 |
Habib Munzir al Musawa |
JAKARTA 16 Sept. - Ribuan umat Islam memenuhi
Jalan Pasar Minggu, Jakarta Selatan di sini hari ini untuk bersama-sama
memberikan penghormatan terakhir dan mengikuti solat jenazah untuk ulama
tersohor Indonesia, Habib Munzir al Musawa yang meninggal dunia
semalam.
Habib Munzir yang juga pengasas pertubuhan Majlis Rasulullah,
meninggal dunia setelah terjatuh di bilik air di rumahnya pada petang
Ahad lalu.
Allahyarham sebelum itu menderita penyakit radang otak.
Sejak awal pagi ini, umat Islam yang menganggotai Majlis Rasulullah
berhimpun di Kompleks Makam Habib Kuncung, di Rawajati, Jakarta Selatan
untuk menyertai majlis pengebumian Allahyarham Habib Munzir.
Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan isteri, Ani
Yudhoyono sebelum itu turut memberikan penghormatan terakhir kepada
Habib Munzir di kediaman Allahyarham di Kompleks Liga Mas, Jalan Cikoko
Barat II, Kalibata, Jakarta Selatan.
Habib Munzir merupakan ketua Majlis Rasullullah iaitu majlis zikir
terbesar di Jakarta yang menghimpunkan sejumlah umat Islam pada hari
Selasa setiap minggu untuk berzikir.
Menurut Susilo, pemergian Habib Munzir merupakan kehilangan besar
kepada negara kerana Allahyarham merupakan seorang ulama muda yang
bijaksana.
"Ketika beberapa kali menyertai majlis Maulidur Rasul bersama
Allahyarham, saya melihat beliau adalah seorang ulama muda yang arif,
bijaksana serta mencintai keadilan," jelasnya.
Habib Munzir atau nama sebenarnya, al-Habib Munzir bin Fuad al-Musawa
atau lebih dikenali dengan Munzir bin Fuad bin Abdurrahman Almusawa
yang lahir di Cipanas, Cianjur, Jawa Barat menghembuskan nafas terakhir
pada usia 40 tahun.
Allahyarham merupakan anak keempat daripada empat adik-beradik dari
pasangan Fuad bin Abdurrahman al-Musawa dan Rahmah binti Hasyim
al-Musawa.
Dalam ucapan belasungkawa itu, Susilo turut meminta semua ahli Majlis
Rasulullah agar meneruskan pertubuhan yang diasaskan Allahyarham pada
tahun 1998 itu.