 |
Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim |
DENGAN jumlah penduduk yang menghampiri 238 juta orang, Indonesia muncul sebagai negara yang mempunyai populasi penduduk keempat terbesar di dunia selepas China, India dan Amerika Syarikat.
Saiz pasaran Indonesia yang besar menjadi lokomotif kemajuan kepada ekonomi republik itu terutamanya ketika daya beli penduduk khususnya golongan pertengahan Indonesia semakin tinggi.
Indonesia tidak perlu menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) kerana saiz pasarannya sudah cukup besar. Dengan kata lain, Indonesia boleh bergantung kepada saiz pasaran domestik dan kuasa beli penduduknya untuk mencatat pertumbuhan ekonomi.
Dengan populasi 238 juta orang, jumlah rakyat Indonesia adalah hampir besar dengan gabungan penduduk Australia, Malaysia, Timor Leste, New Zealand, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon, Fiji, Filipina dan Thailand.
Jika sembilan negara yang terletak di Asia Tenggara dan Oceania ini bergabung untuk membentuk satu entiti, ia cuma dapat mewujudkan satu pasaran yang hampir sama besar dengan Indonesia.
Perkembangan pesat China dan India dalam tempoh kira-kira 30 tahun lalu sering dikaitkan dengan saiz pasaran. Ramai menjangkakan Indonesia merupakan satu lagi kuasa ekonomi yang tidak boleh dipandang rendah.
Selepas naga dan gajah Asia bangun daripada lelap, garuda juga sedang mengembang sayap dan bersedia untuk terbang tinggi.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (gambar) bersetuju dengan keadaan itu dan melihat China, India dan Indonesia akan menjadi gergasi ekonomi Asia berdasarkan perkembangan semasa.
Hubungan Kuala Lumpur dengan Jakarta boleh dikatakan melalui jalan berliku dengan kejadian konfrontasi diabadikan dalam buku teks sejarah kedua-dua negara. Isu jenayah pekerja Indonesia di Malaysia dan penindasan pembantu rumah pula sering mewarnai laporan media.
Isu budaya yang berkisar kepada ‘hak milik’ batik, lagu Rasa Sayang malahan masakan rendang juga pernah menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat Indonesia mahu pun Malaysia.
Tetapi ‘perebutan’ yang berlaku sebenarnya hanya menunjukkan Malaysia dan Indonesia merupakan dua negara yang berdaulat, tetapi dari rumpun yang sama.
Melihat Indonesia sebagai rakan serumpun yang mampu menawarkan peluang ekonomi lumayan, Zahrain berazam mahu membawa lebih ramai pelabur dan pelancong dari negara itu ke Malaysia.
”Pelaburan antara kedua-dua negara adalah tidak seimbang kerana pelabur Malaysia lebih banyak melabur di Indonesia berbanding pelabur Indonesia yang melabur di Malaysia. Kita mahu membawa masuk lebih ramai pelabur dari Indonesia,” katanya dalam pertemuan dengan kumpulan wartawan Malaysia di Pejabat Kedutaan Malaysia di Jakarta, baru-baru ini.
Pertemuan dengan anggota Kelab Media Putrajaya itu merupakan sebahagian daripada program interaksi strategik antara kelab berkenaan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan dan dengan Kerjasama Perbadanan Putrajaya.
Tambah Zahrain, kemasukan pelancong dari Indonesia juga mempunyai ruang tambah baik walaupun ramai rakyat Indonesia telah memilih perkhidmatan pelancongan perubatan yang ditawarkan pusat rawatan negara ini.
”Pada ketika ramai pelancong Malaysia datang ke Indonesia untuk membeli-belah, pelancong dari Indonesia pula tertarik dengan pakej pelancongan perubatan di negara ini.
”Sempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, kita akan berusaha untuk membawa lebih ramai pelancong Indonesia ke negara ini. Sememangnya Indonesia merupakan satu pasaran yang luas,” katanya.
Pada 2012, Malaysia menerima 671,727 pelancong perubatan dari seluruh dunia di mana rakyat Indonesia mencatatkan jumlah kedatangan tertinggi. Malaysia bagaimanapun perlu bersaing dengan Singapura dan Thailand untuk mengukuhkan kedudukan dalam bidang pelancongan perubatan.
Dari segi kemasukan pelancong secara keseluruhan, Malaysia pada 2012 berjaya menarik kemasukan 2.3 juta pelancong Indonesia iaitu peningkatan sebanyak 11.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Indonesia pada tahun tersebut merupakan penyumbang kedua terbesar pelancong ke Malaysia selepas Singapura. Jumlah pelancong dari Indonesia jauh mengatasi pelancong dari China dan Thailand.
Mungkin disebabkan keadaan itu selain kedudukan geografi, perhubungan antara Malaysia dengan Jakarta adalah sangat rancak seperti yang boleh dilihat melalui kekerapan penerbangan antara Kuala Lumpur dengan Jakarta serta antara bandar-bandar lain.
Penerbangan tambang murah AirAsia umpamanya menghubungkan Kuala Lumpur dengan 15 destinasi di Indonesia yang merangkumi tempat di Sumatera, Jawa, Bali, Kalimantan, Sulawesi dan Lombok. Ia tidak termasuk penerbangan terus yang disediakan dari Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Pulau Pinang.
”Dengan penerbangan terus yang disediakan, saya boleh berulang alik antara kampung dengan tempat bekerja tanpa melalui Kuala Lumpur,” kata Zahrain yang merupakan bekas Ahli Parlimen Bayan Baru di Pulau Pinang.
Beliau berkata, pelbagai peluang yang ditawarkan di Indonesia wajar diteroka di mana hubungan antara Kuala Lumpur dengan Jakarta tidak harus dibebani dengan legasi sejarah dan pelbagai isu bersama yang dihadapi kedua-negara.
”Malaysia dan Indonesia boleh saling mengambil iktibar, saling belajar demi menangani pelbagai isu semasa,” katanya.