KUALA LUMPUR 9 Nov. – Pertubuhan berasaskan kaum dan agama di negara ini bukan sahaja menjadi pencetus persefahaman antara rakyat tetapi juga pemangkin kepada perpaduan nasional.
 |
Ibrahim Ali (belakang empat dari kanan) bersama Ahmad Maslan (lima dari kanan), U. Thamotharan (dua dari kanan) , Choy Chee Wai dan sebahagian kanak-kanak pelbagai kaum bergambar sempena Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Taman Bolton, Kuala Lumpur, semalam. |
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kewujudan pertubuhan-pertubuhan seumpama itu yang menjalankan kerjasama erat antara satu sama lain ternyata mampu menghasilkan imbangan sosial berkesan.
Katanya, kombinasi antara semangat jati diri kaum dengan aspirasi kebangsaan dapat melahirkan masyarakat beridentitikan Malaysia tulen yang mampu mengekalkan kestabilan, bukan berbahaya seperti didakwa segelintir pihak.
Beliau percaya ketelusan kesemua pertubuhan itu dalam mengangkat semangat perpaduan dan Perlembagaan Persekutuan dapat menghindari sebarang ketegangan kaum atau agama, malah perselisihan faham antara masyarakat pelbagai budaya di negara ini.
“Titik ketegangan kaum tidak dimulakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi parti-parti politik tegar yang memodalkan isu perkauman terutama selepas Pilihan Raya Umum 2008. Perkara ini jelas dengan sentimen yang dimainkan DAP terhadap masyarakat Cina.
“Kita NGO pelbagai kaum berganding bahu dalam mempromosikan perpaduan nasional seperti hari ini. Kita Perkasa, Pertubuhan Kebajikan dan Amal India Baru Malaysia (Perinbam) dan Persatuan Cina 1Malaysia (Percisama) bersama-sama menjayakan majlis Deepavali ini,” katanya kepada pemberita dalam majlis Sambutan Deepavali 2013 anjuran Perinbam di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Presiden Perinnbam, U. Thamotharan dan Presiden Percisama, Choy Chee Wai.