|
Manuel Valls |
PARIS 21 Okt. – Perancis dan Mexico meminta penjelasan segera daripada Washington ekoran dakwaan perisikan terbaharu yang didedahkan oleh bekas kontraktor keselamatan Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden.
Akhbar Perancis, Le Monde dan akhbar Jerman, Der Spiegel mendedahkan bahawa Agensi Keselamatan Nasional (NSA) AS secara rahsia merakam berjuta-juta perbualan telefon di Perancis dan menggodam emel bekas Presiden Mexico, Felipe Calderon.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Manuel Valls, hari ini dalam temu bual dengan radio Europe 1 menyifatkan pendedahan itu sebagai ‘mengejutkan’.
Valls berkata, pendedahan itu memerlukan penjelasan terperinci daripada pihak berkuasa AS dalam tempoh terdekat.
Le Monde di laman webnya yang memetik dokumen daripada Snowden melaporkan, agensi perisikan itu merakam 70.3 juta panggilan telefon di Perancis dalam tempoh 30 hari, antara 10 Disember dan 8 Januari lalu.
Menurut akhbar itu, NSA secara automatik merakam perbualan daripada telefon tertentu di Perancis dan mesej pesanan ringkas (SMS) di bawah program “US-985D”.
Le Monde melaporkan, dokumen tersebut mendedahkan bahawa NSA bukan sahaja menjadikan suspek yang terlibat dalam keganasan sebagai sasaran tetapi juga individu berprofil tinggi dalam dunia perniagaan dan politik.
Der Spiegel turut mendedahkan bahawa ejen AS menggodam jaringan Pejabat Presiden Mexico bagi mendapatkan e-mel Calderon.
Menurut laporan itu, NSA menyatakan ia mengandungi komunikasi diplomatik, ekonomi dan kepemimpinan yang memberikan maklumat dalaman tentang sistem politik dan kestabilan Mexico.
Kementerian Luar Mexico dalam satu kenyataan, semalam mengutuk tindakan itu dan menyifatkannya melanggar undang-undang negara itu dan antarabangsa.
Pihak berkuasa AS ketika dihubungi enggan mengulas berhubung dokumen ‘rahsia’ itu.