KOTA KINABALU 16 Sept. - Datuk Seri Najib Tun
Razak berikrar kerajaan akan sentiasa memelihara kemajuan dan kedaulatan
Sabah dalam segenap aspek kecemerlangan selaras dengan tema Hari
Malaysia, Sabah Maju Jaya Dalam Malaysia.
Sambil merakamkan ribuan penghargaan kepada rakyat Sabah pada 50
tahun lalu kerana memilih membentuk Persekutuan Malaysia, Perdana
Menteri berkata, walaupun Sabah dipisahkan oleh Laut China Selatan namun
hubungan kekeluargaan dengan Semenanjung dan seluruh rakyat amat akrab
dan begitu istimewa.
Menurutnya, landskap pembangunan Sabah 50 tahun lalu berbanding kini
amat berbeza seperti langit dan bumi dengan kadar kemiskinan tahun lalu
hanya pada paras 8.1 peratus berbanding 58 peratus pada 1976.
Malah, menurut beliau, kadar itu akan dikurangkan lagi kepada tiga peratus pada 2018.
"Banyak yang kita lakukan termasuk menambah kemudahan asas walaupun
memakan masa kerana Sabah ini amat luas, contohnya panjang jalan raya
pada 1963 kira-kira 1,000 kilometer sahaja tetapi pada tahun lalu
sepanjang 21,136 kilometer telah dibina.
"Sepanjang 50 tahun lalu juga banyak kejayaan dan pembangunan dibuat,
maka 50 tahun akan datang akan lebih hebat, Malaysia akan menjadi
negara maju 2020 dan kita akan pastikan Sabah akan turut menjadi negeri
maju pada masa sama," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari
Malaysia di Taman Prince Philip, Tanjung Aru, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman serta baris pemimpin negeri
dan Persekutuan.
Majlis penuh bersejarah dan gilang-gemilang itu dihadiri lebih 50,000 rakyat Sabah pelbagai kaum.
Menurut Najib, sejak 50 tahun Sabah bersama Malaysia pelbagai
cabaran, dugaan dan kejayaan dikecapi bersama dengan penuh semangat
kekeluargaan dan ikatan luar biasa sehingga menggagalkan beberapa cubaan
anasir luar mengganggu-gugat kedaulatan Sabah.
"Tragedi berdarah Lahad Datu adalah contoh terdekat apabila kaum
keluarga wira negara yang terkorban tidak sekalipun mempertikai kenapa
mereka perlu terkorban untuk mempertahankan Sabah walaupun datang dari
negeri-negeri lain di Semenanjung," katanya.