PUTRAJAYA 13 Jan. - Akhbar berbahasa Melayu masih relevan menjadi medium pengiklanan utama di negara ini kerana mempunyai jumlah peminat dan pembaca yang ramai berbanding akhbar berbahasa Inggeris dan juga saluran televisyen.
 |
Gambar Fail: MOHAMMAD Md. Yusoff (kiri) dan Mohd. Salleh Yahaya (tengah) menunjukkan pelan pembangunan Tanjong Tokong selepas penubuhan Amanah Warisan di Pulau Pinang. |
Pensyarah Komunikasi Pemujukan dan Pengiklanan, Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Mohamad Md. Yusoff berkata, akhbar Melayu terus menjadi pilihan kerana majoriti masyarakat di negara ini adalah Melayu.
Beliau berkata, jumlah jualan akhbar berbahasa Melayu tidak mengalami kejatuhan dan kekal konsisten biar pun ledakan teknologi mewujudkan lambakan media baharu di Internet pada masa kini.
"Sehubungan itu, syarikat milik kerajaan (GLC) dan juga kementerian-kementerian digesa memilih akhbar berbahasa Melayu untuk dijadikan medium pengiklanan bagi sesuatu produk, perkhidmatan mahu pun hebahan program.
"Isu yang dimainkan di sesebuah akhbar berbahasa Melayu tidak boleh dijadikan ukuran dalam hal pemberian iklan, mana-mana pihak perlu memahami kualiti, reputasi dan kandungan media akhbar bahasa Melayu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menghadiri mesyuarat Dasar Pengiklanan Negara di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.
Menurut Mohamad, kerajaan perlu segera melaksanakan dasar tersebut bagi memastikan perbelanjaan industri pengiklanan untuk akhbar berbahasa Melayu dapat dipulihkan.
Katanya, melalui dasar itu, perbelanjaan pengiklanan GLC boleh dikawal supaya keutamaan diberikan kepada akhbar berbahasa Melayu untuk mengiklankan produk dan perkhidmatan masing-masing.
Langkah itu, katanya, seiring dengan agenda memperkasakan ekonomi bumiputera bagi mengimbangi pulangan perniagaan kaum itu yang kini perlu bersaing hebat.
"Negara memerlukan satu dasar bagi memulihkan masa depan industri ini yang bukan sahaja membela nasib akhbar berbahasa Melayu malah mencakupi modal insan, pemain industri dan guna tenaga supaya matlamat negara maju dapat dicapai menjelang 2020.
"Industri ini akan menjadi tempang, modal insan semakin teruk kerana perlu bersaing dengan syarikat gergasi apabila GLC sendiri tidak membantu syarikat bumiputera," katanya.
Dalam pada itu katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu memainkan peranan dalam membela nasib industri pengiklanan di negara ini kerana masih tidak mendapat tumpuan walaupun menjana perbelanjaan lebih RM7 bilion setahun.
"Industri pengiklanan perlu diperkasakan, bayangkan ramai graduan dalam bidang pengiklanan keluaran institusi pengajian tinggi (IPT) beralih arah mencari peluang pekerjaan dalam bidang lain kerana tiada ruang sebaik sahaja tamat pengajian. Jika perkara ini terus berlaku lebih baik dimansuhkan sahaja program pengiklanan di IPT," katanya.
Mengulas mengenai mesyuarat hari ini Mohamad berkata, pihaknya sedang giat mengumpul maklumat berkenaan industri pengiklanan negara untuk diserahkan kepada Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Abd. Rahim Mohd. Radzi bagi membolehkan Dasar Pengiklanan Negara ditubuhkan tahun ini.