BANGKOK 25 Nov. – Thailand sekali lagi berdepan kemelut politik apabila kira-kira 27,000 penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan bantahan besar-besaran di sini, hari ini bagi menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
|
Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan berarak sambil mengibarkan bendera kebangsaan dalam satu protes besar-besaran di Bangkok, Thailand, semalam. |
Perhimpunan kali ini merupakan yang terbesar diadakan dalam tempoh tiga tahun sejak konflik berdarah menyaksikan lebih 80 orang awam dan enam askar terbunuh ekoran keganasan yang tercetus antara kumpulan prokerajaan, Baju Merah yang juga penyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra dengan kumpulan antikerajaan, Baju Kuning.
Di ibu negara hari ini, lebih 1,000 penunjuk perasaan antikerajaan menawan bangunan Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar serta mengepung bangunan Jabatan Perhubungan Awam Kerajaan ketika penganjur mengancam untuk menguasai lebih banyak lagi bangunan kerajaan.
Penunjuk perasaan meniup wisel, membawa bunga serta melaungkan slogan ‘Berambus!’ ketika berarak menuju ke 13 buah pejabat awam termasuk stesen televisyen milik kerajaan, ibu pejabat polis serta tentera dan Parlimen.
Kumpulan itu bagaimanapun dihalang oleh beribu-ribu anggota polis yang dikerah mengawal bangunan Parlimen, di mana sidang Kabinet berlangsung dalam sesi yang pantas.
Ketua kumpulan antikerajaan yang juga bekas Senator dari Parti Demokrat, Suthep Thaugsuban mengarahkan penunjuk perasaan mendesak pekerja awam berhenti bekerja sebagai tanda bantahan terhadap pentadbiran Yingluck.
Demonstrasi besar-besaran itu menyebabkan kesesakan jalan yang teruk di Bangkok selain berpuluh-puluh sekolah di sepanjang laluan tunjuk perasaan ditutup.
Yingluck dalam reaksinya bertegas tidak akan meletak jawatan atau membubarkan Parlimen walaupun didesak melalui demonstrasi jalanan.
Kenyataan itu disuarakan ketika beliau bakal berdepan undian usul tidak percaya yang dibangkitkan oleh anggota Parlimen dari Parti Demokrat terhadap kerajaan pimpinannya.
Perbahasan usul itu akan berlangsung selama dua hari bermula esok dan undian akan dilakukan pada Khamis ini.
Kumpulan penunjuk perasaan yang terdiri daripada parti-parti pembangkang termasuk Parti Demokrat, Gerakan Rakyat Mendesak Penggulingan Proksi Thaksin dan beberapa kumpulan lain mahu pentadbiran yang dipimpin oleh proksi Thaksin digulingkan.
Kumpulan terbabit mendakwa Yingluck cuba membawa pulang Thaksin ke tanah air dengan mengemukakan usul undang-undang pengampunan, namun draf terbabit ditolak oleh Dewan Senat awal bulan ini.
Kerajaan Yingluck turut mencetuskan kontroversi apabila cuba menggubal Perlembagaan yang dikhuatiri akan menggulingkan pemerintahan diraja seperti didakwa kumpulan pembangkang.