pada 5,000 rpm.
Hisham berkata, Proton Suprima S menawarkan ciri-ciri yang belum pernah dilihat pada mana-mana model Proton.
“Model ini mempunyai penarafan keselamatan lima bintang ANCAP. Pencapaian itu menjadi penanda aras terhadap kualiti yang disasarkan Proton untuk para pelanggan,” ujarnya.
Tambahnya, spesifikasi Suprima S yang diperkenalkan di Australia adalah sama dengan varian premium Suprima S yang dilancarkan di Malaysia.
Proton Suprima S akan dijual di Australia bermula dari 1 Disember 2013 dengan harga pengenalan AU$21,790 (RM65,067.27) bagi varian GX CVT dan AU$26,590 (RM79,400.58) bagi GXR CVT.