KESIHATAN, keselamatan dan rezeki kita akan terpelihara apabila kita mendekati Allah. Orang yang dekat dengan Allah adalah orang yang dekat dengan al-Quran.
Jom audit diri, adakah kita menjadikan membaca al-Quran, amalan hidup kita seharian? Jom kita betulkan bacaan al-Quran, renung maknanya dan yang paling penting amalkan suruhan Allah yang terdapat dalam al-Quran.
Apabila kita tertekan atau stress, bermakna kita berjauhan daripada Allah dan banyak dosa. Buang perkataan negatif dalam sebutan harian, dan gantikan dengan kesyukuran kepada-Nya.
Dalam buku saya, Mata Akal Mata Hati, pada esei berjudul Celik Mata Reset Minda Pesakit, saya menjelaskan bahawa, “Perkara yang tidak perlu disebut setiap hari adalah, ‘saya tidak sihat’ dan ‘saya tidak larat atau penat’.
Apabila kita tidak menyebut perkara ini, maka 50 peratus kehidupan kita sudah bahagia. Apabila kita menyebut perkataan ‘penat’ misalnya, kita telah menghantar mesej kepada hati, maka jiwa dan seluruh tubuh fisiologi akan menjadi lemah!”
Sebab itulah dalam konsep pemikiran Reset Minda, saya menekankan betapa perlunya kita menjaga kata-kata kita, sama ada kata-kata yang keluar daripada percakapan kita, kata-kata berlegar-legar dalam pemikiran kita, atau kata-kata berbisik-bisik di hati kita.
Pilihlah perkataan yang positif sahaja dalam percakapan, pemikiran dan bicara hati kita, kerana kata-kata itu doa dan Allah bertindak berdasarkan apa yang ada dalam fikiran kita.
Bersangka baiklah dengan Allah dan jauhi prasangka serta perasaan ragu-ragu terhadap-Nya. Sebab itulah dalam pilihan hidup seterusnya, kita mesti tahu membuat pilihan dari sudut kerohanian dan spiritual.
Keputusan pilihan itulah yang menentukan kesejahteraan hidup kita di dunia dan yang penting untuk kehidupan di alam yang kekal kelak.
Maksudnya kita memerlukan satu keputusan kehidupan, sama ada mahu mencari reda Allah atau penghargaan manusia?
Buatlah pemilihan yang benar dan memberikan hasil kehidupan yang positif kepada diri. Jalani kehidupan ini dengan membebaskan diri daripada pandangan dan penghargaan manusia yang tidak ada apa-apa dan tidak tahu apa-apa pun.
Hidup akan tertekan apabila kita sibuk dengan makhluk Allah dan tidak fokus kepada pencipta makhluk.
“Kurangilah kesenanganmu pada dunia, agar berkurang kedukaanmu di akhirat” (Imam Syafie). Fokus kepada dunia melemahkan manusia, tetapi fokus kepada akhirat menguatkan manusia.
Pilihan yang utama dalam hidup kita adalah keyakinan kepada Allah. Kunci keyakinan ialah ilmu dan keikhlasan menuntut ilmu. Ketenangan akan dirasakan apabila hati bersih.
Oleh sebab itu, kalau tidak tenang bersihkan hati dengan melihat dan menilai diri, bertaubat dan berniat untuk berubah dan istiqamah melakukan perubahan pada diri, bukan cuba menyalahkan orang lain.
Penuhi hati dengan zikrullah, banyakkan bersedekah, jaga kualiti solat dan jaga semua kualiti ibadah.
Perkara utama yang mengancam hidup kita bukan apa yang berlaku kepada kita, tetapi yang paling mengancam kita adalah kejahatan yang kita lakukan oleh diri kita sendiri.
Iaitu, tangan yang memilih tindakan, kaki yang memilih langkah haluan; ke arah ketakwaan atau kemungkaran? Ke arah penghargaan Allah atau penghargaan manusia?
Kita tidak boleh mengubah “arah angin” yang bertiup, tetapi kita boleh mengubah arah layar bahtera kita. Kerana “arah angin” dalam takdir ketentuan Yang Maha Berkuasa.
Tetapi, orang yang bijak akan menjaga “layar bahtera”, tidak dibiarkan koyak rabak ditempuh ombak samudera, badai dan taufan. Jangan mengubah arah layar, yakni tidak melawan arus dan menentang angin kencang.
Reset minda, iaitu ubah cara kita memandang sesuatu kejadian, jika kecelakaan yang datang, terima sebagai satu ujian daripada Allah dan reda, dengan itu akan bertambah ketakwaan kita kepada-Nya.
Seandainya, kesenangan yang datang, terima sebagai satu rahmat daripada Allah, dan bersyukur, dengan itu akan bertambah keyakinan kita kepada-Nya.
Dengan sifat ketakwaan dan keyakinan yang tinggi kepada Allah, kita tidak akan berasa diri hebat di mata manusia.
Kita tidak dapat membersihkan jiwa selagi kita melihat keburukan dalam diri orang lain. Salah satu cara Allah memberi kebaikan kepada seseorang adalah apabila dia melihat kesilapan diri dan melihat kebaikan orang lain.
Manusia paling malang ialah manusia yang melihat kebaikan diri dan berasa diri sudah baik, serta melihat keburukan orang lain dan sentiasa berasa lebih baik daripada orang lain.
Mohonlah daripada Allah agar diberikan taufik, hidayah dan hikmah dalam hidup. Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah, dan akhlak.