PUTRAJAYA 6 Nov. – Tindakan pengundi luar yang hanya mengutamakan kepentingan parti berbanding soal pembangunan untuk masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah disifatkan sebagai tidak adil.
 |
Datuk Ahmad Maslan memberi penjelasan berkenaan suasana keadaan pilihanraya kecil di Sungai Limau selepas merasmikan majlis menandatangi perjanjian usaha sama pelaburan Mara Berhad di hotel Merriott Putrajaya, semalam. |
Ketua Penerangan UMNO yang juga Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, tindakan sedemikian dilihat sebagai cuba menafikan hak masyarakat di kawasan itu untuk menikmati pembangunan seperti negeri lain.
”Amat tidak adil kerana mereka (pengundi luar) itu tinggal di kawasan mungkin sudah maju tetapi mahu menjatuhkan BN di tempat yang memerlukan pembangunan.
”Trend tersebut seolah-olah menunjukkan bahawa mereka menjadi penentu kepada kemenangan parti politik yang bertanding dalam mana-mana pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama strategik antara Pelaburan MARA Berhad (Pelaburan MARA) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Nazim Rahman dengan AEP Investment Management Ptd. Ltd. diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yusof Wahid di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi; Pengerusi AEP Investment Management, Ir. Ahmed Suliman Al Rajhi; Pengerusi Pelaburan MARA, Datuk Sohaimi Shahadan dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.
Dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau kelmarin, Pas mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih rendah apabila calonnya, Mohd. Azam Abdul Samat, 37, memperoleh majoriti 1,084 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, 52.
Sehubungan itu, Ahmad berkata, jentera BN diminta mengenal pasti pengundi luar di kawasan masing-masing semasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempamerkan Daftar Pemilih terbaharu.
Beliau berkata, langkah tersebut bertujuan membolehkan BN menyusun strategi untuk memastikan golongan tersebut tidak lagi menjadi penentu kemenangan di masa depan.
”Saya juga anggap ia sebagai satu fakta yang menarik untuk dikaji dengan mendalam oleh BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.