 |
Tan Sri Bashir Ahmad |
KUALA LUMPUR 24 Sept. - Kerjasama yang kukuh di antara pengendali lapangan terbang dengan syarikat-syarikat konsesi di terminal amat penting untuk pertumbuhan komersial kedua-dua pihak.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), Tan Sri Bashir Ahmad berkata, keupayaan syarikatnya bekerjasama secara berkesan akan menentukan kejayaan dalam mengenal pasti potensi pasaran runcit di lapangan terbang.
"Pengurus-pengurus dan pengendali lapangan terbang di seluruh dunia telah melipat gandakan usaha masing-masing bagi meningkatkan perolehan daripada sumber-sumber bukan aeronautik.
"Hal itu merupakan tumpuan strategik dan MAHB telah bekerja keras bagi mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan-perkhidmatan aeronautik," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Persidangan Tahunan Syarikat-syarikat Konsesi MAHB di sini hari ini.
Persidangan itu berlangsung buat kali kelima di Sepang dekat sini.
Seramai 265 peserta hadir pada persidangan itu yang terdiri daripada syarikat-syarikat konsesi dan kakitangan lapangan terbang.
Bashir menambah, bagi mencapai sasaran itu, MAHB dan rakan-rakan kerjasamanya perlu memberi tumpuan terhadap beberapa perkara bagi mendapatkan prestasi maksimum.
Salah satu tumpuan jelasnya, menggunakan pendekatan meningkatkan tempoh masa beli-belah, memperluaskan kumpulan sasaran pembeli dan mempelbagaikan saluran pengagihan.
Jelas Bashir lagi, persidangan kali ini menyasarkan semangat kekitaan dalam kalangan kakitangan MAHB, syarikat-syarikat konsesi dan para penumpang.
Katanya, sasaran itu dijangka membantu mewujudkan jangkauan baharu selain berkemampuan mengendalikan pertumbuhan persaingan.
Bersempena dengan persidangan itu, MAHB turut menyampaikan anugerah juara kategori produk dan kecemerlangan kepada syarikat-syarikat konsesinya.
Syarikat-syarikat yang menerima anugerah juara kategori produk adalah Malaysia Airports (Niaga) Sdn. Bhd. dengan dua anugerah, Colours & Fragrances Sdn. Bhd., Envico Travel Retail Sdn. Bhd., Gold City Jewellery Centre Sdn. Bhd., Golden Donuts Sdn. Bhd. dan Golden Arches Restaurant (M) Sdn. Bhd.