 |
Tan Sri Muhyiddin Yassin |
KUALA LUMPUR 28 Okt. – Indeks teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) global, ‘Connectivity Scorecard 2013′ meletakkan Malaysia di tempat kedua dalam kalangan 26 negara berdaya maju dari aspek sumber dan kecekapan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedudukan itu mengatasi beberapa negara ASEAN termasuk Thailand yang menduduki tempat ke-13, Vietnam (14), Filipina (18) dan Indonesia (20) manakala Singapura disenaraikan di bawah kumpulan 26 negara berinovatif.
Menurut beliau, indeks merangkumi 52 negara itu bukan sahaja menilai prestasi penyediaan infrastruktur ICT malah turut mengukur sejauh mana kerajaan, entiti perniagaan dan pengguna memanfaatkan teknologi internet untuk mempertingkat kemakmuran sosial dan ekonomi.
“Amat menggembirakan melihat prestasi konsisten Malaysia dalam indeks tersebut dengan mengekalkan kedudukan tiga tempat teratas sepanjang beberapa tahun lalu,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Perkhidmatan Internet Pukal (IP) Global V Telecoms di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Datuk Mohamed Shahril Mohamed Tarmizi dan Pengerusi V Telecoms Global Limited, Tan Sri Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir.
Laporan terkini indeks itu dipaparkan menerusi laman web Connectivity Report 2013 di http://www.connectivityscorecard.org.
Malaysia yang memperoleh sebanyak 5.89 mata berada di belakang Rusia (6.04) dalam kumpulan 26 negara berdaya maju dari aspek sumber dan kecekapan.
Negara-negara lain dalam kumpulan sama ialah Romania, Arab Saudi, Croatia, Lebanon, Chile, Brazil, Argentina, Turki, Mexico, Afrika Selatan, Thailand, Vietnam, China, Colombia, Ukraine, Filipina, Peru, Indonesia, Ghana, Maghribi, India, Nigeria, Pakistan dan Kenya.
Sementara itu, Muhyiddin memberitahu, setakat September lalu, Malaysia berjaya mencapai kadar penembusan jalur lebar sebanyak 67.2 peratus berbanding hanya 22 peratus pada 2008.
Tambah beliau, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksana Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta SKMM untuk mencapai matlamat 75 peratus kadar penembusan jalur lebar pada 2015.
“Antaranya Projek Kampung Tanpa Wayar, Pusat Internet 1Malaysia, Pusat Jalur Lebar Komuniti Kecil, Perpustakaan Jalur Lebar, memperluas liputan selular dan Komputer 1Malaysia di bawah Pelan Jalur Lebar Nasional,” ujarnya.
Muhyiddin berkata, kerajaan dengan kerjasama pihak industri telah membantu meningkatkan kapasiti dan membina kabel dasar laut baharu iaitu Cahaya Malaysia Kabel, Asia Pacifik Gateway (APG) dan Batam-Dumai-Melaka melibatkan perbelanjaan sebanyak RM621.3 juta.