 |
Air terjun Devil's Throat yang besar, teguh dan hebat. |
NAMA gadis itu Luciana. Usianya awal 20-an. Saya
temui Luciana pada suatu petang di pantai Copacabana, Rio de Janeiro,
Brazil, bersama sepupunya, Sylvia.
Ketika itu matahari mula merah dan mereka mahu mandi-manda di pantai
berkenaan. Sambil berbual, saya menatap keayuan wajah kedua-dua gadis
Latin ini.
Rambut mereka yang lebat, pipi yang anjal dan kulit sawo matang kemerah-merahan. Juga keramahan serta gelak tawa mereka.
Memang mempesonakan. Benarlah kata orang, gadis Latin bukan saja comel, tetapi periang dan peramah.
Beberapa minit berbual, Luciana dan Sylvia melambaikan tangan sambil menghadiahkan saya senyuman yang sangat manis.
Mereka kemudian berjalan menuju ke laut dan seterusnya membasahkan tubuh, meninggalkan saya terkulat-kulat.
Kini, hanya gambar mereka jadi kenangan. Tetapi maaf ya, tidak sesuai
untuk ditayangkan kerana anda faham-fahamlah bagaimana pakaian
pengunjung pantai di sana!
Copacabana, sampai sekarang sukar untuk saya lupakan keindahannya. Saya masih teringatkan Luciana.
Laut Atlantik yang membiru, ombaknya yang datang bergulung-gulung
tanpa henti, pasirnya yang putih halus serta pulau dan bukit-bukaunya
membuatkan sesiapa saja mahu menghabiskan seharian masa mereka di sana.
Begitu juga saya dan tiga lagi pegawai POTO Travel Sdn. Bhd. yang berkunjung ke Brazil baru-baru ini.
Seperti yang saya sebutkan dalam artikel terdahulu, POTO Travel ke
Brazil untuk membuat tinjauan awal bagi memulakan destinasi pelancongan
baru di Amerika Selatan. Selain Brazil, tinjauan itu meliputi Peru,
Argentina dan Uruguay.
Kembali kepada cerita tadi, dua petang kami habiskan dengan mandi-manda dan bercanda di Copacabana.
Selain menikmati deburan airnya, saya juga seronok melihat kemeriahan
pantai itu. Kalau ada Luciana dan Sylvia tentu lebih meriah.
Untuk pengetahuan anda, hampir di sepanjang pantai terdapat gelanggang bola sepak dan bola tampar.
Di situlah anak-anak muda menunjukkan kemahiran mereka. Kanak-kanak juga tidak ketinggalan.
Yang menariknya, mereka bersukan sampai malam dan sesiapa saja boleh menyertainya, termasuk saya.
Malam, kami ke pantai Copacabana lagi untuk membeli cenderamata. Di
situ terdapat ramai penjaja dan 'pasar malam' yang menjual pelbagai
cenderamata seperti kemeja T, jersi, beg kain, rantai kunci, selipar dan
sebagainya.
Murah. Kadar tukaranAS$1: 2.5 Reais. Untuk sehelai T-shirt, shawl dan
beg kain, harganya sekitar 15 Reais, iaitu lebih kurang RM20 sahaja.
Magnet peti sejuk pula hanya 5 Reais (RM6) untuk tiga unit. Lagi
banyak anda beli, lagi murah mereka beri. Jangan risau, boleh tawar
harga.
Kini barulah saya faham, patutlah Copacabana sering menjadi lokasi
acara sukan dan hiburan, malah dijadikan lagu oleh penyanyi terkenal,
Barry Manilow.
Malah pelancaran jersi pasukan bola sepak Brazil untuk Pusingan Akhir
Piala Dunia FIFA 2014 juga dilancarkan di Pantai Copacabana, oleh
'budak ajaib', Neymar Jr.
Selain Copacabana, sampai sekarang saya masih teringat-ingat keindahan pantai Ipanema dan pantai-pantai lain di Rio de Janeiro.
Pantai-pantai tersebut sentiasa padat dengan pengunjung dan aktif dengan pelbagai aktiviti.
Apa lagi yang cantik di Brazil? Tentulah kehijauan muka buminya.
Pengalaman menaiki kereta kabel ke puncak Gunung Corcovado (710 meter di
atas paras laut, tempat letaknya tugu Christ the Redeemer), kemudian
disambung ke Gunung Sugarloaf (396 meter) adalah suatu kenangan yang
sukar dilupakan.
Dari puncak kedu-dua gunung itu kita dapat melihat keindahan Rio de
Janeiro 360 darjah, hutan yang menghijau, kabus yang menutupi bumi dan
kebiruan laut yang hilang di kaki langit. Sangat indah.
Saya juga sukakan Rio de Janeiro kerana makanan lautnya yang segar,
selipar pantai pelbagai warna dan monumen sukan bola sepak yang tiada
tolok bandingnya.
Dan tentu sekali, kemeriahan persembahan samba serta seni mempertahankan diri Capoeira yang 'panas' dan dramatik.
Pun demikian, kenangan paling menarik di Brazil adalah ketika
menikmati keajaiban air terjun Kerongkong Syaitan (Devil's Throat) di
Iguazu.
Anda jangan terkeliru, air terjun Iguazu, iaitu air terjun terbesar di dunia dikongsi oleh Brazil dan Argentina.
Terdapat 275 air terjun di sepanjang cerun seluas 2.7 kilometer.
Paling tinggi, paling besar dan paling memukau adalah Air Trejun Devil's
Throat.
Air terjun ini setinggi 82 meter, 150 meter lebar dan 700 meter panjang.
Kalau di sempadan Argentina kami hanya dapat memerhatikan Kerongkong
Syaitan dari bahagian atas sahaja, tetapi di Brazil, kami berpeluang
'memasuki' air terjun tersebut dan menikmati percikannya.
Kami berlari di atas jeti, pakaian habis basah, begitu juga dengan
kamera. Tetapi kami tidak hiraukan kerana air terjun tersebut terlalu
hebat dan indah. Pelangi berada di mana-mana, bagaikan boleh dicapai
dengan tangan.
Kami juga sempat melawat Sao Paolo. Kota itu memang cantik dan sibuk,
tetapi hari itu kebetulan cuti umum kerana perayaan agama.
Suasana lengang, kedai ditutup. Kami hanya dapat bersiar-siar di sekitar bandar dan taman sahaja.
Anda perlu datang ke Brazil untuk merasai sendiri pengalaman yang saya ceritakan ini. Saya jamin, anda takkan puas menikmatinya.
Sebuah lagi negara yang kami lawati dalam kembara ke Amerika Selatan
ini ialah Uruguay. Kami lawatinya selepas melawat Argentina.
Apa yang menarik di Uruguay? Ramai yang tidak tahu, Uruguay sebenarnya sebuah negara yang sangat cantik, tenang dan hijau.
Kami ke sana dengan menaiki feri dari pelabuhan Buenos Aires.
Perjalanan mengambil masa tiga jam merentas muara Sungai La Plata
selebar 60 kilometer.
Kami turun di Colonia del Sacramento, kemudian melawat tinggalan
kapal Graf Spee (kapal perang Jerman yang pernah berlabuh di situ semasa
perang Dunia Kedua) serta sauh dan meriam tentera Nazi.
Dari situ kami ke Motevideo. Saya sukakan Montevideo kerana di sana
terdapat banyak tempat yang cantik untuk dilawati, terutamanya di bandar
lama.
Antaranya ialah taman Plaza Perlembagaan yang dikelilingi pokok-pokok
menghijau dan Dataran Kemerdekaan yang menempatkan monumen negarawan
mereka, Jose Gervasio Artigas. Di sinilah letaknya pejabat Presiden negara itu, Jose Mujica, iaitu tempat yang paling ingin saya lawati di Uruguay.
Siapa Mujica? Beliau digelar Presiden paling miskin di dunia, kerana
menyumbangkan 90 peratus daripada gajinya kepada rakyat miskin.
Oh ya... tidak lupa kami melawat tinggalan pintu gerbang Citadel,
Dewan Bandar Lama Motevideo, Solis Theatro, Barrio del Prado dan banyak
lagi.
Shopping? Apa lagi kalau bukan barangan kulit, terutamanya beg tangan dan jersi bola sepak. Jangan lupa, Uruguay adalah negara pertama menjadi juara Piala Dunia FIFA pada 1930. Kami pulang dengan membawa beli jersi bola Luis Suarez, Diego Forlan dan Cavani!
Kembara ini sangat menyeronokkan yang anda takkan dapat rasainya di tempat-tempat lain. Sehingga kini belum ada agensi pelancongan bumiputera negara yang
menganjurkan pakej ke Amerika Selatan. POTO Travel adalah pengasasnya.
Apa tunggu lagi, jadilah orang yang pertama menyertai pakej ini. Hubungi POTO Travel sekarang di Tel:
03-92006640 atau layari
www.pototravel.com.my.