Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Ucapan Pembangunan Tanah Wakaf oleh Datuk Ahmad Maslan

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Rabu, 13 November 2013

Datuk Ahmad Maslan
TEXT UCAPAN OLEH YANG BERHORMAT DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN, TIMBALAN MENTERI KEWANGAN DI MAJLIS MENANDATANGANI MEMORANDUM PERSEFAHAMAN DIANTARA BANK MUAMALAT MALAYSIA BERHAD DENGAN UDA HOLDINGS BERHAD UNTUK PEMBANGUNAN TANAH WAKAF.

12th November 2013
Hilton, Petaling Jaya.

Bismillahirrahmannirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatu dan Salam Satu Malaysia.
• Yang Berbahagia, Dato’ Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad
• Yang Berbahagia, Tn Haji Ahmad bin Abu Bakar, Pengarah Urusan UDA Holdings Berhad, Lembaga Pengarah Bank Muamalat Malaysia Berhad dan UDA Holdings Berhad
• Wakil-wakil dari Majlis Agama Islam Negeri-negeri
• Para jemputan, serta hadirin dan hadirat sekalian

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih di atas jemputan bagi menyerikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman di antara Bank Muamalat Malaysia Berhad dan UDA Holdings Berhad untuk pembangunan hartanah wakaf di Malaysia. Ini adalah sebahagian daripada inisiatif-inisiatif murni pihak korporat yang selaras dengan usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi Ummah, yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu.

Saya percaya, memorandum yang ditandatangani pada hari ini akan membuahkan hasil kerjasama yang jitu di antara kedua-dua pihak yang bermanafaat kepada umat Islam di Malaysia seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Sebelum saya pergi lebih lanjut, eloklah jika kita mengambil sedikit pemahaman apakah itu wakaf. Wakaf dari sudut bahasa berasal daripada perkataan “Waqafa” yang bermaksud berhenti, mencegah ataupun menahan. Dari sudut istilah pula, wakaf bererti apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya, untuk kebajikan dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, wakaf membawa maksud sesuatu yang diberikan untuk kegunaan orang ramai atau sesuatu yang diberikan dan diperuntukkan bagi keperluan yang berkaitan dengan agama Islam.

Teringat saya kepada firman Allah SWT di dalam Al Quran, Surah Ali Imran Ayat 92 yang bermaksud:

“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sebenarnya sehingga kamu belanjakan sebahagian daripada harta yang paling kamu sayangi dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”.

Wakaf merupakan satu amalan sunat dan amat digalakkan dalam Islam sebagai salah satu. Wadah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapat keredaanNYA. Wakaf akan menjadi wajib dilaksanakan apabila dibuat dengan wasiat. Keunikan dan kepentingan wakaf dapat dilihat dari sudut wakaf sebagai satu mekanisme perkongsian harta kekayaan seseorang dengan orang lain. Dalam ekonomi, wujudnya golongan yang mengagih semula harta kekayaan kepada orang lain, adalah sangat penting untuk mengimbangi sosio ekonomi sesebuah Negara. Pengagihan bukan setakat sebagai tanda merafakkan kesyukuran kepada Allah tentang rezeki dan pemberian tetapi lebih dari itu sebagai ujian kepada manusia adakah mereka patuh dan bersyukur ataupun engkar dan tamak.

Allah SWT telah berfirman dalam surah al –Fajr ayat 15 & 16:

“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: “Tuhanku telah memuliakan aku”. Adapun apabila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: “Tuhanku menghina aku”. Sejarah telah membuktikan bahawa wakaf boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi sesebuah Negara.

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Malaysia mempunyai harta wakaf yang banyak terutamanya tanah, yang mana sekiranya dibangunkan ia pasti dapat memberi sumbangan yang positif kepada pembangunan ekonomi umat Islam. Mengikut perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), jumlah keseluruhan tanah wakaf am dan khas di Malaysia adalah seluas 11,091.82 hektar dengan nilai semasa berjumlah RM1.177 bilion. Daripada jumlah ini, tanah wakaf khas adalah seluas 6,255.33 hektar, manakala tanah wakaf am seluas 4,836.50 hektar.

Negeri Johor Darul Takzim memiliki jumlah keluasan terbesar tanah wakaf di Malaysia seluas 3,152.30 hektar, manakala Negeri Selangor, walaupun dengan keluasan tanah wakaf yang kecil berbanding Johor, mempunyai nilai yang terbesar dianggarkan sebanyak RM200 juta.

Potensi pembangunan hartanah wakaf adalah amat luas. Tanah wakaf boleh dilihat sebagai salah satu katalis (catalyst) untuk menyokong ekonomi ummat Islam di Malaysia dalam meningkatkan daya saing mereka di samping bangsa-bangsa lain.

Walau bagaimanapun, salah satu faktor yang dikenal pasti, yang mengekang kemajuan potensi ini adalah kerana sumber kewangan yang terhad untuk melaksanakan projek pembangunan tanah wakaf di seluruh Negara. Atas kesedaran ini, melalui Rancangan Malaysia ke 10, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukkan sebanyak RM136.5 juta untuk membantu Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) membangunkan tanah wakaf.

Namun, kita harus sedar bahawa kita tidak boleh semata-matabergantung sepenuhnya dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Memetik ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera baru-baru ini, beliau menekankan betapa pentingnya untuk kita memperbaiki perangkaan sekarang dimana hanya 36.3% sahaja transaksi rumah kediaman yang melibatkan Bumiputera Islam. Salah satu usaha pihak kerajaan untuk memperbaiki angka tersebut adalah dengan mengoptimakan nilai dan manfaat aset bukan kewangan seperti hartanah dalam kalangan masyarakat Bumiputera Islam dengan mengemaskini Yayasan Wakaf Malaysia untuk ditukar taraf menjadi sebuah entiti wakaf korporat.

Sidang hadirin yang dihormati sekelian,
Adalah sangat digalakkan supaya GLC, syarikat-syarikat korporat, institusi perbankan dan pemaju-pemaju hartanah yang mempunyai sumber-sumber dana yang kukuh memainkan peranan masing-masing demi untuk menjayakan projek pembangunan hartanah wakaf. Langkah yang diambil oleh pihak Bank Muamalat Malaysia Berhad dan UDA Holdings Berhad pada hari ini adalah satu langkah yang amat tepat dan wajar diberi pujian.

Bank Muamalat, sebagai salah satu institusi perbankan Islam terulung di Malaysia difahamkan akan mengetengahkan produk–produk innovasi pembiayaan mereka untuk membiayai kos projek pembangunan tanah wakaf atau “project financing”, disamping memberi pembiayaan akhir atau “end financing” untuk para pembeli. Apa yang istimewanya adalah kedua-dua produk ini digabungkan sebagai satu pekej yang diberi nama “Bina Waqf”, di mana Bank Muamalat bersedia untuk menawarkan kadar keuntungan yang kompetitif demi untuk menjayakan inisiatif pembangunan ummah ini. Insya Allah, hasilnya saya lihat bukan sahaja untuk kepentingan duniawi semata- mata, malah sebagai persediaan di akhirat juga.

Dari sudut lain pula, UDA Holdings Berhad sebagai salah sebuah entiti pembangunan hartanah yang besar di Malaysia, telah menawarkan kemahiran mereka untuk menjadi rakan kongsi Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAINN) dan JAWHAR bagi memajukan tanah wakaf yang berpotensi terutamanya di kawasan Bandar di seluruh Negarabagi membantu meningkatkan ekonomi ummat Islam

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Saya berharap agar lebih banyak lagi badan-badan korporat yang berani untuk mengambil inisiatif demi merealisasikan impian kerajaan untuk memperkasakan ekonomi ummat Islam di Malaysia. Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada Bank Muamalat Malaysia Berhad dan pihak UDA Holdings Berhad atas kerjasama yang bakal dijalinkan.Insya Allah, dengan berkat Ilahi, saya mendoakan agar usaha murni kedua-dua pihak ini akan diberkati oleh Allah SWT dan berjaya menyumbang kepada pembangunan ekonomi Ummat Islam khususnya serta Negara secara keseluruhannya.

Terima kasih dan tahniah. Wassalam.

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas