HARI ini rata-rata orang berkahwin atas dasar cinta. Ada yang jatuh cinta pandang pertama, bercinta sebulan dua, setahun dua tetapi ramai juga yang bercinta bertahun-tahun baru mengambil keputusan berkahwin.
Semasa bercinta, kebanyakan orang muda, lebih banyak berpura-pura atau menipu diri sendiri kerana takut kehilangan orang yang dicintai. Atas dasar cinta juga, manusia sanggup mengubah cara hidupnya.
Ada orang sanggup berhenti merokok, menguruskan badan atau memakai pakaian yang tidak digemari demi kekasih. Manusia sanggup buat apa saja demi sebuah cinta.
Persoalannya adakah perkahwinan itu hanya berdiri teguh atas dasar cinta? Firman Allah: ….dan Aku jadikan kasih sayang antara kamu... Allah SWT dalam ayat ini menjanjikan kasih sayang antara pasangan suami isteri selepas mereka berkahwin. Jadi jika bercinta sebelum berkahwin, sudah pasti kasih sayang dan cinta itu akan berganda-ganda.
Pun begitu, realiti hari ini, alam perkahwinan bukanlah semudah itu. Ada orang bercinta hingga mandi tak basah, tidur tak lena. Namun apabila berkahwin semua itu hilang entah ke mana. Ramai dalam kalangan pasangan muda hari ini, menyatakan rasa terkilan atau keliru sebaik sahaja mereka berkahwin. Ada yang kata malam pertama mereka tidak seperti yang mereka bayangkan.
Mungkin ramai pasangan yang sentiasa berangan semasa bercinta dan hidup dalam kepura-puraan. Kepura-puraan itu boleh menghancurkan perkahwinan dan membinasakan cinta.
Jika perkahwinan itu berasaskan cinta, ke manakah hilangnya cinta? Perkahwinan tidak boleh terus kukuh hanya berasaskan cinta. Perkahwinan adalah kontrak dan kesanggupan melaksana hak dan tanggungjawab.
Perkahwinan adalah pengorbanan dan komitmen. Perkahwinan adalah hak Allah SWT yang menentukannya. Berusaha, berdoa dan bertawakallah. Semoga Allah SWT memanjangkan jodoh dan menguatkan iman kita supaya keluarga kita terpelihara dan sentiasa berada dalam keberkatan Allah SWT.
Kes 1 - Dahulu madu kini racun
PASANGAN sudah bercinta lebih enam tahun. Mereka mengumpul wang kerana ingin mengadakan majlis yang bermakna dan akan dikenang sampai mati. Mereka berusaha melawan nafsu tetapi kalah. Mereka sering mengadakan hubungan seks yang pada mulanya setakat ringan-ringan (peluk cium) tetapi akhirnya terbabas.
Apabila telah mengadakan hubungan seks, mereka mengadakannya lagi dengan alasan mereka akan berkahwin juga akhirnya. Apabila sampai masa yang ditunggu-tunggu iaitu hari pernikahan, ia menjadi antiklimaks.
Pasangan ini tidak tahu nikmat dan hikmah malam pertama kerana mereka telah melakukan hubungan seks dalam dampingan syaitan.
Dalam kes ini, dalam tempoh dua tahun melakukan hubungan seks semasa bertunang, si wanita mengandung. Dia menjadi panik dan apabila diberitahu tunangnya, mereka mengambil keputusan menggugurkan kandungan. Walaupun mereka tahu perbuatan itu berdosa, ia terpaksa dilakukan kerana mereka masih belum cukup wang untuk berkahwin.
Sebaik sahaja berkahwin, mereka memberi fokus untuk mendapatkan anak. Mereka mencuba dan mencuba tetapi Allah tidak mahu mengurniakan mereka anak. Isteri menjadi murung dan tertekan. Pergi sana sini ditanya orang.
Suami mula jarang pulang ke rumah. Dia 'jemu' mengadakan hubungan seks dengan isteri. Mereka pergi berjumpa pakar perbidanan dan sakit puan dan pakar mencungkil segala rahsia.
Kata pakar, rahim isteri 'rosak' kerana pernah melakukan pengguguran. Isteri mungkin tidak boleh mengandung langsung. Isteri semakin murung dan sedih. Baharu dia sedar bahawa setiap sesuatu adalah atas kehendak Allah SWT.
Dia mula rasa bersalah dan mengingatkan suami supaya bertaubat. Ini menyebabkan suami semakin tidak pulang ke rumah kerana 'jelak' mendengar leteran isteri. Suami juga sudah mula pandai meninggi suara dan mengangkat tangan menampar isteri.
Jika dulu ungkapan I love you meniti di bibir suami hampir setiap hari, kini hanya Shut up you atau Diam atau Go to hell.
Jika dahulu isteri dipeluk dicium, kini ditampar diterajang. Isteri dihalau dan dikata nista. Semua perangai buruknya suami perkatakan, suami hebahkan. Isteri merasa sangat malu dan terhina. Daripada seorang permaisuri di hati suami, dia menjadi racun.
Dalam tangisnya dia ingin mencari jawapan. Ke mana hilangnya segala kasih sayang yang pernah dan sering suami lafazkan dulu. Enam tahun dia dan suami bekerja keras untuk mengumpul wang untuk mengadakan satu majlis pernikahan dan persandingan yang tidak mahu mereka lupakan. Namun akhirnya semua itu hilang daripada ingatan. Yang suami ingat ialah tabiat buruk isteri dan bukan pengorbanannya. Yang isteri ingat ialah kata nista suami dan tamparannya.
Kes 2 - Belum setahun sudah bercerai
PASANGAN ini pula tidak bercinta lama. Atas alasan takut berzina. Mereka berkahwin selepas enam bulan berkenalan. Tentunya tempoh percintaan yang singkat menyebabkan mereka ghairah menghadapi malam pertama dan berazam memupuk cinta hingga ke akhir hayat.
Namun harapan mereka juga sangat meleset. Kerana mereka kurang bertanya dan menyelidik latar belakang antara satu sama lain dan kerana mereka 'mabuk' cinta pandang pertama sehingga mereka tidak mengambil kira beberapa perkara penting sebelum mendirikan rumah tangga.
Isteri tidak pernah bertanya suami semasa berkenalan mengenai keluarga suami kerana baginya dia bukan hendak berkahwin dengan keluarga suami. Suami pula kerana anak tunggal, tidak berapa arif mengenai perangai wanita.
Oleh kerana suami anak tunggal, dia juga kekok bergaul dengan orang lain kecuali ibu dan bapanya. Kerana suami anak tunggal juga, selepas bernikah, suami mengajak isteri tinggal di rumah ibu bapanya yang besar dan merasa membazir dan tiada keperluan menyewa atau membeli rumah lain.
Isteri tergamam dengan cadangan suami tetapi kerana baru sangat mendirikan rumah tangga, ia mengalah dan bersetuju. Keluarga isteri tidak senang dengan keputusan menantu untuk terus tinggal di rumah ibu bapanya. Isteri pula datang daripada keluarga besar dan suka berkumpul adik-beradik.
Setiap hujung minggu isteri mengajak suami pulang ke rumah keluarganya kerana dia kesunyian dan rindu adik-beradik. Dia juga rasa kekok dan kesunyian di rumah besar suami kerana hanya ada ibu dan bapa mentua. Isteri rindu anak-anak saudaranya. Suami pula mulanya mengikut kehendak isteri sebagai kompromi kerana mengajak isteri tinggal di rumah ibu bapanya.
Namun setelah tiga bulan, dia mula merasa rimas balik ke rumah mentua yang kecil dan sesak dengan orang. Adik-beradik isteri 'bising' dan ramai. Suami rasa kekok makan beramai-ramai tanpa meja dan menatang pinggan sedang dia biasa makan dengan garpu dan sudu.
Selepas enam bulan, pasangan ini mula bergaduh setiap kali isteri mahu balik ke rumah ibu bapanya. Apabila hendak pulang ke rumah ibu bapa suami, isteri mula memberi pelbagai alasan dan merengek meminta suami mencari rumah lain.
Ibu bapa isteri juga mula campur tangan dengan bercakap sendiri dengan menantu yang dia perlu pindah rumah kerana isteri tidak selesa di rumah mentuanya.
Persekitaran yang tidak begitu menggalakkan telah menyebabkan pasangan ini gagal memupuk cinta pandang pertama mereka dan hasrat membina rumah tangga bahagia, akhirnya hancur berkecai.
Setiap hari apabila balik daripada kerja, isteri enggan turun makan bersama mentua. Dia memberi pelbagai alasan seperti tidak mahu makan malam kerana takut gemuk, letih, sakit kepala dan sebagainya.
Dia mula tidak menghormati ibu bapa suami walaupun mereka adalah mentua paling baik dalam dunia. Ada masanya isteri pulang ke rumah ibu bapanya sendiri dan tidak pulang dua tiga hari sehingga suami menjemputnya.
Akhirnya belum sampai setahun bernikah, pasangan ini memfailkan perceraian di mahkamah.