BERSEMPENA dengan awal Muharam 1435 Hijrah. Penulis memulakan dengan mengucap Selamat Tahun Baru Hijrah dan insya-Allah penulis ingin mengajak para pembaca untuk mengambil inspirasi hijrah Baginda SAW. Fokus kita dalam kolum Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul di ruangan Utusan Malaysia ini berkaitan dengan isu hijrah. Penulis mengemukakan sebuah ayat berkenaan dengan sifat orang yang berhijrah.
|
MENCARI rahmat Allah SWT itulah matlamat dalam kehidupan setiap hamba-Nya. – Gambar hiasan |
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani. (al-Baqarah: 218)
Ibnu Jarir berkata: “Sesungguhnya mereka yang membenarkan Allah dan Rasul-Nya kemudian berhijrah daripada golongan musyrikin ke tempat lain seperti yang dilakukan oleh sahabat Rasulullah SAW. Ini kerana mereka enggan berada bersama golongan musyrikin kerana tiada aman daripada fitnah mereka.”
Ibnu SaĆ¢di: “Tiga amalan di atas (iman, hijrah dan jihad) merupakan alamat kebahagiaan dan paksi pada Ubudiyyah.”
Al-Mawardi dalam al-Nukat wa al-Uyun berkata: “Ayat ini diturunkan kepada orang Islam yang berbincang berkenaan dengan Abdullah bin Jahsin dan yang bersama dengannya. Kalau mereka tiada sebarang ujian dan tribulasi ketika hijrah, maka ia dianggap tidak mendapat pahala, sedangkan bukan begitu.”
Sayyid Quthub berkata: “Harapan seorang mukmin terhadap rahmat Allah tidak sekali-kali dikecewakan Allah. Kumpulan mukmin yang ikhlas kepada Allah dan sanggup berhijrah meninggalkan negeri Mekah telah mendengar janji yang benar ini, lalu mereka berjihad untuk sabilullah sehingga Allah memenuhi janji-Nya terhadap mereka dengan memberi kemenangan atau penghormatan mati syahid atau kedua-duanya merupakan kebaikan dan rahmat belaka.”
Sebelum dilebarkan lagi berkenaan dengan rahmat Allah yang sentiasa diharapkan oleh golongan yang berhijrah amat baik jika kita dapat melihat sepintas lalu berkenaan dengan definisi hijrah.
Perpindahan
Pada bahasa, ia memberi maksud perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain. Ia lebih kepada gerakan fizikal. Kemudian, Rasulullah SAW menukarkan makna fizikal kepada maknawi seperti sabdanya yang bermaksud: “Orang yang berhijrah itu ialah dengan meninggalkan larangan Allah SWT.”
Pada istilah terbahagi kepada dua iaitu:
- Berpindahnya Rasulullah SAW daripada Mekah ke Madinah. Begitu juga yang dilakukan oleh sahabat Baginda.
- Perpindahan ini kerana semata-mata agama bukan membabitkan laba dan keuntungan duniawi.
Perpindahan dari negeri kufur ke negeri Islam. Jika sekiranya niat kerana Allah SWT, maka hijrah itu termasuk dalam hijrah syarak.
Ibnu Rajab al-Hanbali berkata: Asal perkataan hijrah ialah meninggalkan negara syirik dan berpindah ke negara Islam, seperti mana para Muhajirin berhijrah sebelum pembukaan Mekah ke Madinah. Sebelum itu juga, sebahagian daripada mereka telah berhijrah ke bumi Habsyah yang diperintah oleh an-Najasyi.
Pentingnya mencari dan mendapat rahmat Allah SWT dalam kehidupan adalah antara matlamat utama kita sebagai hamba-hamba-Nya.
Akidah kepercayaan
Menjadi sunnatullah di bumi ini, menjadikan kekuatan rohani yang ternukil di dalam akidah kepercayaan yang sihat dan agama yang benar itu sebagai pengawal kepada kekuatan dalaman dan material. Suatu umat yang begitu tebal dan kaya dengan tatasusilanya yang sihat, begitu teguh berpegang dengan ajaran Islam di kala itu juga kekuatan materialnya, seperti negara, harta benda dan pangkat akan kekal lebih utuh dan kukuh.
Andai kata ia papa kedana dan miskin daripada segi akhlak, tidak betul dalam kepercayaan akidahnya, maka kekuatan materialnya juga turut lemah dan tergugat. Telah kita tegaskan bahawa sejarahlah yang menjadi saksi utama tentang kebenaran perkara itu.
Ustaz Mahibuddin al-Khatib berkata: Sesungguhnya jiwa Islam mahukan agama Islam hidup dalam suasana berperaturan dan hukum bagi memudahkan kefahaman hidayah Islam. Justeru, tempat yang baik dan subur tanpa kekangan, tentangan dan sekatan yang berlaku di Kota Mekah tidak berlaku di Kota Madinah. Bahkan penduduk mereka saling berlumba-lumba untuk menolong dan infak pada jalan Allah SWT.
Semoga rahmat Allah SWT sentiasa melimpahi kepada kita terutamanya dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh cabaran kehidupan ini. Amin..