JOHOR BAHRU 12 Jan. - Ibu bapa kepada bayi yang dilahirkan di hospital kerajaan di negeri ini pada sambutan Maulidur Rasul Selasa ini layak membeli seekor kambing dengan harga RM1 bagi tujuan ibadat aqiqah. Program kali kedua anjuran Osman Goat Farm itu menyasarkan lebih ramai pembeli dan pada tahun ini kira-kira 900 ekor kambing dari baka 'feral' dan 'boer' disediakan untuk tujuan tersebut.
|
Osman Cheya Kutty menunjukkan replika wang RM1 sebagai simbolik mengenai tawaran pakej RM1 program Aqiqah Perdana kepada bayi dilahirkan pada tarikh yang sama dengan sambutan Maulidur Rasul, pada sidang akhbar di Kangkar Tebrau, Johor Bahru, semalam. |
Pengarah Urusan Osman Goat Farm, Osman Cheya Kutty berkata, program Aqiqah Perdana ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan menunaikan ibadat aqiqah sempena memperingati hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
"Program ini adalah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk membantu meringankan beban ibu bapa yang ingin melakukan ibadah berkenaan.
"Program ini juga merupakan salah satu cara kami mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyokong perniagaan kami selama ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Osman menawarkan kambing dengan harga RM1 kepada pasangan yang mengemukakan sijil kelahiran anak di pejabatnya di Nombor 38, Jalan Enau, Kangkar Tebrau bermula 14 hingga 18 Januari ini. Beliau berharap pasangan yang dikurniakan bayi pada Selasa ini tidak melepaskan peluang merebut tawaran berkenaan kerana harga sebenar seekor kambing antara RM850 dan RM900 bergantung kepada berat dan jenis.
"Kami juga menawarkan harga istimewa kepada pelanggan yang ingin mengadakan majlis di masjid atau surau iaitu RM650 seekor dalam tempoh dua bulan bermula 14 Januari ini.
"Wakil masjid atau surau hanya perlu membawa surat pengesahan daripada pengurusan masjid ketika berurusan di pejabat kami," katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Osman Goat Farm di talian 019-7563000 dan 07-3554200 atau melayari laman web www.osmangoatfarm.com serta Facebook https://www.facebook.com/osmangoat.farm.