APAKAH lagi yang boleh dikatakan tentang sikap buruk segelintir penduduk Cameron Highlands jika di dalam Empangan Sultan Abu Bakar yang tercemar bukan sahaja kerana mendapan akibat aliran lumpur daripada kerja-kerja tanah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, terdapat barangan buangan yang tidak sepatutnya berada di dalamnya.
Antaranya, peti sejuk, televisyen, sofa dan tilam buruk, selain tong gas terpakai, hingga memburukkan lagi pencemaran di empangan bagi menjana elektrik hidro milik dan seliaan Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu.
Ini diberitahu oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob kepada para wartawan ketika mengulas mengenai kejadian banjir lumpur hingga mengorbankan nyawa di Lembah Bertam, Cameron Highlands baru-baru ini.
Banjir lumpur berkenaan berlaku ekoran pelepasan air yang berlebihan dari Empangan Sultan Abu Bakar – empangan yang dibina sejak 1962 dan terletak di Ringlet, iaitu kawasan yang lebih tinggi, kira-kira tiga (3) kilometer dari Lembah Bertam yang terletak di hilirnya, menerusi Sungai Bertam.
“Sebenarnya ini bukan perkara baharu, tapi kita sukar untuk menerapkan kesedaran dalam kalangan penanam-penanam sayur dan bunga Cameron Highlands ini. Apabila kita buat kenyataan dan tindakan yang keras mereka pula kata kita tidak bersimpati dengan mereka,” jelas beliau.
Menurut Adnan, setakat mana pihak berkuasa boleh meneruskan operasi untuk mengeluarkan barangan buangan tersebut? Maka, penduduk sendiri kena ada rasa bertanggungjawab.
Kata-kata Menteri Besar ini mungkin dilihat sebagai meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas bahu para penanam sayur-sayuran dan bunga-bungaan di situ.
Namun, sebenarnya kerajaan negeri tidak lepas tangan dalam menangani masalah pencemaran alam di kawasan tanah tinggi yang sensitif itu.
Ini kerana telah banyak usaha yang kerajaan negeri lakukan, termasuk menambah bilangan anggota penguat kuasa bagi memantapkan lagi penguatkuasaan ke kawasan-kawasan yang terlalu sukar untuk dilalui.
Selain itu, kerajaan negeri juga bertindak menukar anggota-anggota ini menurut tempoh tertentu, bagi mengelakkan amalan rasuah iaitu dakwaan yang kerap didengar berlaku lalu dikatakan turut menyumbang kepada masalah yang tiada kesudahan ini.
Lama sebelum itu juga, kerajaan negeri telah mengeluarkan garis panduan khusus tentang kerja-kerja tanah di sana termasuklah, melarang sama sekali penggunaan jentera berat atau menarah bukit pada gradien yang curam.
Maka selebihnya, tentulah peranan penduduk Cameron Highlands sendiri dalam menjaga alam sekitar dengan mengamalkan kerja-kerja tanah yang tertib, yang tidak mengganggu-gugat alam sekitar.
Memang tidak dinafikan, sumbangan penanam sayur-sayuran dan bunga-bungaan ini kepada pendapatan negara adalah besar, menerusi pengeksportan bahan-bahan mentah ini yang bernilai ratusan malah, ribuan juta ringgit setahun.
Namun, yang dikesali serta tidak dapat diterima adalah, kerakusan dan ketamakan segelintir mereka yang menjalankan amalan-amalan pertanian yang buruk – alasan dan tindakan bagi menjimat lagi kos lalu meningkatkan margin keuntungan.
Satu daripadanya adalah keengganan untuk berbelanja lebih sedikit – tak sampai pun RM5,000, untuk membina perangkap-perangkap kelodak di tapak-tapak tanaman masing-masing, bagi mengelak lumpur atau kelodak mengalir masuk ke sungai seterusnya empangan tersebut.
Ada pula dalam kalangan mereka, yang melakukan penerokaan secara haram ke atas kawasan-kawasan bersebelahan yang di luar dari kawasan diluluskan lesen pendudukan sementara (TOL) mereka.
“Semua bukit ditarah, ditarah habis. Tak dapat dinafikan bahawa mendapan di empangan itu adalah disebabkan oleh kesan tarahan bukit yang berleluasa. Sekarang ini, tepuk dada tanya selera. Adakah mereka memilih untuk terus mengamalkan amalan pertanian yang buruk ini?” tanya Adnan.
Jika sikap penanam-penanam ini mengecewakan Adnan, yang mengecewakan kita pula adalah sikap parti politik tertentu yang selama ini asyik dengan gelagat mempertahankan penanam sayur dan bunga ini demi populariti mereka di sana.
Lalu seringkali, kerja-kerja penguatkuasaan seperti hendak merobohkan bangunan-bangunan kekal yang dibina secara haram di atas tanah-tanah kerajaan seperti rizab jalan atau sungai; selalu sahaja terpaksa dihentikan ekoran saranan daripada parti politik berkenaan.
Malah, atas permintaan parti politik yang sama jugalah beberapa tahun lepas, maka kerajaan negeri terpaksa akur bagi melanjutkan tempoh pembaharuan TOL oleh penanam-penanam daripada asalnya setahun sekali, kepada dua tahun sekali.
Kononnya, ini agar tidak membebankan penanam-penanam untuk melakukan urusan pembaharuan, yang dengan tempoh dua tahun dapat memberi kelegaan kepada mereka untuk tenang bertanam dalam tempoh yang dipanjangkan itu.
Demi populariti kononnya tetapi, tidak juga memperolehinya seperti mana keputusan pilihan raya umum Mei lalu yang menyaksikan calon yang disokong oleh parti itu tidak terpilih untuk mewakili kawasan di situ!
Begitulah juga dengan sikap beberapa badan bukan kerajaan (NGO), yang mana setiap kali kejadian buruk menimpa, merekalah juga yang akan menampakkan diri sebagai juara dengan mengeluarkan kenyataan yang asyik menuding jari ke arah kerajaan semata-mata.
Yang ironinya, akhbar milik parti politik berkenaanlah juga yang gemar menemu-bual NGO-NGO ini, dan hasilnya seperti yang tersiar; salahkan kerajaan. Sedangkan parti politik yang juga milik akhbar inilah juga yang memanjakan sangat penduduk di situ khususnya para penanam berkenaan.
Ada pula antara NGO-NGO yang dijulang-julang ini – di sebalik kelantangan mereka hingga seolah-olah menampakkan keikhlasan mereka untuk memelihara alam sekitar Cameron Highlands; rupa-rupanya, ‘kokok sahaja berderai-derai’.
Oleh itulah, penulis masih percaya betapa penanam sayur dan bunga serta penduduk Cameron Highlands sendiri harus lebih sedar dan lebih bertanggungjawab terhadap usaha memelihara alam sekitar di sana.