SERDANG 22 Nov. – Bakat yang dianugerahkan kepada setiap anak perlu diasah dan diasuh, sesuai dengan perumpamaan Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
|
Rosmah Mansor melihat Buku & Sijil Malaysia Book of Record yang diterima Prabu (empat dari kanan) sebagai artis India termuda yang merakamkan album berbahasa Melayu selepas melancarkan album solo dan buku biografi kanak-kanak itu di Universiti Putra Malaysia, Serdang, semalam. |
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan pendidikan dan memberikan galakan sewajarnya demi kecemerlangan anak-anak mereka.
“Bakat ini ibarat benih. Benih yang baik apabila disemai di tanah subur dan dijaga dengan rapi akan tumbuh mekar.
“Sehubungan itu, bakat yang ada pada anak-anak harus dikenal pasti seawal mungkin supaya mereka mampu berkembang dengan menyeluruh dari segi akademik serta kemahiran yang digemari,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan album solo berjudul Impianku dan buku biografi Prabu, The Little MGR di Universiti Putra Malaysia (UPM) dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Pertubuhan Perkembangan Intelek Malaysia, O. Thuraiveloo dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Prabu atau nama sebenarnya Prabu Sritharan Jeeva, 10, turut tersenarai dalam Malaysia Book of Records sebagai artis India termuda yang merakamkan album berbahasa Melayu.
Penyanyi kanak-kanak itu mendapat gelaran MGR Cilik (The Little MGR) kerana dia gemar menggayakan lagak pelakon Tamil Nadu, India terkenal, M. G. Ramachandran (MGR).
Tambah Rosmah, tiada yang mustahil untuk mencapai impian melainkan dengan usaha bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam hidup.
Oleh itu kata beliau, sokongan padu daripada keluarga, guru serta persekitaran perlu diberi penekanan.
“Bakat anak-anak merupakan potensi untuk mencapai kegemilangan di luar jangkaan,” katanya.