PUTRAJAYA 6 Nov. – Pelaburan Mara Berhad (Pelaburan Mara) menyasarkan untuk melabur dalam sektor perniagaan hartanah bernilai tinggi di benua Asia Pasifik dan Eropah mulai tahun depan.
 |
Seisi menandatangani perjanjian usaha sama pelaburan Mara Berhad yang disaksikan oleh Datuk Ahmad Maslan di hotel Merriott Putrajaya, semalam. |
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nazim Rahman berkata, selain Malaysia, pihaknya turut meninjau peluang pelaburan di Australia dan Singapura (benua Asia Pasifik) manakala bagi Eropah pula, United Kingdom (UK) menjadi pilihan.
Beliau berkata, sektor hartanah yang menjadi pilihan adalah pusat data, gedung, logistik, ruang pejabat dan taman-taman perindustrian yang patuh syariah.
“Bagi mengerakkan usaha itu, kami menjalinkan kerjasama strategik dengan anak syarikat Al Rajhi Holdings Co., (Arab Saudi) iaitu AEP Investment Management (AEPim) yang berpangkalan di Singapura.
“Kerjasama itu akan membolehkan kedua-dua pihak mengumpul dana yang dikenali Basil Property Trust sebanyak RM600 juta (AS$200 juta) iaitu membabitkan pelaburan RM300 juta sebelum hujung tahun ini, manakala bakinya hujung 2015,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Pelaburan Mara dengan AEPim yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi; Pengerusi AEP Investment Management, Ir. Ahmed Suliman Al Rajhi; Pengerusi Pelaburan MARA, Datuk Sohaimi Shahadan dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.
Nazim berkata, buat permulaan, kedua-dua pihak akan menyalurkan modal sebanyak RM150 juta (AS$50 juta) kepada dana tersebut.
”Kami juga akan mengenal pasti pelabur-pelabur dari sektor institusi, korporat dan individu yang berpotensi untuk melabur dalam dana itu,” katanya.