KUALA LUMPUR 25 Nov. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM10.11 bilion dalam tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2013, meningkat 44 peratus atau RM7.02 bilion berbanding suku sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, prestasi itu didorong terutama oleh pasaran ekuiti lebih teguh di peringkat domestik dan luar negara serta peningkatan ketara dalam jumlah dagangan pada suku ketiga 2013.
Katanya, KWSP turut menerima manfaat daripada bayaran dividen lebih tinggi daripada syarikat tersenarai ekoran pendapatan bertambah baik.
“KWSP terus mempelbagaikan pelaburan dalam pasaran, sektor dan kelas aset secara menyeluruh bagi memberikan pulangan optimum yang mampan dalam jangka panjang.
“KWSP juga boleh mencari peluang dan mengurangkan risiko daripada pergerakan pasaran yang tidak seimbang seperti ekonomi yang bertambah baik di negara maju dan penjualan mata wang di pasaran baru muncul,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sektor ekuiti terus menjana pendapatan pelaburan lebih tinggi sebanyak RM5.71 bilion pada suku ketiga tahun ini, meningkat RM3.37 bilion berbanding RM2.34 bilion dalam tempoh sama pada 2012.
Pendapatan daripada pelaburan dalam sekuriti kerajaan Malaysia dan yang bon sama tarafnya pula mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion menunjukkan peningkatan nominal 0.18 peratus berbanding suku sama tahun 2012, manakala sektor instrumen pasaran wang menyumbang RM145.23 juta.
Setakat 30 September 2013, aset pelaburan KWSP meningkat sebanyak RM57.85 bilion kepada RM568.04 bilion daripada RM510.19 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.
Jumlah caruman diterima pada suku ketiga 2013, berjumlah RM12.76 bilion berbanding RM8.85 bilion jumlah pengeluaran, menghasilkan aliran masuk dana bersih sebanyak RM3.91 bilion pada suku tahun dikaji.
Mengulas mengenai prospek ekonomi global, Shahril Ridza berkata, walaupun terdapat tanda-tanda ekonomi global beransur pulih, KWSP terus berhati-hati kerana pemulihan tersebut adalah lemah disebabkan risiko ekonomi dan polisi semasa di Amerika Syarikat, Eropah dan China.
Pengumuman Bajet 2014 baru-baru ini adalah positif untuk ekonomi dan kedudukan fiskal Malaysia kerana ia jelas menetapkan agenda untuk menyusun semula subsidi dan cukai bagi faedah berstruktur dan daya saing dalam jangka panjang,” katanya.