YAYASAN Restu bakal menerbitkan buat pertama kalinya al-Quran dengan terjemahan Bahasa Mandarin tahun depan sebagai langkah meneruskan dakwah melalui seni mushaf.
AHMAD Maslan (berdiri tiga dari kanan) menyaksikan Abdul Latif Mirasa (duduk dua dari kanan) dan Mustapha Ma (duduk dua dari kiri) menandatangani memorandum persefahaman untuk penerbitan Al-Quran Terjemahan Bahasa Mandarin di Shah Alam baru-baru ini. YAYASAN Restu bakal menerbitkan buat pertama kalinya al-Quran dengan terjemahan Bahasa Mandarin tahun depan sebagai langkah meneruskan dakwah melalui seni mushaf.
Untuk merealisasikan tujuan itu satu perjanjian persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dengan Yayasan Restu untuk berkongsi pengalaman menerbitkan al Quran tersebut.
Pada majlis itu Yayasan Restu diwakili Pengersuinya, Datuk Abdul Latiff Mirasa dan Macma pula oleh Presidennya, Datuk Dr. Mustapha Ma.
Majis itu disaksikan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.
Ahmad berkata, buat permulaan sebanyak 20,000 naskhah al-Quran terjemahan Bahasa Mandarin akan disiapkan melalui kerjasama itu.
Beliau berkata bagi peringkat seterusnya, Yayasan Restu menyasarkan untuk menerbitkan 100,000 al-Quran dalam usaha melahirkan terjemahan yang terbaik dan bersesuaian dengan kehendak syarak.
Sementara itu, Abdul Latiff berkata sebanyak RM1 juta diperlukan untuk menerbitkan al-Quran itu termasuk daripada aspek kajian, penyelidikan dan penerbitan kerana ia menggunakan teknik tulisan tangan.
Beliau berkata, al-Quran terjemahan Bahasa Mandarin itu juga akan menggunakan seni tampak halus Cina dalam reka grafik al-Quran berkenaan.
âBagi tujuan kajian dan penyelidikan sahaja mengambil masa kira-kira enam bulan dan hampir setahun bagi kita selesaikan proses penerbitan al-Quran ini yang dijangka akan siap sepenuhnya tahun depan,â katanya.
Abdul Latiff berkata pihaknya juga bercadang mengeluarkan al-Quran versi soft copy (salinan skrin) dan digital bersesuaian dengan kecanggihan teknologi pada masa kini.
âKita juga menggalakkan orang ramai yang berminat untuk sama-sama berkongsi bagi menerbitkan al-Quran ini, tidak kiralah daripada kalangan profesional, korporat mahupun individu,â katanya.
Yayasan Restu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang terkenal dalam penghasilan manuskrip al-Quran bertulisan tangan, telah menerbitkan lebih 20 edisi al-Quran termasuk al-Quran Mushaf Malaysia pada 2000 serta mengeluarkan terjemahan Kitab Suci itu dalam enam bahasa termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Khmer, Rusia dan Kazakh.