HUJUNG tahun sudah semakin hampir dan cuti sekolah juga sudah bermula, jadi gunakan masa ini untuk bercuti bagi merehatkan diri setelah penat bekerja.
|
Destinasi percutian di dalam negara tidak kurang hebatnya, ada yang mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang sesuai untuk menjadi destinasi pilihan anda. – GAMBAR HIASAN |
Destinasi yang dipilih sudah tentu tempat yang tenang, jauh dari kesibukan kota serta terdapat tempat untuk membeli-belah dan paling penting, semua itu ada di dalam negara.
Agak pelik jika difikirkan apabila kebanyakan masyarakat kita lebih cenderung untuk memilih destinasi percutian di luar negara sedangkan banyak lagi destinasi tempatan yang belum dilawati.
Tidak salah untuk bercuti ke luar negara tetapi Malaysia apa kurangnya, malah ada juga lokasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan destinasi luar negara yang sudah pasti memerlukan anda mengeluarkan kos perbelanjaan yang agak tinggi.
Kita perlu berbangga dengan negara kita yang tidak kurang hebatnya kerana mempunyai pulau, tanah tinggi, pantai serta terumbu karang yang diiktiraf diperingkat dunia sebagai destinasi percutian yang terpilih dan cantik.
Bagi yang berkeluarga, bawalah anak-anak anda untuk merasai sendiri pengalaman untuk bercuti di dalam negara dan memahami budaya negara kita sebelum memilih untuk bercuti ke luar negara.
Jika tiada masa untuk pergi jauh, di bandar juga terdapat hotel dan juga taman tema bertaraf dunia yang anda boleh kunjungi.
Kebanyakan tempat yang ada semua dipenuhi oleh pelancong luar, kehadiran masyarakat kita boleh dikatakan amat sedikit sedangkan setiap destinasi yang disediakan lebih sesuai dengan budaya kita sendiri.
Tidak akan timbul soal sukar mencari tempat makan, restoran halal, tiada surau atau sebagainya kerana kesemua itu sudah pasti ada di mana-mana destinasi pelancongan yang anda tujui.
Seperti yang kita sedia maklum, industri pelancongan negara mencatat sedikit penurunan. Tidak perlu kita mempunyai persepsi yang mengharapkan pelancong luar negara sahaja untuk berkunjung ke negara kita.
AZIMAH ISMAIL
Kuala Lumpur