 |
Datuk Seri Jamil Khir Baharom |
PUTRAJAYA 5 Nov. – Ketua Umno Bahagian Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini membidas sikap pembangkang yang sering menyalahkan pihak lain walaupun dalam situasi yang menguntungkan parti itu termasuk di PRK Sungai Limau.
Tindakan Pas mendakwa adanya cubaan ‘mensabotaj’ parti itu kerana menetapkan hari mengundi pada hari bekerja – sehingga menyebabkan majoriti undi parti itu merosot – sebagai tidak wajar.
“Ini merupakan salah satu adat perlawanan pilihan raya. Pembangkang ini kalau dia kalah, SPR yang disalahkan, SPR tak betul dan sebagainya.
“Begitu juga, jika jumlah kurang (peratusan mengundi) yang disalahkan kerajaan BN. Sedangkan dalam pengurangan jumlah itu, kita (BN) juga terlibat,” katanya pada sidang media selepas sambutan Majlis Maal Hijrah 1435 peringkat kebangsaan, di sini, hari ini.
Jamil turut membidas sikap pembangkang yang terus-terusan “mencurigai” keupayaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mengendalikan pilihan raya secara adil dan bebas.
“Semalam saya berada di ground zero. Kereta SPR pun dibuka, nak ‘check’ tong (peti undi) dan sebagainya. Sedangkan borang 12 telah pun ditandatangani.
“Saya melihat tong itu tidak perlu diperiksa sebab kedua-dua wakil telah menandatangani penjumlahan yang telah dibuat oleh peti-peti undi masing-masing.
“Ini maknanya betapa kecurigaan dan ketidakfahaman tentang peraturan SPR,” katanya.
Malah ujar Jamil, BN juga boleh memilih untuk bertindak seperti pembangkang dengan mempertikaikan keputusan kerana merasakan parti itu punya peluang cerah di Sungai Limau namun enggan berbuat demikian kerana menghormati ruang demokrasi.
“… kita tak menyalahkan siapa mensabotaj siapa kerana pengundi ada hak masing-masing untuk memilih… untuk nak hadir atau tak nak hadir pada PRK yang lalu (semalam),” katanya.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Mahfuz Omar ketika mengulas kemenangan calon Pas di Sungai Limau malam tadi mendakwa adanya cubaan parti lawan untuk ‘mensabotaj’ pilihan raya kecil di Sungai Limau dengan menetapkan hari pengundian pada hari bekerja.
Walau bagaimanapun, taktik itu katanya gagal ekoran sokongan penduduk Sungai Limau ke atas parti itu, gagal kerana sokongan pengundi yang tidak berbelah bahagi.
“Kekurangan majoriti ini bukannya kemenangan moral BN, tetapi kekurangan itu disebabkan lebih 1,000 pengundi di luar kawasan pilihan raya yang tidak dapat balik mengundi.
“Kadar keluar mengundi berkurangan daripada 89 peratus kepada 85.5 peratus turut menjejaskan majoriti undi Pas.
“SPR harus mengambil pengajaran ini supaya di lain kali pilihan raya tidak boleh diadakan pada hari bekerja kerana ia menjadi penghalang daripada mereka membuang undi,” katanya kepada pemberita selepas SPR mengumumkan Dun Sungai Limau kekal milik Pas di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, di sini, malam tadi.
Untuk rekod, seramai 23,249 pemilih berdaftar keluar mengundi sehingga tempoh mengundi berakhir pada jam 5 petang semalam.
Calon Pas, Mohd Azam Abd Samat, 32, memperoleh 12,069 undi mengalahkan calon BN, Dr Ahmad Sohaimi Lazim, 52, dengan 10,985 undi.
Pas menang dengan majoriti 1,084 undi, merosot daripada sebelum ini.