 |
Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah |
KOTA BHARU 10 Nov. – Kumpulan ulama dalam Pas termasuk golongan profesional perlu diletakkan di tempat yang betul dan setaraf dengan peranan masing-masing bagi memantapkan lagi parti itu, kata calon Timbalan Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.
Beliau yang disifatkan sebagai mewakili kumpulan ulama berkata, posisi seseorang pemimpin ibarat sebuah pasukan bola sepak iaitu seorang penyerang tidak boleh diletakkan di posisi pertahanan, begitu juga pemain pertahanan tidak sepatutnya menjadi penyerang kerana akan merencatkan persembahan pasukan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan sehubungan itu menjelaskan, masalah utama yang dihadapi Pas selama ini ialah lebih kepada memilih pemimpin yang betul untuk mengisi setiap jawatan.
Dari dulu pun Pas dianggotai oleh semua lapisan masyarakat, semua kelompok masyarakat, latar belakang yang berbeza bergabung dalam Pas dan memberi kekuatan, cuma saya rasa isu yang besar pada hari ini ialah di mana kita mahu meletakkan orang itu di tempat yang sesuai.
Itu isu yang paling besar, bukan isu ulama lawan profesional tetapi di mana kita mahu meletakkan mereka sebab posisi itu penting,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Beliau turut mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas pada Muktamar Pas Ke-59 yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 22 November ini.
Mohd. Amar mengulas laporan media yang melaporkan muktamar itu nanti akan tertumpu pada pertembungan antara golongan ulama dan Anwarinas dalam mendominasi kepemimpinan parti tersebut melalui jawatan yang dipertandingkan termasuk Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja.
Beliau akan mencabar Mohamad Sabu yang dilihat sebagai golongan Anwarinas dalam Pas yang telah menyandang jawatan itu sejak 2011.
Mohd. Amar juga dilihat mempunyai kelebihan dalam pertandingan itu selepas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini menyeru perwakilan Pas memilih golongan ulama bagi menerajui parti tersebut.
Mengulas perkara itu, katanya, beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai ulama dan menyerahkan soal tersebut kepada ahli Pas namun mengakui tujuannya merebut jawatan itu adalah bagi menyahut suara akar umbi.
Mengulas peluangnya untuk menang, beliau yang pernah tewas dua kali untuk jawatan Naib Presiden berkata, dia tidak akan berkempen sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada kebijaksanaan setiap perwakilan dalam muktamar itu nanti.
Yang pernah kalah tidak semestinya kalah semua, yang sudah menang pun berapa kali pernah kalah sehingga akhirnya menang.
Saya sendiri tidak berkempen, sejak dulu pun saya tidak berkempen, kalau ada kawan-kawan mahu tolong, terserah kepada mereka tetapi saya sendiri tidak berkempen atau menyusun pasukan kempen, lagi pun tinggal 10 hari sahaja lagi,” katanya.