PONTIAN 10 Nov. – Cabaran dalam dunia pendidikan masa kini memerlukan semua pihak berganding bahu bagi memastikan para pelajar dapat memperoleh pencapaian yang seimbang dan tanggungjawab ini tidak semestinya terletak di tangan pentadbir dan pendidik di sekolah.
 |
Gambar Fail: Ahmad Maslan menyampaikan cenderamata kepada wakil SMK Benut yang muncul sebagai johan pertandingan Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC ) Parlimen Pontian di Pontian. |
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, orang ramai boleh menyumbang sesuatu bagi kemajuan bersama dalam pendidikan dan kerjasama yang terjalin mampu memberikan kesan besar kepada pelajar dalam prestasi akademik dan juga aktiviti di luar bilik darjah yang semakin diberikan penekanan.
Malah, kata beliau, bekas-bekas pelajar yang telah berjaya juga boleh menyumbangkan sesuatu kepada pihak sekolah bagi sama-sama berkongsi kejayaan melalui program motivasi atau perkongsian bijak.
Perkongsian bijak atau smart partners dengan pelbagai pihak telah banyak dilakukan oleh sekolah-sekolah besar dan ternama di negara ini yang nyata dapat memberikan kesan positif pencapaian pelajar.
Perancangan jangka panjang perlu bagi memastikan pelajar memperoleh kejayaan berterusan kerana pendidikan adalah aset dalam mencorakkan masa depan generasi muda,” katanya dalam majlis perasmian bangunan tambahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Pontian di sini kelmarin.
Yang turut hadir Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon; Pegawai Pendidikan Daerah Pontian, Msduki Shahri; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bandar Pontian, Mahmood Amir dan Guru Penolong Kanan 1 SK Bandar Pontian, Zulkifli Ismail.
Bangunan tambahan bernilai RM9 juta itu melibatkan pembinaan dua blok bangunan baharu tiga tingkat, sebuah dewan terbuka dan kantin yang mula dibina pada tahun 2009 dan mula digunakan pada 2011.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, pembinaan bangunan baharu sekolah tersebut menepati keperluan sebagai sebuah sekolah kebangsaan terbesar di daerah itu dengan 986 pelajar dan 74 guru.
Dengan siapnya bangunan tambahan telah memberikan keselesaan kepada pelajar-pelajar apabila bilik-bilik darjah baharu ditambah, selain pelbagai kemudahan kepada pihak pengurusan. Pihak sekolah diharap dapat merangka pelan strategik meningkatkan pencapaian murid, begitu juga keyakinan ibu bapa kepada sekolah,” ujarnya.