PONTIAN 8 Nov. – Kedudukan ekonomi negara masih kukuh walaupun nilai ringgit Malaysia mengalami penyusutan berbanding dolar Singapura.
 |
Datuk Ahmad Maslan ketika seisi kupasan Bajet 2014 di TV3 baru-baru ini yang disiarkan secara langsung. |
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, penyusutan tersebut tidak memberi sebarang masalah memandangkan nilai ringgit masih stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
“Adalah penting ringgit kukuh dan stabil berbanding dolar AS kerana kebanyakan perdagangan antarabangsa dibuat dalam mata wang berkenaan, bukannya dolar Singapura atau lain-lain.
“Penyusutan mata wang ini juga perlu dilihat dari sudut positif kerana nilai eksport negara terus meningkat, selain rakyat Singapura akan terus menjadikan negara ini sebagai destinasi membeli-belah,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Taman Benut Utama, Benut dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media Singapura tentang kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Singapura iaitu RM2.50 bagi S$1 dan keadaan itu dijangka kekal dalam tempoh enam bulan akan datang.
Nilai mata wang itu dijangka terus meningkat kepada RM3 bagi S$1 dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan aliran keluar dana daripada pembelian bon ringgit yang menjadi salah satu punca penyusutan nilai mata wang berkenaan.
Laporan tersebut yang tersebar menerusi laman sosial seperti Facebook turut mendapat maklum balas dan pandangan berbeza-beza daripada rakyat negara ini.
Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan, caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M yang dicadangkan kerajaan sebelum ini akan dikuatkuasakan mulai awal tahun depan.
Beliau berkata, insurans perlindungan berjumlah RM30,000 itu akan diberikan kepada waris sekiranya penerima BR1M meninggal dunia.
Ahmad juga menggalakkan lebih banyak pihak swasta mengambil inisiatif membina lebih banyak rumah mampu milik bagi merealisasikan hasrat kerajaan menyedia 223,000 rumah mampu milik tahun depan seperti dibentangkan dalam Bajet 2014.
“Kita harapkan pihak swasta tidak hanya membina pangsapuri dan kondominium mewah, malah turut membantu kerajaan membina rumah mampu milik untuk rakyat,” katanya.
Daripada 223,000 rumah mampu milik itu, Jabatan Perumahan Negara akan membina 17,073 unit, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) 80,000, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) 26,122, Skim My Home (10,000) dan swasta (90,000) unit.