BERSESUAIAN dengan judulnya, konsert The Journey Of Nur mempunyai agenda penting untuk dihayati. Menampilkan konsep dan pengisian yang berbeza berbanding konsert lain, The Journey Of Nur menghidangkan hiburan yang mengajak ke arah pembentukan sahsiah masyarakat.
|
KEMATANGAN persembahan Maher Zain menjadi salah satu tarikan konsert ini. |
Konsert ini membawa agenda yang membina jati diri dengan memilih lagu-lagu yang mempunyai hala tuju moral sebagai kompasnya.
Sambutan hebat yang ditunjukkan terhadap konsert ini membuktikan di sebalik konsert hiburan yang bercorak Barat serta mengenepikan nilai moral dan agama, masyarakat tidak menolak konsert yang mempunyai hala tuju seperti ini.
Dengan kesedaran terhadap Islam yang semakin meningkat, serta keprihatinan terhadap gejala moral yang semakin menjalar, masyarakat memerlukan hiburan yang terpimpin.
Kejayaan konsert ini boleh dijadikan laluan supaya ada pihak lain meneruskan konsep yang serupa pada masa akan datang. Apa lagi artis yang menyanyikan lagu-lagu yang bertemakan Islam semakin mendapat perhatian daripada masyarakat.
Konsert ini tampil dengan mesej tersurat dan tersirat yang mengajak penonton menghayati dengan lebih dekat tentang perkembangan syiar Islam.
Persembahan mantap dan bertenaga oleh lapan artis tempatan dan luar negara telah memukau lebih 5,000 penonton di Dataran Putrajaya, malam minggu lalu.
Suatu yang membanggakan daripada konsert ini ialah reaksi penonton yang sangat terkawal. Mereka bukan dalam keadaan separuh sedar di depan pentas seperti yang kita sering lihat di kaca televisyen.
Konsert itu sebagai kemuncak Festival Kesenian dan Kebudayaan Islam Antarabangsa Putrajaya (PIIACUF 2013) yang berlangsung selama 10 hari mulai 1 November. Konsert ini disiarkan secara langsung oleh TV AlHijrah.
Antara artis yang menjayakan konsert itu ialah M. Nasir, Kumpulan Inteam, Kumpulan Raihan dan Ramli Sarip selain turut diserikan dengan persembahan artis luar negara seperti Maher Zain, Opick, Zain Bhikha dan Raef.
Konsert yang menampilkan kepelbagaian genre muzik itu membawa penonton ke satu dimensi perjalanan bermula daripada cetusan tamadun Islam di Andalusia, seterusnya perkembangan sinar Islam ke seluruh pelosok dunia seperti Afrika, Timur Tengah dan Asia.
Menariknya, konsert ini memberi kelainan dengan dendangan lagu kerohanian dalam satu penceritaan di sepanjang persembahan.
Perjalanan serta perkembangan tamadun Islam ternyata berjaya diadaptasikan dalam konsert seumpama ini.
Alunan muzik dan bait-bait lirik yang disampaikan oleh kesemua artis yang terlibat ternyata menyajikan satu santapan rohani kepada penonton.
Pendekatan stesen TV
Pendekatan berunsur keislaman dan kerohanian melalui konsert besar seperti ini adalah sesuatu yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk stesen-stesen televisyen tempatan.
Kesedaran tentang perkembangan Islam yang selama ini menempuhi pelbagai liku mampu diterangkan melalui alunan lagu-lagu yang disampaikan oleh penyanyi-penyanyi terkenal. Menyedari cabang hiburan terutamanya muzik merupakan medium paling hampir dengan pendengar maka dakwah seumpama ini menjadi cara yang cukup tepat dan berkesan.
Pendekatan inilah yang dilakukan oleh stesen TV Al-Hijrah yang jarang dilakukan oleh mana-mana stesen televisyen yang lain. Kesanggupan TV AlHijrah membuat siaran langsung konsert ini membuktikan kesungguhan stesen penyiaran itu untuk memberi peluang kepada penonton.
Menggunakan nama-nama besar dalam menjayakan konsert ini juga dilihat berjaya kerana artis-artis ini juga mempunyai pengikut serta peminatnya yang tersendiri. Tetapi perlulah memilih artis yang boleh dijadikan contoh kepada masyarakat.
Konsert The Journey of Nur ini turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Aseh Che Mat.
Tengku Adnan menganggap penganjuran festival julung kali diadakan itu yang menggabungkan pelbagai aktiviti merangkumi kesenian, kebudayaan, pameran, keagamaan, perniagaan dan aktiviti percambahan ilmu seperti forum serta persidangan Islam.
Ini bertepatan dengan aspirasi kementerian dan PPj untuk memartabatkan Putrajaya sebagai pusat pengembangan dan kebudayaan Islam bertaraf antarabangsa.
Melalui pelbagai program dan aktiviti yang disusun seperti Pameran Kesenian Islam, Forum Islam Antarabangsa dan konsert The Journey of Nur diharapkan akan menggalakkan lagi warga Putrajaya dan pengunjung tempatan atau luar negara untuk menghayati serta menghargai peninggalan sejarah, galur kesenian dan kebudayaan Islam,” jelasnya.