 |
| Pengangkutan tongkang di Fenghuang. |
APABILA berada di bumi asing sudah pasti pelbagai bekalan maklumat rapi terlebih dahulu dikumpul dari teman-teman dan tok guru Google.
Namun apabila mula menjejakkan kaki di bumi Changsha, hampir separuh maklumat tersebut gugur ke tanah.
China yang digemparkan dengan wabak selesema, tahap keselamatan, lalu lintas, jenayah malah isu seperti sifat kemanusiaan ternyata lenyap daripada pemikiran. Daerah ini ternyata cukup aman.
Seramai 28 pelajar dari Universiti Malaya (UM) yang mengikuti program Outbound ke Hunan Universiti, menjadi saksinya.
Musim panas yang ternyata cukup panas dan kering akhirnya berjaya dihadapi para pelajar yang rata-ratanya pertama kali ke perantauan.
Musim luruh Namun setelah dua minggu, pintu musim luruh mula terbuka dan sedikit-sebanyak suasananya seakan-akan di Malaysia malah lebih sejuk lagi di malam hari.
Cuaca yang mulanya nyaman beserta hujan gerimis disambut dengan senyuman.
Changsha sebuah kota di wilayah Hunan, China memberikan 1,001 kenangan yang cukup indah setelah hampir sebulan berada di sini.
Terletak di bahagian Selatan China, keluasan wilayah Hunan hampir separuh Malaysia.
Melihat dari aspek kebersihan, walaupun kenderaan serta pengangkutan awam banyak terdapat di kawasan ini, ternyata masalah pencemaran udara sangat rendah apabila majoriti daripada kenderaan menggunakan elektrik terutama motosikal.
Ini terbukti apabila lokasi stesen minyak adalah terlalu jauh dan sukar untuk dijumpai.
Persediaan rapi dengan membawa topeng muka di dalam senarai utama barangan ternyata tidak perlu di daerah ini.
Biarpun berada di tengah-tengah bandar Changsha, tahap kebersihan udara masih baik jika dibandingkan dengan bandar-bandar kota yang lain.
Kami dimaklumkan sentiasa berhati-hati semasa berada di kawasan awam.
SelamatYa itu sudah pasti, namun semakin hari faktor keselamatan itu dirasakan selamat dengan sifat ramah masyarakat tempatan walaupun komunikasi antara kami ibarat ayam dan itik.
Senyum dan tawa serta kalkulator menjadi penghubung.
Penduduk di sini sudah pasti sangat pelik dengan kewujudan kami terutama pelajar perempuan yang bertudung litup di cuaca yang agak panas.
Ternyata golongan penduduk yang menganut agama Islam di sini terlalu sedikit serta pendedahan masyarakat tentang masyarakat luar adalah terbatas.
Hanya golongan berpendidikan tinggi lebih mengetahui berkenaan kepelbagaian bangsa lain dunia. Namun begitu masyarakat di sini menerima kehadiran kami dengan baik dan mereka mengetahui berkenaan Malaysia (sebutan Ma-lai-syi-aa).
Daerah ini sarat dengan tinggalan sejarah yang masih kekal dan dijaga rapi.
Senibinanya cukup membuatkan kami merasa seolah-olah berada di dalam drama China dinasti terdahulu.
Segala bangunan asal yang rosak akan dibaiki semula tanpa menjejaskan struktur asal.
Sihat dan kurus Berada di negara komunis ini ternyata pada permulaannya sangat sukar untuk mengadaptasi budaya di sini terutama berjalan kaki yang jauhnya lebih 10 km sehari.
Mungkin kerana situasi ini juga penduduknya sangat sihat dan kurus.
Bagi mereka berjalan kaki selama 40 minit masih dirasakan dekat, sedangkan bagi kami ternyata jauh. Malah antara aktiviti terluang mereka adalah mendaki Gunung Yuele.
Keunikan Universiti Hunan ini adalah apabila ketiadaan sempadan yang memisahkan kawasan universiti dengan dunia luar.
Oleh hal yang demikian situasi ini sangat unik dan pelik apabila penduduk tempatan kelihatan bebas bergerak berhampiran kawasan fakulti.
Malah terdapat beberapa pasar raya besar berhampiran dengan beberapa fakulti.
Ketiadaan tembok pemisah ini sebenarnya dilihat mengurangkan jurang di antara pelajar berpendidikan dengan masyarakat luar. Ini sekali gus memberikan satu impak positif yang baik.
Sekatan Melihat dari segi gaya hidup para pelajar di sini pula, pihak kerajaan sangat menjaga penduduk mereka terutama golongan belia daripada terpengaruh dengan anasir luar.
Ini terbukti apabila sekatan terhadap beberapa laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Youtube dilaksanakan.
Maka sudah pasti golongan belia ini khususnya kurang dilihat antisosial apabila mereka sentiasa menghabiskan waktu terluang bersama rakan-rakan, beriadah, bersukan dan juga di pusat sumber.
Bagaimanapun pihak kerajaan sentiasa menyediakan pelbagai bentuk hiburan dan riadah.
Salah satunya adalah pertunjukan bunga api pada setiap malam Sabtu selama 30 minit.
Pedalaman Sepanjang berada di sini kami berkesempatan melawat satu kawasan pedalaman yang cukup cantik dan menarik iaitu kawasan perkampungan di Fenghuang.
Kawasan ini agak jauh dari bangunan pencakar langit tetapi yang kelihatan adalah gunung-ganang penyejuk mata memandang.
Keistimewaan kawasan ini adalah kecantikan sungai dan pemandangan yang cukup memukau mata pelancong.
Dari Changsha, perjalanan mengambil masa selama lima jam menggunakan bas.
Pengalaman berharga ini sudah pasti akan tersemat erat di hati dan ingatan kami.
Malah persahabatan dengan pelajar dari Universiti Hunan ini akan terus dieratkan lagi dengan menanti ketibaan mereka pula meneruskan misi outbound ke Malaysia.
Semoga perkongsian pengalaman ini juga memberi maklumat berguna buat para pembaca.