|
Dato' Sri Najib Tun Razak |
TAHUN 2014 baharu berusia 12 hari. Gema gemilang bunga api di Putrajaya dan Dataran Merdeka berlalu sudah. Berjuta mesej sistem ringkas (SMS) selamat tahun baharu yang berlintasan di telefon bimbit berjuta manusia kini juga sudah reda, seperti mana redanya musim tengkujuh dan bah. Jeritan sumbang pembangkang di Dataran Merdeka juga sudah terbenam.
Kini kumpulan hilang punca itu membuktikan lebih ramai Melayu daripada anggota masyarakat Malaysia yang lain. Seperti mana halnya dengan politik tanah air, Melayu lawan Melayu kini sudah menjadi amalan yang tampaknya sedikit pun tidak dihiraukan oleh Melayu pembangkang. Dalam persekitaran beginilah kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kena bergelut dan berhempas-pulas untuk meneruskan agenda transformasinya.
Transformasi dalam kerajaan, transformasi politik, transformasi minda dan transformasi capaian pelbagai sektor. Transformasi bererti mengubah sifat daripada satu keadaan kepada keadaan baru yang membawa penambahbaikan kehidupan baik dari segi imej mahu pun dari aspek hasil. Transformasi yang dipimpin Najib semenjak hampir lima tahun lalu boleh dimengertikan sebagai meneruskan perjuangan Wawasan 2020 cetusan Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Rakyat masih ingat - Wawasan 2020 disasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun tersebut. Wawasan 2020 menganjurkan 9 matlamatnya yang meliputi, antara lain, negara bersatu teguh, keadilan sosial menyeluruh, capaian ekonomi yang saksama, masyarakat berasaskan budaya penyayang, mewujudkan masyarakat demokratik pelbagai kaum yang liberal dan bertolak ansur, negara yang tersedia dengan kebanggaan dan kedaulatannya sendiri, masyarakat bermoral dan beretika, masyarakat berorientasikan pengetahuan saintifik dan teknologi tinggi serta masyarakat majmuk yang berteraskan falsafah kesejahteraan untuk semua. Kerajaan pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi melalui Islam Hadhari juga memperjuangkan hampir kesemua intisari Wawasan 2020 melalui 10 prinsip asasnya walaupun ternyata, tempoh 5 tahun tidak cukup untuk merealisasikan pengisian yang genap.
Najib amat memahami intisari Wawasan 2020 dan kandungan Islam Hadhari. Beliau juga memahami - sesuatu wasasan memerlukan tempoh masa yang cukup, dan terpenting - rakyat mesti memahami dan menerimanya jika di akhir tempoh sesuatu transformasi mahu mencapai kejayaan. Jika falsafah transformasi pimpinan Najib hendak disimpulkan, rumusan berikut boleh dianggap menepati intisarinya:
mentransformasikan kerajaan bagi mencapai Wawasan 2020, yang menjadi sasaran bagi negara kita.
Walaupun Malaysia sudah bergerak maju sampai ke tahap ini, ekonomi kita masih berada dalam risiko kekal sebagai ekonomi pendapatan sederhana. Kerajaan dan rakyat mesti melaksanakan penambahbaikan signifikan bagi mengurangkan kadar jenayah dan rasuah, mempertingkatkan tahap pendidikan, infrastruktur asas luar bandar dan pengangkutan awam di bandar, dan meningkatkan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah. Semua ini perlu dilaksanakan, sebelum Malaysia dapat menjadi sebuah negara maju sepenuhnya. Pihak kerajaan, sebagai penggerak utama dalam pembangunan Malaysia, perlu melalui proses transformasi bagi memastikan Malaysia dapat mencapai Wawasan 2020
" Mencapai matlamat Di bawah gerak kerja Gagasan 1Malaysia kesemua falsafah dan intisari Transformasi Kerajaan pimpinan Najib dialur dan disalurkan. Huruf-huruf potong (akronim) seperti NKRA (Bidang Keberhasilan Utama Negara), NKEA (Bidang Ekonomi Utama Negara), GTP (Program Transformasi Kerajaan), ETP (Program Transformasi Ekonomi) dan sedozen yang lain dihuraikan ulang berulang.
Para Menteri dan pimpinan perkhidmatan awam diberi markah yang dipanggil KPI (indeks pencapaian utama). Ada yang cemerlang, ada yang tidak begitu cemerlang. Pekikan 1Malaysia yang saban hari dan malam dikumandangkan RTM dan media elektronik swasta menepati sasarannya. Rakyat faham apa itu 1Malaysia walaupun perkara-perkara berkaitan kos kehidupan dan masalah jenayah muncul sebagai cabaran utama. Kejayaan Pilihan Raya Umum Ke-13 banyak bergantung kepada 1Malaysia dan program transformasi yang dibawa melalui Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M), Kedai 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Teksi 1Malaysia dan puluhan program pembelaan rakyat yang lain.
Transformasi yang dibawa Najib ternyata diterima baik di Sabah dan Sarawak dalam suasana Melayu berpecah politik tiga segi. Bumi Kenyalang dan Negeri di Bawah Bayu terus menjadi simpanan tetap Barisan Nasional (BN). Budi rakyat kedua-dua negeri itu dibalas Najib dengan majoriti jawatan menteri diagihkan ke sana. 1Malaysia dan transformasi mencapai matlamat sekalipun masyarakat Tionghua terpesong dengan dendangan beracun DAP, PKR dan Pas.
Walaupun dasar pilih calon boleh menang (winnable candidate) banyak menghilang ditelan hiruk-pikuk retorika kempen calon mutakhir, produk transformasi Najib terbukti diterima. Capaian 88 kerusi Parlimen UMNO, peningkatan kerusi MIC dan komponen BN di Sabah dan Sarawak ialah paparan dalil yang tidak boleh disangkal. Pada peringkat ini amat perlu bagi wakil rakyat, khasnya daripada UMNO melaksanakan transformasi dalaman: pimpinan membawa teladan yang berdisiplin tinggi, mengawasi dan mematuhi undang-undang penguatkuasaan yang berupaya mewujudkan budaya tinggi.
Dalam menjaga warisan perjuangan yang unggul, UMNO khasnya perlu transformasikan Fasal 3 Perlembagaan UMNO yang juga mendukung cita-cita bahasa dan budaya Melayu. Apa pun, keutuhan ekonomi Bumiputera perlukan transformasi segera supaya satu hari nanti dapat kita lihat saudagar terkaya di Malaysia ialah Melayu dan Bumiputera. Transformasikan minda supaya jangan khianat terhadap Melayu yang berjaya. Dan terpenting, jangan malu mengamalkan budaya Melayu sekalipun Barat sudah semacam mendahului mempengaruhi nilai-nilai kehidupan kita.
Hilang budaya hilang bangsa. Merosot ekonomi tergadai maruah. Kritikan terhadap Najib yang tidak adil dijangka akan berterusan dalam hal-hal tertentu, khasnya melalui dunia siber anjuran pembangkang. Mereka juga tak akan sunyi daripada melemparkan tohmahan dan fitnah. Amalan pepatah berani kerana benar, takut kerana salah akan sentiasa membawa kesejahteraan dan keadilan. Suara majoriti dijangka akan terus mahukan Najib dan pembaharuan yang dipeloporinya. Air muka serta pimpinannya yang membawa bayangan sayangkan rakyat sudah cukup membawa isyarat dan jaminan bahawa transformasi yang belum selesai harus terus dibantu melalui dokongan dan sokongan rakyat.
Dalam perjuangan berparti dan berkerajaan, keadaan sempurna tidak akan tercapai. Yang tercapai ialah kebaikan dalam kesederhanaan. Ini sudah dicapaikan oleh Najib dan rakan-rakannya. Selamat Tahun Baharu 2014.