Mohd Faidz Massari | The Official Personal Blog Siapa raja, pengguna atau peniaga?

Makluman:-

"Saya masih lagi memerlukan masa bagi melengkapkan blog personal ini. Untuk ruangan entri MENGENAI SAYA, MARI BERHUBUNG, PORTFOLIO, GALERIA dan GUESTBOOK diatas, saya akan lengkapkan pada masa akan datang kerana saya masih lagi melakukan kerja-kerja proses penulisan kod dan script rasmi untuk blog ini, terima kasih dari saya kerana sudi berkunjung". - Mohd Faidz Massari (Ahad, 15 September 2013, 11.33 a.m)

Entri oleh: Unknown Rabu, 13 November 2013

CUTI persekolahan akhir tahun menjelang tiba. Siapa lagi yang paling gembira semasa cuti persekolahan kalau tidak murid-murid dan para pelajar. Waktu cuti inilah pelbagai perancangan dibuat oleh ibu bapa untuk bersama-sama dengan anak-anak. Ada yang sudah merancang untuk melancong tidak kiralah sama ada di dalam mahupun di luar negara.

Bagi yang bercadang melancong ke luar negara, ada di antara mereka ini sudah membeli kelengkapan persekolahan seperti baju dan seluar sekolah, beg, kasut dan alat tulis.

Persiapan awal membolehkan ibu bapa tidak “kelam kabut” membeli belah di saat-saat akhir. Maklumlah, bukan semua ibu bapa sanggup bersesak-sesak untuk membeli barangan dan pakaian persekolahan di saat-saat akhir.

Baru-baru ini disebabkan tidak mahu bersesak-sesak membeli pakaian persekolahan di saat-saat akhir, saya berkesempatan singgah di sebuah kedai pakaian sekolah. Semasa menunggu anak-anak “mencuba” pakaian mereka,, saya berbual-berbual dengan jurujual, tentang harga pakaian.

Dia menyatakan harga pakaian buat masa ini masih murah tetapi apabila cuti persekolahan nanti terutamanya menjelang sesi persekolahan tahun hadapan, harga pakaian persekolahan akan meningkat.

Dua alasan yang diberikannya. Pertama, permintaan tinggi ketika itu dan kedua matawang Malaysia mengalami penurunan berbanding Yuan. Di sebabkan barangan dan pakaian persekolahan diimport dari negara China, maka mahu tidak mahu harga pun terpaksa dinaikkan. Bagi sehelai baju, saya dimaklumkan oleh jurujual tersebut, dianggarkan harga meningkat di antara RM2 hingga RM3, manakala bagi beg sekolah, harganya meningkat 15 peratus!

Memang benar matawang kita mengalami penurunan berbanding Yuan pada masa kini berbanding awal tahun, namun penurunan ini tidaklah begitu ketara sehinggakan terpaksa menaikkan harga pakaian dan beg dengan begitu tinggi sekali.

Saya terfikir sejenak betapa peritnya bagi keluarga yang mempunyai ramai anak dan pada masa sama berpendapatan rendah. Maka, tidak hairankanlah ramai yang tertunggu-tunggu bonus tahunan diumumkan oleh majikan masing-masing bagi menampung keperluan persekolahan anak-anak.

Bagi yang mempunyai anak yang ramai melebihi lima orang, dianggarkan mereka terpaksa mengeluarkan wang melebihi seribu ringgit demi keselesaan anak-anak.

Tidak kisahlah demi pelaburan pendidikan anak-anak, namun apa yang ingin saya utarakan adalah sikap peniaga yang cuba mengambil kesempatan ke atas pengguna. Alasan bahawa mata wang kita mengalami penurunan berbanding Yuan tidak boleh diterima sama sekali. Ini kerana harga dinaikkan melebihi penurunan matawang kita.

Persoalan di sini sebagai pengguna apakah kita mampu “melawan” peniaga? Kita sering mendengar kata-kata, pengguna sentiasa betul dan perlu dilayan sebagai “raja” tetapi dalam konteks Malaysia, adakah ia boleh digunapakai? Di Malaysia, siapa “raja”, peniaga ataupun pengguna?

Malang sekali, meskipun kita mempunyai banyak persatuan pengguna, tetapi akhirnya yang akan “menang” adalah peniaga.

Peniaga sewenang-wenangnya memberi pelbagai alasan untuk menaikkan harga. Alasan mudah seperti harga minyak naik dan harga gula meningkat digunakan berulang kali semata-mata untuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga.

Tidak terkecuali alasan yang lebih “canggih”, matawang kita mengalami penurunan dan permintaan semakin meningkat, maka mahu tak mahu harga dinaikkan. Yang menjadi mangsanya tidak lain tidak bukan pengguna.

Pelbagai alasan boleh diberikan hanya untuk merasionalkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Inilah masalahnya apabila sikap tamak terlalu mementingkan keuntungan mengatasi sikap amanah dalam berniaga demi membantu pengguna. Kalau hendak untung sekalipun janganlah sampai “cekik darah” kerana tindakan ini menindas pengguna.

Diyakini peniaga yang terlalu mementingkan keuntungan dan mengabaikan kebajikan pengguna ini pun akan berasa tidak puas hati jika sebaliknya berlaku kepadanya. Ini kerana setiap daripada kita juga adalah pengguna termasuklah peniaga itu sendiri.

Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sudah menjadi lumrah sampaikan pengguna tidak mampu membuat apa-apa. Pengguna hanya sekadar pasrah dengan kenaikan harga barangan. Sememangnya setiap kali harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan, maka, kedengaran usaha untuk memboikot peniaga.

Tidak diketahui sama ada tindakan memboikot benar-benar memberi kesan ke atas jualan peniaga dan membuatkan mereka sedar. Ini kerana terdapat peniaga di Malaysia terutamanya yang bukannya peniaga kecil-kecilan tetapi yang menguasai pasaran, mereka inilah yang selalu menggunakan kuasa “kartel” untuk menindas pengguna.

Disebabkan itulah, terdapat suara-suara peniaga yang mempunyai kuasa pasaran tidak puas hati apabila kementerian berkenaan ingin menghapuskan “pengaruh” mereka seperti menghapuskan “orang tengah”, sedangkan pengguna akan mendapat manfaat yang besar apabila tiadanya orang tengah.

Begitu juga, nasib pengusaha asal seperti nelayan dan petani akan lebih terbela. Bayangkan mereka inilah yang bersusah payah pergi ke laut dalam untuk mendapatkan hasil laut seperti ikan dan sotong tetapi yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda adalah orang tengah.

Orang tengah membeli hasil tangkapan nelayan dengan harga yang murah tetapi menjualnya kepada pengguna akhir dengan harga yang amat tinggi.

Diharapkan cadangan yang dibuat oleh kementerian berkenaan benar-benar direalisasikan agar pengguna benar-benar mendapat manfaatnya.

Selain menaikkan harga, banyak lagi situasi yang mana peniaga sering kali bertindak menindas pengguna seperti menipu tanda halal dan menjual produk yang tidak sesuai lagi untuk digunakan.

Adakah sikap ini akan berterusan atau ia akan terhenti seiring dengan kemajuan negara? Sesuatu perlu dilakukan bagi memperbetulkan keadaan ini demi kemaslahatan pengguna dan rakyat secara keseluruhannya.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan

Perakaunan dan Kewangan

Pusat Pengajian Perakaunan (SOA)

Kolej Perniagaan (COB)

Universiti Utara Malaysia

Malaysia Terkini | Persepsi vs. Realiti

Tinggalkan komen

Langgan entri blog | Langgan entri komen

GUESTBOOK

Nama

E-mel *

Mesej *

Entri Popular

Label

Agama (41) Artikel (236) Bisnes (41) Hiburan (12) Kartun (26) Kembara (12) Luar Negara (37) Menjelang 2020 (151) Nasional (118) Politik (43) Teknologi (5) Ulasan (1) Wawasan 2020 (6)

Arkib Blog

Statistik Blog

MFM4URMIND © 2014 #MYTKkidFELLA

Kembali Keatas