ALHAMDULILLAH, pada malam ini saya diberi kesempatan untuk mendengar rumusan yang telah dicapai dalam Kongres Profesor Negara II yang bertemakan Gagasan Penyatupaduan Nasional.
 |
Najib Tun Razak berucap pada Majlis Makan Malam Bicara Perdana Sempena Kongres Profesor Negara II di Hotel Istana, kuala lumpur, kelmarin. |
Izinkan saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Majlis Profesor Negara (MPN) sebagai sebuah badan pemikir yang bebas mempunyai keupayaan yang tinggi serta pendapat yang berintegriti yang boleh memainkan peranan penting membantu kerajaan untuk melangsungkan proses membina sebuah negara bangsa secara lebih terancang dan tersusun.
Saya amat yakin dan percaya bahawa badan ini memang boleh menjadi rakan kongsi kepada kerajaan sebab penyuburan pemikiran intelektual dari kalangan intelligentsia adalah merupakan satu sumber kekuatan kepada negara kita yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa.
Sebagai sebuah negara kita perlu meletakkan peranan intelligentsianya sebagai salah satu daripada peranan dan sumber kekuatan kepada negara kita.
Topik yang telah dipilih oleh Majlis Profesor Negara-Penyatupaduan Nasional adalah amat tepat dan kena pada masanya sebab proses membina sebuah negara bangsa tidak pernah statik sebalikya mengalami proses yang begitu dinamik yang sentiasa terdedah kepada perubahan persekitaran dan landskap, kadang-kadang pemikiran positif, kadang-kadang aliran atau trendnya adalah sebaliknya.
Sebagai sebuah negara yang begini kompleks kepelbagaiannya antara paling unik di dunia dan perkara ini saya telah tekankan dalam ucapan belanjawan saya, menggambarkan betapa kompleksnya masyarakat kita di Malaysia ini apabila saya sebut bahawa orang Melayu sahaja terdiri daripada 41 suku, orang Cina 10 suku, orang India tujuh suku, orang Asli 18 kategori, bumiputera Sabah lebih 60 kumpulan etnik, sub-etnik dan di Sarawak pula lebih 40 suku.
Kalau kita lihat kompleksiti masyarakat seperti ini risiko negara kita akan terjerumus kepada lembah konflik dan perbalahan mungkin lebih tinggi daripada kemungkinan kita boleh muncul sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan berjaya.
Negara-negara lain kalau kita lihat tidak begitu kompleks seperti negara Malaysia namun negara-negara tersebut tidak berjaya malah ada yang boleh dikatakan sebagai ‘failed state’ kerana gagal mengurus tadbir negara mereka menyebabkan konflik dalaman yang begitu parah telah melanda negara-negara mereka.
Kalau saya sebut small miracle seolah- olah ia terjadi dengan sendiri. A miracle happened by itself tetapi pada saya ini bukan satu keajaiban tetapi sesuatu outcome yang menjadi kenyataan kerana ia telah dirancang oleh pengasas-pengasas negara kita. Our founding fathers terdiri daripada mereka yang mempunyai wawasan yang mempunyai komitmen kepada rule of law dan mungkin agak menyanjung prinsip a sense of fair play and justice yang ada pada mereka.
Secara kebetulan walaupun saya di bangku sekolah ketika itu tetapi saya dapat melihat secara dekat pemimpin-pemimpin waktu itu daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman, pemimpin-pemimpin lain termasuk ayahanda saya (Tun Abdul Razak Hussein) serta pemimpin-pemimpin kaum lain.
Mereka tidak ada sesuatu keinginan untuk mengetepikan kaum atau pun komuniti lain. Saya lihat inilah titik tolaknya apabila kita dapat menunjukkan sistem nilai dan sikap seperti ini dan kita terjemahkan dalam proses yang disebutkan oleh Profesor Zakri tadi iaitu berdasarkan kepada BN yakni ‘bargaining negotiation‘.
Pembentukan Perlembagaan negara kita yang kita katakan berasaskan kepada sosial kontraknya dan lain- lain dasar tidak tergelincir daripada prinsip bahawa setiap kaum, setiap komuniti ada tempat di bawah bumbung langit Malaysia ini dan bila kita ada perasaan seperti itu, maka kita boleh menterjemahkan dalam bentuk dasar-dasar yang menjurus kepada proses nation buiding.
Bukan bererti kita tidak terdedah pada permasalahan yang agak serius pada ketika tertentu tetapi bila kita ada perasaan seperti ini some how rather kita boleh manage our differences. Kita tidak biarkan perbezaan pendapat kita ini menjadi terlalu keterlaluan out comenya sehingga kita tidak boleh membawanya ke jalan yang boleh diterima oleh semua kaum dan komuniti.
Bila tragedi hitam 13 Mei pun banyak orang meramalkan negara kita akan hancur, tidak mungkin kita dapat pulih tetapi kita pulihkan negara kita dengan begitu cepat sekali. Kalau kita lihat tempoh pemulihannya dalam masa beberapa tahun sahaja dan kita dapat lihat negara kita bertambah kukuh, lebih kuat daripada peristiwa yang hampir menghancurkan negara kita.
Pemimpin-pemimpin kita ada sense of fair play, yang berada ke hadapan daripada kelok pemikiran pada ketika ini. Siapa dapat fikir sistem politik waktu kita merdeka dahulu mengenai perkongsian kuasa, masa itu. Kita berada ke hadapan. Negara lain tidak dapat berfikir seperti ini.
Pembangkang pada pilihan raya ini sahaja baru hendak mengikut atau meniru langkah yang telah kita bina dahulu sebab bila kita ada perkongsian kuasa kita tidak membincangkan soal sensitif di luar empat pintu, empat dinding tetapi secara dalaman.
Sebab itu proses kalau kita hendak bargain dan negotiate, cuba kita bargain dan negotiate gunakan media massa sampai sudah kita tidak boleh selesai sebab bila kita telah nyatakan pendirian kita secara terbuka kita tidak akan undur daripada pendirian kita.
Sebaliknya bila kita berunding berdasarkan semangat (bargaining and negotiation) tadi dalam sebuah bilik secara tertutup kemungkinan kita untuk mencapai permuafakatan nasional lebih tinggi daripada kalau kita buat secara terbuka.
Inilah kita lihat hari ini, mungkin prinsip ini kita lihat sebagai mudah tetapi dalam tahun 50-an dahulu kita sudah memulakan proses ini. Sebab itu saya kata kita bernasib baik kerana kita mempunyai pemimpin-pemimpin dan pengasas negara yang berfikiran a head of our times dan sebab itulah bila kita sudah tetapkan national psyche kita pemimpin-pemimpin terdahulu membentuk our national psyche dan our national psyche itulah yang menyebabkan hari ini kita berjaya dan kemungkinan dalam masa tujuh tahun nanti kita akan menjadi sebuah advance nation yang maju.
This is the result of the process yang telah dimulakan dan kompleksitinya amat dahsyat dalam negara. Itu saya sebut dari segi komposisi kaum, etnik dan sub-etnik. Kalau dilihat dari segi sistem pendidikan, saya tidak fikir ada negara lain ada sekolah kebangsaannya, ada sekolah jenis kebangsaan Cina, jenis kebangsaan Tamil ada aliran agama, ada sekolah mubaligh dan sebagainya tetapi kita masih boleh membawa nagara kita ke tahap kejayaan seperti yang kita ada pada hari ini meskipun kompleksiti ini perlu juga kita fikir bagaimana kita boleh mantapkan lagi proses nation building ini.
Sebab itulah saya bila mengambil alih pimpinan negara, saya perkenalkan Gagasan 1Malaysia. Selain daripada faktor saya sebutkan tadi menambahkan kepada prinsip-prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara kita, saya tokok tambah dengan Gagasan 1Malaysia.
Sebab bila Dr. Mahathir perkenalkan konsep bangsa Malaysia, ia tidak pernah dinyatakan apa maksud bangsa Malaysia, jadi kita kena lihat bahawa Gagasan 1Malaysia bukanlah mengenai soal pilihan raya. Sebab bila sudah selesai PRU-13 orang tanya apa yang telah berlaku pada Gagasan 1Malaysia. Saya katakan Gagasan 1Malaysia its not about general election, its about nation building. Ia melangkau soal pertimbangan dalam masa pilihan raya sebab kalau kita boleh berpegang kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang kita sudah huraikan dalam Gagasan 1Malaysia soal penyatuan dan perpaduan nasional akan tercapai, insya Allah.
Saya kira inilah yang perlu kita lakukan, tidak tergelincir daripada memahami dan menghayati bahawa secara conscious proses nation building mesti kita lakukan.
Tidak ada gunanya kalau kita bina institusi yang sepatutnya menjadi tonggak kepada negara kita, kita hendak runtuhkan institusi tersebut. Bila kita buat sistem kehakiman, kita persoalkan sistem kehakiman. Kita hendak jaga martabat raja-raja, kita mempersendakan raja-raja, kita tubuh SPR-Suruhanjaya Pilihan Raya kita pula mengutuk SPR seolah-olah SPR ini menyeleweng. Kira-kira 40,000 mat bangla boleh mengundi dalam pilihan raya yang lalu, tidak masuk akal ceritanya. Sebab itulah saya hendak pergi ke Bangladesh dalam 10 hari lagi. Saya hendak jumpa, hendak cari 40,000 mat bangla itu. Saya hendak ucap terima kasih kepada mereka kerana mengundi Barisan Nasional.
Ini semua merosakkan proses nation building. Ya, kita hendak menang pilihan raya, ya kita hendak yakin orang mengundi kita tetapi bila kita menabur fitnah yang begitu dahsyat kita meruntuhkan institusi-institusi yang menegakkan negara Malaysia kita yang tercinta ini.
Sebab itulah kalau orang kata saya marah, memang saya marah. Sebab apa, ini bukan soal politik tetapi ini meruntuhkan negara dan saya akan pertahankan negara Malaysia. Keamanan, keselamatan dan keharmonian negara kita tanggungjawab saya sebagai Perdana Menteri. Pertahankannya supaya ada masa depan yang sama-sama sinarannya dapat dirasai oleh kita.
Negara Malaysia mempunyai potensi promise of great things jangan kita persia-siakan harapan bersama negara Malaysia yang menanti kita semua.
Moga sumbangan Majlis Profesor Negara ini membantu kita untuk menjamin memastikan masa depan yang diharapkan itu menjadi kenyataan, insya-Allah.