|
Datuk Seri Abdul Wahid Omar |
KUALA LUMPUR 18 Nov. – Malaysia diyakini tidak akan menghadapi situasi defisit berkembar kerana disokong oleh baki akaun semasa yang kukuh.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, baki akaun semasa pada suku ketiga tahun ini mencatatkan peningkatan kepada RM9.8 bilion, berbanding RM2.6 bilion suku sebelumnya.
Katanya, kebimbangan tersebut telah dibangkitkan oleh beberapa ahli ekonomi dan agensi penarafan terutamanya, Fitch.
“Ficth terutamanya bimbang sama ada Malaysia akan berada dalam situasi defisit berkembar apabila mereka melihat baki akuan yang mengecilkan kepada RM2.6 bilion pada suku kedua.
“Jadi saya rasa tidak perlu merasa bimbang lagi apabila melihat kepada baki akaun semasa pada suku ketiga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Statistik Kebangsaan Kedua 2013 di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Statistik Malaysia, Dr. Abdul Rahman Hasan dan Timbalan Gabenor, Sukhdave Singh.
Defisit berkembar adalah bajet defisit yang semakin meningkat bersama-sama defisit akaun semasa.