SHAH ALAM 13 Nov. – Industri pembuatan filem tingkap kenderaan di negara ini dijangka berkembang positif susulan peningkatan prestasi jualan kenderaan yang mencatatkan kadar 6.4 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, berdasarkan perangkaan yang diterima pihaknya, sebanyak 488,000 unit kenderaan baharu dijual antara Januari hingga September lalu berbanding 456,768 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Malah, katanya, sepanjang September lalu sahaja, sebanyak 55,000 unit kenderaan baharu dijual yang mana jumlah itu meningkat 20 peratus berbanding bulan sama tahun lalu.
“Perkembangan tersebut memberi makna cukup signifikan iaitu industri automotif memerlukan industri pembuatan filem tingkap kenderaan.
“Malah, dijangkakan sebanyak 200 juta kaki persegi filem tingkap akan dijual secara global setiap tahun menjelang 2020,” katanya.
Beliau berucap melancarkan produk generasi kelima filem tingkap Konica-Minolta Ice-μ serta pembukaan setornya yang pertama di rantau Asia Tenggara di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Operasi Perniagaan Filem Termaju Konica-Minolta, Shigeki Suzuki dan Ketua Pegawai Eksekutif Jasa Sarjana Sdn. Bhd.(Jasa Sarjana), Datuk Nik Izani Ibrahim.
Jasa Sarjana merupakan syarikat yang dilantik sebagai pengedar tunggal tempatan bagi memasarkan produk Konica-Minolta Ice-U yang digunakan untuk tingkap kenderaan, pembinaan bangunan dan sebagainya.
Produk itu merupakan antara keluaran Konica-Minolta yang termaju melibatkan penggabungan lutsinar dan menghalang haba panas kenderaan serta bangunan menerusi teknologi kawalan jarak gelombang.
Malah, filem tingkap itu juga tidak mengganggu isyarat elektronik dan memberi pengalaman selesa serta nyaman kepada pengguna.
Sementara itu, Nik Izani dalam sidang akhbar berkata, pihaknya menyasarkan pembinaan sebanyak 15 setor lagi di negara ini yang berkonsepkan francais dalam tempoh setahun akan datang.