|
Datuk Ahmad Maslan |
PUTRAJAYA 21 Okt. – Kerajaan kini dalam proses melaksanakan Sistem Perakaunan Akruan (SPA) yang membolehkan urus niaga diiktiraf dan direkod dalam penyata bagi tahun kewangan yang sama.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, berkata kaedah itu akan dilaksana pada 2015, menggantikan sistem perakaunan tunai ubah suai sedia ada yang mengiktiraf dan merekod urus niaga apabila tunai diterima atau dibayar dalam tempoh perakaunan itu.
“Sistem baru ini akan memberi gambaran kedudukan kewangan kerajaan yang lebih menyeluruh dan tepat, meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti kerajaan dalam pengurusan kewangan dan akaun,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Katanya, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan SPA, sebanyak 20,000 penjawat awam daripada 25 kementerian, meliputi kumpulan sokongan dan pengurusan, akan dilatih dalam SPA.
“Mereka akan dilatih oleh Jabatan Akauntan Negara bermula Jun hingga Disember tahun depan,” katanya.
Menurut Ahmad, pelaksanaan SPA juga sejajar dengan Dasar Transformasi Sektor Awam dalam Model Baru Ekonomi yang bertujuan memantapkan pengurusan fiskal serta mempertingkat kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan kerajaan persekutuan.
Terdahulu beliau hadir Hari Inovasi & Integriti Jabatan Akauntan Negara 2013.