 |
Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik |
PADA masa ini pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat masih lagi berada pada tahap yang kurang memuaskan iaitu sekitar 24 peratus sahaja.
Hakikat itu adalah sesuatu yang cukup mengecewakan kita memandangkan bumiputera merangkumi 67 peratus daripada penduduk negara ini jika dibandingkan dengan kaum Cina yang hanya berjumlah 23 peratus tetapi memiliki hampir 50 peratus ekuiti dalam syarikat.
Menyedari hakikat itu, maka Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) sedang menjalankan kempen Skim Satu Keluarga Satu Syarikat (1K1S) secara agresif bagi meningkatkan bilangan bumiputera yang memegang ekuiti dalam syarikat.
Pengerusi Gabem, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik berkata, menerusi kempen itu yang boleh disifatkan sebagai satu anjakan paradigma kepada bumiputera, mereka akan digalakkan menubuhkan syarikat keluarga.
“Segala aset seperti hartanah yang dimiliki suami, isteri dan anak-anak akan dijadikan hak milik syarikat dan kemudiannya akan ditukarkan menjadi saham yang diagihkan sesama mereka.
“Saya rasa kita perlu berbuat sedemikian bagi meningkatkan nilai harta orang Melayu dan bumiputera. Sekarang banyak daripada harta orang Melayu ini tidak dimasukkan dalam perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan tidak dihitung dalam perangkaan pemegangan ekuiti nasional,” katanya.
Beliau berkata, keadaan itu adalah berbeza dengan kaum Cina yang mana tanah, rumah, kenderaan dan lain-lain harta mereka dijadikan aset kepada syarikat keluarga sehingga menyebabkan pemilikan ekuiti mereka menjadi lebih tinggi.
Menurut beliau, selain bermanfaat untuk meningkatkan pemilikan ekuiti golongan bumiputera di negara ini kepada sekurang-kurangnya 30 peratus, kempen 1K1S juga akan mendedahkan orang Melayu dengan budaya persyarikatan.
“Dengan adanya syarikat keluarga, orang Melayu akan tahu macam mana nak mengendalikan syarikat termasuk menguruskan kewangan supaya sentiasa mendapat keuntungan.
“Bila orang Melayu dan bumiputera sudah mahir untuk mentadbir sebuah syarikat, baharulah dia dengan senang boleh mengendalikan projek. Sekarang terbalik, dia pergi lobi untuk dapatkan projek dulu, selepas itu baharu dia tubuh syarikat.
“Sebab itu sekarang, daripada setiap 100 syarikat bumiputera yang ditubuhkan, hanya antara 18 hingga 20 peratus yang berjaya.
“Orang Cina dia tubuh syarikat dulu walaupun kecil. Sebab itu dia sudah faham macam mana nak uruskan perniagaan dan apabila diberikan projek yang besar, dia boleh kendalikan,” ujarnya.
Katanya, Gabem menyambut baik pengumuman kerajaan dalam Bajet 2014 untuk mewujudkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) dengan dana permulaan RM30 juta dan Skim Usahawan Pasar Malam dengan dana sebanyak RM100 juta.
“Langkah ini adalah selaras dengan kempen 1K1S yang kita jalankan dan kita berharap ini akan meningkatkan penglibatan bumiputera dalam bidang perniagaan dan keusahawanan,” katanya.
Tambah beliau, kempen 1K1S juga adalah bagi menyokong usaha kerajaan yang telah menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera (Equibumi).
“Saya difahamkan Equibumi dengan peruntukan RM300 juta yang telah diamanahkan kepada SME Bank bertujuan membantu syarikat bumiputera yang berwibawa mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia melalui pembiayaan yang disediakan.
“Kebiasaannya, ia akan diuruskan oleh Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) bagi membolehkan syarikat bumiputera mengambil alih syarikat bukan bumiputera supaya pemegangan saham kita dapat ditingkatkan dengan segera.
“Prasyarat kepada kejayaan pengambilalihan syarikat-syarikat bukan bumiputera ini ialah Ekuinas dan lain-lain agensi kerajaan yang telah diberikan peranan harus menyediakan satu barisan kepimpinan pengurusan yang profesional.
“Tidak guna kita ambil syarikat, lepas itu kita tak boleh hendak mengendalikannya. Mungkin syarikat berpotensi untuk disenaraikan tetapi kerana ketiadaan barisan kepimpinan baharu yang berwibawa, ia akhirnya masuk ke dalam parit,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM200 juta yang akan disalurkan melalui SME Bank bagi Program Pembangunan Semula Tanah Rizab Melayu akan memastikan kawasan-kawasan berkenaan tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan.
“Pembangunan secara komersial kawasan strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat di Kuala Lumpur akan membantu masyarakat Melayu setempat meningkatkan taraf hidup mereka seiring dengan pembangunan pesat di kawasan sekitarnya.
“Kita berharap pembangunan yang dimulakan pada 2014 ini akan menjangkaui tahun-tahun berikutnya sehingga boleh wujud satu bentuk pembangunan seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang hebat itu,” ujarnya.
Menurut beliau, Gabem suka menyarankan pembangunan tanah-tanah rizab Melayu tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja sebaliknya perlu diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk di Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang.
“Bagi meningkatkan pulangan pendapatan kepada orang Melayu, maka bangunan yang telah siap dibina bolehlah disewa kepada semua kaum.
“Penyewaan mestilah diliberalisasikan, sekurang-kurangnya 30 peratus ataupun sehingga 50 peratus premis disewakan kepada bukan bumiputera asalkan hak milik hartanah tersebut tidak berpindah kepada bukan Melayu.
“Dalam skim penyewaan seperti ini, hak milik tetap pada tangan Melayu. Kita sewakan kepada bukan Melayu bagi membolehkan pemilik-pemilik premis mendapat pendapatan yang lebih tinggi,” katanya.
Sementara itu, katanya, Penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global (Magic) dengan dana sebanyak RM50 juta seperti yang diumum dalam Bajet 2014 membuktikan kerajaan serius untuk memastikan bahawa inovasi dan kreativiti menjadi asas kepada syarikat bumiputera.
“Untuk trend yang akan datang kita tidak mahu lagi bumiputera hanya menubuhkan syarikat kontraktor kecil kelas F sahaja sebaliknya dengan adanya bantuan daripada Magic ini mereka akan terlibat dalam perniagaan yang jarang orang buat.
“Apabila terlibat dalam bidang perniagaan sedemikian peluang untuk berjaya adalah lebih tinggi lagi dan ini harus direbut terutama di kalangan orang Melayu yang mempunyai ilmu dan berpendidikan tinggi.
“Dengan segala program yang telah diumumkan kerajaan, kita berharap usahawan baharu bumiputera yang bakal dilahirkan adalah benar-benar berdisiplin, lebih komited, profesional, dinamik dan berorientasikan pasaran,” ujarnya.