KUALA LUMPUR 27 Dis. - Walaupun tahun 2013 semakin hampir menutup tirainya, Bursa Malaysia didapati semakin aktif memecahkan rekod tertinggi dan semalam sejarah tercatat lagi apabila ditutup pada paras 1,861.06 mata.
Dibuka pada paras 1,844.1 mata hari ini, graf FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menunjukkan pertumbuhan yang cukup stabil sepanjang sesi dagangan sebelum ditutup dengan menokok 0.92 peratus atau 19.96 mata.
Berdasarkan prestasi keseluruhan tahun FBM KLCI, Disember merupakan antara bulan paling rancak pasaran berkenaan dengan dibuka pada paras 1,812.72 mata pada awal bulan sehingga ditutup pada hari ini, peningkatan sebanyak 48.34 mata direkodkan.
JF Apex Securities Bhd. berkata, rekod berkenaan didorong oleh prestasi pasaran baik di Amerika Syarikat (AS) dan Asia serta peratusan pengangguran di AS turut menurun sekali gus menunjukkan pasaran kerja semakin pulih.
Pada sesi dagangan hari ini, sebanyak 50.15 peratus disertai oleh pelabur dari institusi tempatan, 39.71 peratus peruncit tempatan dan 10.14 peratus pelabur asing.
Kaunter yang mencatatkan peningkatan paling tinggi adalah Kuala Lumpur Kepung sebanyak 50 sen sesaham, TNB (46 sen), PPB Group (26 sen) dan Petronas Dagang (20 sen).
Jumlah dagangan pula meningkat kepada 1189.12 juta saham bernilai RM1.286 bilion berbanding 905.01 juta saham bernilai RM818.25 juta, semalam.
Secara keseluruhan, suasana pasaran positif dengan 495 kaunter untung berbanding 262 kaunter rugi manakala 335 tidak berubah dan 469 yang lain tidak diniagakan, termasuk 33 kaunter yang digantung.