|
Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Abd. Aziz |
KUALA LUMPUR 15 Nov. – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan pertumbuhan kukuh iaitu lima peratus bagi tempoh suku ketiga, berbanding 4.4 peratus pada suku sebelumnya.
Pertumbuhan itu didorong oleh peningkatan aktiviti eksport dan permintaan pasaran domestik yang tinggi.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Abd. Aziz berkata, permintaan dalam negeri kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan dengan mencatatkan peningkatan sebanyak 8.3 peratus berbanding 7.3 peratus pada suku sebelumnya.
Katanya, sektor eksport kembali pulih untuk berkembang sebanyak 1.7 peratus berbanding -5.2 peratus pada suku terdahulu.
Pertumbuhan ekonomi di Asia tumbuh dengan baik dengan memberi impak kepada ekonomi negara malah, permintaan luaran bertambah baik,” katanya ketika membentangkan prestasi KDNK suku ketiga di sini hari ini.
Yang turut hadir pada majlis pembentangan itu ialah dua Timbalan Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim dan Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Bagi suku ketiga, sektor pembinaan terus mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 10.1 peratus berbanding 9.9 peratus pada suku sebelumnya.
Sektor perlombongan menyusut kepada 1.7 peratus berbanding 4.1 peratus pada suku sebelumnya yang disebabkan pengeluaran gas asli dan minyak mentah yang lebih rendah.
Jumlah penggunaan sektor swasta pula berkembang pada 8.2 peratus berbanding 7.2 peratus pada suku sebelumnya disokong oleh keadaan guna tenaga dan pertumbuhan upah yang mapan.
Sementara jumlah penggunaan sektor awam menyusut kepada 7.8 peratus berbanding 11.8 peratus pada suku terdahulu disebabkan oleh perbelanjaan kerajaan yang lebih rendah untuk bekalan dan perkhidmatan.
Ketika ditanya sasaran prestasi KDNK sepanjang tahun, Zeti Akhtar menjawab, pihaknya yakin KDNK bagi sepanjang tahun mencapai paras 4.5 peratus hingga lima peratus.
Katanya, Malaysia dalam landasan yang betul bagi mencapai prestasi KDNK yang disasarkan dan pihaknya menjangkakan peningkatan itu akan berterusan sehingga ke suku keempat tahun 2013.
Bercakap mengenai inflasi bagi tempoh suku ketiga, beliau berkata, seperti yang diukur oleh perubahan tahunan dalam indeks harga pengguna (IHP), lebih tinggi pada 2.2 peratus berbanding 1.8 peratus pada suku sebelumnya.
Peningkatan ini disebabkan oleh inflasi yang lebih tinggi dalam kategori pengangkutan, makanan dan minuman bukan alkohol, jelasnya.